22 BUAH FILEM CEREKA TERIMA INSENTIF TAYANGAN HAMPIR RM2 JUTA

Sebanyak 22 buah judul filem cereka diberikan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC2.0) melalui 22 buah syarikat produksi menerusi kutipan tiket di pawagam. Pemberian insentif hampir RM2 juta itu diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). 

Dato' Azmir Saifuddin Mutalib, Ketua Pegawai Eksekutif FINAS dalam satu kenyataan media berkata, sebanyak 22 buah filem cereka berjaya diterbitkan syarikat berkenaan. Ini menunjukkan peningkatan yang agak baik dari segi jumlah kutipan tiket. 

ITFC merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui FINAS bagi membantu dan menggalakkan penerbit filem untuk terus menghasilkan filem cereka tempatan, secara tidak langsung ia menjana pembangunan industri filem melalui strategi galakan dan industri kepada penggiat industri tempatan.

"Inisiatif ini sekaligus dapat membantu penggiat filem tanah air agar dapat menghasilkan lebih banyak karya filem yang bermutu. Filem-filem yang dihasilkan ini harus menepati citarasa tanpa mengabaikan kekayaan budaya serta identiti Malaysia bagi menterjemahkan nilai kehidupan yang baik buat penonton," katanya selepas menyampaikan insentif berkenaan di Pawagam P. Ramlee, FINAS pada petang Selasa. 

Pengarah filem terkenal, Dain Said yang mengarahkan filem Harum Malam berkata, pemberian insentif ini adalah satu penghargaan Perbadanan buat pengkarya filem tempatan. Menurutnya, hanya Malaysia melalui FINAS sahaja yang memberikan insentif ini kepada syarikat produksi melalui filem-filem yang telah dihasilkan. Sebagai pengkarya filem, Dain memuji kesungguhan FINAS dalam membantu industri filem melalui pelbagai dana dan insentif yang diberikan. Penyaluran insentif ini sedikit sebanyak membantu penerbit dan penggiat industri filem bagi menghasilkan lebih banyak karya yang berkualiti bukan sahaja dari segi kandungan cerita malahan aspek budaya yang ditampilkan. 

'Hani, Little Sunshine, Sawadikap Pei, Adai Mazhai Kaalam, Mechamato, Imaginur, Daddyku Gangster, Harum Malam, Coast Guard, Gila Gusti, Duan Nagabogho, Imam, VII XII, Tribesman, Thalli Pogathey, Silence Of The 177, Eva (Take Me As I Am), KK Knockout, Hungry Ghost Diner, Sumpahan Jerunei, Kannera dan Kalluri Rascals' antara filem cereka yang menerima ITFC. Penyerahan insentif ITFC ini dibuat kepada filem-filem yang berdaftar di bawah Skim Wajib Tayang mengikut jumlah kutipan tiket di beberapa pawagam seluruh negara. 


Kredit Gambar: Ruffey Rahman

Catat Ulasan

0 Ulasan