FILEM OPPA BONGKAR JENAYAH 'LOVE SCAM'

Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk mendapatkan pelabur dan penaja bagi pembikinan filem ini, syarikat produksi tempatan Dream Film Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) berjaya menghasilkan filem Oppa yang mengetengahkan kisah tentang kesedaran sempena Kempen Anti-Penipuan 'Scam' dalam talian. 

Oppa membabitkan kerjasama lebih 80 anggota polis sebagai pelakon tambahan itu menyaksikan kisah sebenar yang berlaku dalam dan luar negara berhubung isu love scam yang kini menghantui sebilangan pengguna media sosial di Malaysia. 

Bakal menjengah pawagam tempatan bermula 9 Mei ini, Denil Choon Lin Loong atau lebih dikenali sebagai Captain Denil  yang merupakan pengarah filem Oppa berkata, dia amat teruja diberi kepercayaan untuk menghasilkan naskhah filem ini kepada penonton tempatan.

"Saya amat berbesar hati untuk menterjemahkan sisi gelap naskhah ini kepada penonton di Malaysia. Walaupun isu dia hanya love scam, tapi saya berharap filem ini mampu menyuntik pendirian kita untuk lebih berhati-hati agar tidak terpengaruh dengan percintaan di dalam talian yang amat membimbangkan.

"Ramai di kalangan kita pernah mengalami perkara sedemikian. Ia umpama satu virus yang boleh memusnahkan hidup jika ia tidak dibendung. Adakalanya saya berasa pelik kerana ada mangsa jenayah ini terdiri daripada golongan terpelajar. Mungkin kurangnya kesedaran menjadi faktor utama apabila masih ramai yang menjadi mangsa.

“Jadi, ia memberikan idea kepada saya untuk menghasilkan filem Oppa ini, sekurang-kurangnya mesej boleh disampaikan kepada masyarakat menerusi platform filem,” ujarnya.

Filem yang menelan belanja produksi sekitar RM2 juta itu  menggunakan tiga (3) bahasa iaitu Mandarin, Inggeris dan Melayu memaparkan kisah seorang guru yang bercinta dengan jejaka Korea, tetapi mengalami kerugian ratusan ribu ringgit apabila kekasihnya tiba-tiba menghilangkan diri. Lebih malang lagi, guru tersebut menjadi buruan Ah Long apabila dia meminjam wang daripada mereka untuk diberikan kepada kekasihnya.



Menampilkan Theo Jang, pelakon yang berasal dari Korea Selatan serta influencer popular,  Jacqueline Goh Wan Yi serta pelakon-pelakon tempatan lain seperti Lee Zi Qi, Amanda Tan, Sadiq M Jamil, Chen Kuoyang dan ramai lagi itu bukanlah sekadar sebuah cerita tetapi impaknya diharapkan dapat memberikan peringatan dan amaran buat kita rakyat Malaysia.


Theo Jang yang merupakan bintang muda dari negara Korea menyifatkan Oppa sebagai filem tempatan pertama dari Malaysia yang dibintanginya. Menurutnya, bekerja bersama produksi Malaysia amat berbeza dengan negara Korea, malahan menganggap ia sebuah naskhah yang menarik walaupun jalan ceritanya agak biasa tetapi kesannya cukup menakutkan.


"Saya seronok kerana dapat bersama-sama dalam projek filem ini. Ia memberikan pengalaman yang cukup berbeza di mana saya perlu melakonkan watak yang diberi dengan cara saya sendiri walaupun pengarah memberikan kebebasan tetapi sebagai seorang pelakon saya rasa saya perlu tahu beberapa perkara yang tidak boleh dan sensitif.



"Membintangi Oppa bagi saya cukup mendebarkan, kerana ini sebuah filem yang dibiayai oleh PDRM. Jadi, sebagai seorang pelakon saya harus memberikan sudut lakonan yang berkesan walaupun agak klise namun impaknya mesti ada. Jika di tanya pada saya, adakah saya akan menerima tawaran berlakon dalam produksi lain di Malaysia?. Itu saya akan mempertimbangkan jika menarik. Apa salahnya kan?," kata Theo Jang ketika ditemui media di pawagam Dadi, Pavillion Kuala Lumpur pada Khamis, malam.


Ketika ditanya tentang keperluan menggunakan tajuk Oppa, pengarah filem tersebut, Captain Denil berkata pemilihan tajuk bagi filem ini bukanlah dibuat semata-mata kerana populariti artis K-Pop di negara ini, tetapi kejadian sebenar adalah kebanyakkan dari mangsa banyak melibatkan penggunaan gambar artis kacak Korea Selatan menerusi aplikasi media sosial yang telah menerima laporan pihak polis. Jadi, saya fikir tajuk tersebut amat bersesuaian.


“Untuk menghasilkan filem Oppa kami telah mendapat kerjasama daripada pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan menariknya terdapat kira-kira 80 orang anggota polis sebenar yang turut terlibat menjadi pelakon untuk menjayakan filem ini.



“Malah, seorang pegawai polis iaitu Penolong Ketua Pengarah ACP Lai Lee Ching turut bertindak sebagai Pengarah Projek dan beliau banyak membantu produksi dari segi penyelarasan jadual anggota polis agar kerja-kerja penggambaran dapat berjalan dengan lancar.


“Filem ini lebih kepada memberi kesedaran dan berbeza dengan filem berbentuk komersial. Namun, ia langsung tidak melemahkan semangat kami.


“Apa pun saya lega dan ingin berterima kasih kerana masih ada yang sudi melabur untuk merealiasikan filem Oppa, termasuk kepada PDRM yang sangat banyak membantu kami,” katanya.


Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, 'Love Scam' merupakan antara kategori jenayah penipuan dalam talian yang kerap berlaku sehingga mencatat kerugian sebanyak RM382.4 juta sejak Februari 2018 sehingga Jun tahun ini.



Katanya, kajian pihaknya mendapati dalam tempoh lima tahun sebanyak 7,548 kes direkodkan dengan 82.8 peratus (6,254) daripada mangsa kejadian adalah wanita.


"Baki 1,297 melibatkan mangsa lelaki. Mungkin lebih daripada itu, tetapi tidak dilaporkan dan ada juga yang melibatkan kerugian sebanyak RM12 juta. Pihaknya amat berterima kasih pada pihak produksi kerana berjaya menghasilkan Oppa, sebuah naskhah tentang penipuan love scam yang bakal memasuki pawagam seluruh negara bermula 9 Mei 2024.


"Kita berharap apa yang dipaparkan dalam filem ini menjadi iktibar buat semua agar tidak mengulangi kesilapan yang sama," katanya.


Menurutnya lagi, sebahagian dari cerita dalam filem ini adalah fiksyen dan teknik scammer yang dipaparkan mungkin berlainan dan tidak semestinya betul kerana kami tidak mahu perilaku ini menjadi contoh negatif untuk lebih ramai mereka di luar sana mahu mencuba untuk menjadi scammer tetapi jadikanlah ia sebagai nasihat buat kita semua untuk menjauhinya.


Diinspirasikan dari sebuah kisah benar, Oppa merupakan filem wajib tonton 2024.

Catat Ulasan

0 Ulasan