SIMFONI BUDAYA: KERONCONG & GHAZAL MEMUKAU!

Siapa menyangka dan menduga di sebalik suara emas Datuk Yusni Hamid, tersimpan satu pesona dan aura yang bisa merentap jiwa tatkala industri muzik tempatan dibanjiri dengan pelbagai genre dan bakat baharu yang sedikit sebanyak mewarnai industri seni dan hiburan tanah air. 

Ketika dimaklumkan bahawa satu konsert khas yang bakal menampilkan Datuk Yusni Hamid berpadu suara bersama Asmidar dan Haziq Rosebi, hati ini bergetar malahan teruja barangkali inilah persembahan yang wajib ditonton buat penggemar seni keroncong dan ghazal yang disatukan dalam bentuk simfoni secara orkestra bagi menambat hati penggemar muzik nusantara untuk sama-sama menghadirkan diri bagi menghargai bagaimana seni muzik dan  lagu tradisi bergema di sebuah pentas bertaraf antarabangsa.

Kelunakan suara Asmidar mengalunkan lagu Sayang Di Sayang, Melati Di Tapal Batas dan Puteri Gunung Ledang di awal pembukaan membawa penonton ke satu alam yang lain di mana kita dapat menyaksikan bagaimana hebatnya Asmidar di pentas DFP dengan vokalnya yang bersahaja tetapi mampu meninggalkan kesan mendalam buat pendengar muzik dan peminat seni keroncong bagi menghayati muzik tradisi bergema di ruang pentas yang dihadiri bukan sahaja peminat muzik tempatan malahan luar negara yang cukup menghargai seni muzik tradisi melayu yang dipersembahkan dalam bentuk simfoni.

Ketika ditemui media sejurus selepas persembahan, Asmidar atau nama sebenarnya Norhasmidar binti Ahmad, 38, berkata, sebagai penyanyi walaupun baharu 23 tahun dalam industri, perasaan gugup, risau dan bimbang itu memang ada, malahan anak seni kelahiran Kuala Lumpur ini tidak menyangka sambutan peminat amat menggalakkan dan rata-rata penonton yang hadir bukan sahaja dari Malaysia malahan ada dari Singapura, Indonesia dan sebagainya.

"Saya tidak menyangka sambutan penonton malam ini amat luar biasa. Apatah lagi berkongsi pentas dengan Legenda Seni Keroncong Terkenal, Datuk Yusni Hamid. Itu yang membuatkan saya gugup dan teruja malahan mungkin ini tidak akan berulang kembali. Setiap kenangan malam ini akan terpahat di sanubari saya sebagai seorang penyanyi," katanya.

Asmidar yang merupakan Naib Juara Bintang RTM 2001 dan Juara Bintang Asli 2006 menganggap konsert Simfoni Budaya : Keroncong & Ghazal yang dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC pada malam sabtu lepas sebagai konsert penuh bersejarah sepanjang 23 tahun kariernya sebagai anak seni. Asmidar yang mendendangkan lapan (8) buah lagu berharap konsert seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi membuktikan seni lagu tradisi masih relevan dan diminati.

Dalam pada itu, persembahan Datuk Yusni Hamid dengan lapan (8) seleksi lagu keroncong & ghazal antaranya, Sayang Musalmah & Musalmah Manis secara medley, Di Bawah Sinar Bulan Purnama, Moon Represents My Hearts & Tien Mi Mi (medley), Sampaikan Salamku, Medley: Tinggalah Mustika Hati dan Bisikan Hati membuktikan aura Yusni Hamid masih hebat dalam usianya separuh abad. 

Ketika kelibat Yusni membuka pentas dengan lagu medley: Sayang Musalmah dan Musalmah Manis, seluruh dewan DFP sunyi seketika kemudian barulah terdengar tepukan gemuruh penonton apabila mendengarkan alunan gemersik suara Datuk Yusni Hamid memukau penonton dengan vokalnya yang masih lunak, sedap dan hebat seolah-olah mengimbas memori 12 tahun yang lalu ketika kali pertama beliau mengadakan persembahan di pentas DFP bersama Orkestra Filharmonik Malaysia melalui Konsert Keroncong Merdeka bersama Allahyarham Datin Paduka Julie Sudiro dan Ratu Keroncong Muda, Jamilah Abu Bakar. 

Hebatnya Datuk Yusni Hamid kerana lagu-lagu yang dibawanya. Berikan sahaja apa jua lagu kepadanya, pasti berjaya digalas dengan baik malah membuktikan dalam tempoh lima (5) dekad, auranya masih mantap seperti usianya masih muda remaja.

"Jika Allah SWT mengizinkan saya untuk kembali menghiburkan kalian, saya tetap akan meneruskan niat dan usaha itu. Tetapi sekiranya kesihatan saya tidak mengizinkan, mungkin ini kenangan terakhir kita bersama," kata Datuk Yusni Hamid dalam satu sidang media selepas konsert di Dewan Filharmonik Petronas pada malam 2 Mac lalu. 

Yusni yang kelihatan agak ceria walaupun sedikit penat, tetap utuh melayan penonton yang hadir melalui Sesi Meet & Greet yang diadakan selepas konsert. Simfoni Budaya : Keroncong dan Ghazal juga menampilkan penyanyi Haziq Rosebi yang mengalunkan lapan (8) buah lagu susunan Ilham Subri, Ahmad Muriz, Luqman Abdul Aziz dan  Azhad Sulaiman di bawah pimpinan konduktor muzik terkemuka, Ahmad Muriz Che Rose. 

Haziq Rosebi yang suaranya seiras penyanyi lelaki legenda, Ahmad Jais itu berpendapat, konsert yang diadakan 2 Mac lalu sebagai malam penuh kenangan dan berharap konsert seperti itu diadakan setiap tahun oleh DFP. 

"Saya berharap konsert seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa depan, agar generasi muda tahu tentang betapa hebatnya seni lagu dan muzik tradisi kita. Bangganya saya apabila malam ini, penonton yang hadir dari pelbagai bangsa. Ini membuktikan muzik kita tanpa sempadan. Buat DFP, jangan lupa panggil saya lagi," usik Haziq penuh bersahaja.

Konsert Simfoni Budaya: Keroncong & Ghazal yang dipentaskan 2 Mac lalu merupakan konsert penuh bersejarah yang menggabungkan Biduanita Keroncong Terkenal, Datuk Yusni Hamid bersama Asmidar dan Haziq Rosebi telah diadakan di Dewan Filharmonik Petronas, KLCC yang turut dihadiri pelbagai lapisan masyarakat tidak kira peringkat usia, merupakan konsert pimpinan konduktor DFP, Ahmad Muriz Che Rose yang menggunakan 100 peratus Orkestra. 

Kredit Gambar: Malaysian Philharmonic Orchestra

Catat Ulasan

0 Ulasan