KEPENTINGAN SENI & BUDAYA DALAM FILEM TEMPATAN

Dalam pembikinan sesebuah filem, aspek budaya memainkan peranan penting dalam menterjemahkan isi cerita dengan garapan seni dan budaya agar kehidupan masyarakat berbilang bangsa terpelihara sebagai satu warisan seni yang unggul, eksklusif dan dihormati.

Bagi merasai bagaimana elemen budaya menjadi nadi kepada perkembangan hidup yang membawa kepada budaya setempat agar menjadi satu sejarah untuk diperhalusi serta dikongsikan secara meluas melalui medium wayang gambar, Sharpened Word dan JHexa Business Intelligence menganjurkan program Forum dan Dialog Bersama Penggiat Filem Malaysia: Seni Budaya Dalam Filem di Hulu Kelang, Selangor pada 4 November lalu.

Antara kupasan yang dibincangkan menerusi tiga tajuk yang dibentangkan oleh empat panelis yang juga merupakan pengarah, penerbit dan penulis skrip, Al Jafree Md Yusop, Azlina Abdul Aziz (Ninot), Khabir Bhatia, Jason Chong dan Hassan Muthalib adalah 'Penceritaan dan Perincian Seni Budaya Dalam Pembikinan Filem ; Cerapan Budaya, Nilai dan Semangat Dalam Filem serta Pelestarian Seni dan Budaya Menerusi Filem.

Tiga topik yang dibincangkan ini adalah untuk mengenal langkah yang sepatutnya diambil oleh setiap pembikin filem bagi menghasilkan sesebuah karya filem yang mempunyai elemen seni dan budaya agar mampu menjadi satu legasi yang baik dan mengkagumkan.

Al Jafree Md Yusof yang sebelum ini mengarahkan filem cereka bertajuk Mencari Rahmat dan pernah menjadi penulis skrip bersama filem Dukun dan Paloh serta beberapa buah judul drama dan telemovie tempatan menganggap karya filem yang dihasilkan pembikin filem tempatan wajar menyelitkan elemen seni dan budaya pelbagai kaum di Malaysia.

"Kita banyak cerita budaya yang boleh diketengahkan. Kita ada pelbagai kaum di negara kita. Apa salahnya untuk kita bercerita keistimewaan budaya yang kita ada dalam naskhah filem untuk ditonton di layar filem?. 

Saya pernah bertanyakan hal ini kepada pelajar-pelajar saya tentang budaya penontonan sesebuah filem dengan merujuk kepada filem-filem lama. Melalui karya klasik yang kita ada, kita boleh mempelajari bagaimana untuk kita visualkan seni dan budaya yang masyarakat kita ada dalam setiap naskhah filem yang akan pembikin filem kita hasilkan", katanya.

Hujahan Al Jafree merujuk kepada kandungan filem-filem lama yang pernah dihasilkan era 60-an sehinggalah ke era kini di mana filem-filem dahulu sukar ditonton, namun dengan adanya platform atas talian seperti Siar, sedikit sebanyak membantu peminat filem untuk terus menonton dan mencari filem-filem era terdahulu melalui satu klik. 

Pandangan beliau juga disokong oleh Jason Chong dan Ninot Aziz di mana-mana kedua-dua pengkarya filem ini menyifatkan bahawa di dalam masyarakat kita banyak cerita rakyat yang sarat dengan pengajaran serta elemen kebudayaan untuk diketengahkan.

Melaluinya, kita percaya satu hari nanti seni dan budaya yang kita ada tidak akan luput ditelan zaman di tengah-tengah arus kemodenan yang kita miliki," ujar Jason yang pernah mengarahkan beberapa buah filem tempatan termasuk Gemencheh Boys yang mengangkat seni, budaya dan cara hidup masyarakat terpinggir di daerah Tampin, Negeri Sembilan. 

Forum dan diskusi yang berlangsung selama tiga jam itu telah diadakan di Pawagam P.Ramlee, FINAS Hulu Kelang dan mendapat Geran Sokongan Sektor Kebudayaan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya Malaysia (MOTAC) itu turut dihadiri Pengerusi FINAS, Dato' Kamil Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Dato' Azmir Saifuddin Mutalib. 

Kredit Gambar: FINAS Malaysia

Catat Ulasan

0 Ulasan