SEAKAN-AKAN KARYA TAHUN 1990-AN, CERANA BIDUK BU MERAH SERAM KLASIK?

Walaupun mengambil pendekatakan ke arah penghasilan karya yang menjurus kepada elemen seram klasik, Haizul Anafer Ali berpendapat bahawa pembikinan Cerana Biduk Bu Merah yang merupakan filem pertama arahannya itu sebagai naskhah seram yang sudah lama dihasilkan sejak pandemik Covid-19 yang lalu. 

Membuka tayangannya di pawagam tempatan bermula 12 Oktober yang lalu, Cerana Biduk Bu Merah merungkai kisah misteri seorang wanita cantik yang tinggal di sebuah kampung Melayu lama. Akibat amalan syirik yang diamalkannya,  Bu Merah terpaksa mengorbankan seseorang untuk dirinya nampak muda dan menawan. Filem yang dibintangi oleh Fasha Sandha, Pekin Ibrahim, Wan Hanafi Su, Badrul Muhayat, Sarah Daewoo, Pyan Kepoh dan ramai lagi itu merupakan sebuah karya yang menerima Dana Kandungan Digital (DKD), Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Ketika ditemui media sejurus selepas tayangan filem tersebut di Malam Gala Cerana Biduk Bu Merah yang berlangsung di pawagam TGV AU2 Aeon Setiawangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini, Haizul Anafer Ali berkata, filem terbitan produksi Goldhill Pictures Sdn Bhd itu merupakan filem yang sengaja dihasilkan seperti karya seram tahun 1990-an, di mana penggunaan warna dan sinematografi dalam filem itu mengingatkan penulis seperti menonton filem-filem arahan Deddy M.Borhan.

"Saya memang sengaja menjadikan filem ini seperti karya klasik tahun 1980-an hingga 1990-an, kerana saya membesar dengan penerbitan filem era itu. Saya penggemar filem seram dan apa yang dipaparkan dalam naskhah ini bukan dogengan kerana ia pernah berlaku suatu ketika dulu.

"Idea pembikinan naskhah ini muncul kerana saya merupakan peminat filem seram dan apa yang dipaparkan dalam filem ini mempunyai mesej yang tersendiri," kata Haizul Anafer Ali. 

Bercakap soal bayaran dan kualiti pembikinan sesebuah filem, Fasha Sandha yang merupakan pelakon utama filem tersebut tidak menafikan bahawa beliau menerima bayaran yang agak rendah untuk Cerana Biduk Bu Merah. 

"Kalau nak letak rate asal saya, memang agak tinggi. Namun untuk filem ini saya cuba memaksimakan sebaik mungkin harga saya kerana jika dilihat dari segi kualiti, Haizul merupakan sorang pengarah yang mempunyai banyak pengalaman memandangkan beliau terlibat dalam industri ini terlalu lama. Jadi, soal harga dan bayaran, bukan lagi isu penting yang wajar diperkatakan," katanya. 

Catat Ulasan

0 Ulasan