"SAYA TIDAK KACAK DAN BUKAN POPULAR," - AYAI ILUSI

"Mungkin saya tidak kacak dan bukan seorang yang popular di mata peminat," ujar Zaharuddin bin Kamaruddin atau Ayai dari Kumpulan Ilusi yang tersingkir pada minggu kelima program realiti popular, All Stars Gegar Vaganza yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini. 

Ayai yang menyampaikan lagu Pusara Di Lebuh Raya nyanyian asal Ekamatra itu hanya berjaya memperolehi 53.00 peratus berbanding Zamani 53.75 peratus menjadikan Ayai antara bintang GV yang berada di kedudukan paling bawah. 

Ketika bercakap kepada media sejurus selepas siaran langsung konsert tersebut, Ayai berkata, dia sedikitpun tidak terkilan dengan penyingkirannya, malahan bekas vokalis Illusi itu menyifatkan keputusan itu sebagai satu rezeki yang sudah ditakdirkan.

"Mungkin ia bukan rezeki saya. Saya tidaklah popular seperti bintang GV yang lain. Saya tidak kacak dan bukan pilihan utama anda," kata Ayai dengan nada perlahan tapi memberi signifikan bahawa penyingkirannya seperti sudah dirancang atau hanya sekadar permainan program popular tersebut.

Konsert minggu kelima GV10 itu menyaksikan Liza Hanim menduduki tempat pertama dengan meraih markah sebanyak 70.50 peratus manakala Naqiu yang berada di tempat kedua sekadar memperoleh 69.75 peratus dan Jaclyn Victor 69.00 peratus. 

Dihoskan oleh Nabil Ahmad dan Jihan Muse, All Stars Gegar Vaganza menampilkan Datuk Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat sebagai juri tetap.

Catat Ulasan

0 Ulasan