RAHSIA POHON CEMARA VERSI BERBEZA BUAT PERTAMA KALI DI KONSERT EXISTS X ORKESTRA

 

Exists X Orkestra menuju ‘hari besarnya’ pada 22 Disember 2023 ini. Teruja dengan konsep orkestra yang pertama kali akan diketengahkan selepas 32 tahun berada dalam belantika muzik Nusantara, Exists siap memberi anugerah istimewa buat peminat kelak. Keutamaan dipersiapkan dengan rapi oleh Exists bersempena dengan konsert yang dibawakan oleh Persatuan Global Malaysia ini adalah ‘pernikahan’ kugiran yang dianggotai Mamat, Ezad, Ajai, Musa, Ujang dan Along itu dengan konsep orkestra.

Mengakui Exists kini telah melalui lebih 40 peratus persiapan dari segi teknikal dan pengurusan. Besar harapan mereka semua berjalan lancar sehingga Exists X Orkestra terlaksana pada 22 Disember 2023 seperti direncana. Mereka juga berjanji untuk memberi persembahan terbaik dan bersifat malar segar kepada semua. Sementelah proses kolaborasi muzik kugiran dan orkestra bukan sesuatu yang mudah, namun sebagai pemuzik hasil yang diperoleh kelak akan menambah portfolio besar dalam katalog karier Exists.

“Memang tidak begitu mudah menjayakan Exists X Orkestra ini. Tapi kami menikmati dan
belajar melalui proses demi proses termasuk menyiapkan semua susunan lagu dari kami
sendiri kemudian diserahkan kepada arranger muzik orkestra untuk digabungkan susunan muzik bersama.

“Fasa seterusnya iaitu sesi latihan Exists dan orkestra sangat kami nantikan. Apa yang pasti, gabungan kami akan menghasilkan semua lagu ke tahap yg lebih sedap dan ‘penuh’,” jelas Along mewakili anggota Exists yang lain.


Malah lewat Exists X Orkestra kelak, peminat di Megastar Arena akan menjadi saksi lagu
pertama yang dirakam mereka iaitu Rahsia Pohon Cemara dipersembahkan dengan mewah dalam balutan orkestra. Rahsia Pohon Cemara dihasilkan sepenuhnya oleh LY pada tahun 1991 dan terdapat dalam album pertama berjudul Exist.

“Pada konsert itu nanti Exists akan pertama kali menghasilkan Rahsia Pohon Cemara dalam versi yang berbeza.


“Rahsia Pohon Cemara punya nilai sentimental buat Exists kerana inilah lagu pertama yang kami rakamkan dan termuat dalam album sulung kami. Dan pertama kali di Exists X
Orkestra, Rahsia Pohon Cemara dipersembahkan dengan sangat istimewa,” ujar Along lagi. Pada masa sama, mereka juga bersyukur kerana penjualan tiket Exists X Orkestra
memberangsangkan sejak hari pertama dijual.


“Penjualan tiket agak bergerak dengan baik jika dibandingkan dengan konsert sebelum ini. Kami percaya tiket akan terus dibeli peminat menerusi banyak promosi dan bantuan rakan media mewar-warkan mengenainya,” ujar Along lagi.


Exists X Orkestra akan menyaksikan kugiran yang berasal dari Johor Bahru ini bergabung dengan sekitar 30 pemuzik orkestra dan mempersembahkan lagu-lagu popular mereka.

Untuk Konsert Exists X Orkestra, tiket dijual pada harga Tiket-tiket berharga bermula RM
568, RM 468, RM 368, RM 268 dan RM 168 dan boleh dibeli menerusi laman sesawang
Www.MyTicket.Asia.

Catat Ulasan

0 Ulasan