FILEM NGESOT DI PAWAGAM

10 tahun yang lalu, satu tragedi menggemparkan pernah berlaku. Nicholas Andrew, seorang penjawat awam bagi Askar Wataniah mengalami kemalangan teruk di mana kereta yang dipandunya terjunam ke dalam gaung di Kilometer 6.28 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Tanah Mas dekat Bidor. Kemalangan yang hampir meragut nyawanya bersama rakan sejawatnya bernama R. Thiyagarajan yang terperangkap selama 4 hari terungkai apabila seorang daripada mereka ditemui Orang Asli di sebuah ladang kelapa sawit pada tahun 2014. 

Namun, rakan baiknya itu tidak berjaya diselamatkan akibat pendarahan teruk. Keadaan Nicholas yang terpaksa merangkak keluar sambil mengesot perlahan di dalam hutan diterjemahkan baik dalam Ngesot sebuah filem arahan Ayez Shaukat. 

Diadaptasikan dari sebuah kisah benar, Ngesot menampilkan lakonan hebat Zul Huzaimy, Luqman Hafidz, Sharifah Sakinah,  Khir Rahman, Zakaria Zahid, Erynn Abdullah dan ramai lagi itu merupakan sebuah filem terbitan Kash Pictures Sdn Bhd bersama Temasek Studio dan Metrowealth Movies (MiG). 

Mengambil pendekatan sebagai sebuah filem bertemakan 'survival thriller' dengan memaparkan keindahan alam semulajadi melalui rakaman sinematografi yang sangat cantik di sebuah hutan di Gombak, Kuala Lumpur sebagai latar tempat, Ngesot membuka paparan sebuah tragedi hitam yang hampir meragut nyawa Syazwan (lakonan Zul Huzaimy) dan rakan baiknya, Acap (Luqman Hafidz).

Kereta yang dipandu Syazwan mengalami kemalangan teruk sehingga terjunam jatuh ke dalam gaung. Untuk menyelamatkan diri, Syazwan terpaksa mengesot selama 4 hari di dalam hutan. Hanya bertemankan unggas malam dengan haiwan pemangsa, Syazwan akur sekiranya beliau menjadi korban ataupun hidup terperangkap di tempat yang cukup menakutkan.

Bercakap kepada media semasa sesi tayangan perdana filem Ngesot di pawagam MM Cineplexes, Times Square, Bukit Bintang, Ayez Shaukat berkata, filem Ngesot bukanlah sebuah filem seram tipikal, tetapi paparannya lebih menjurus kepada bagaimana watak utama, lakonan Zul Huzaimy yang memegang karektor Syazwan berdepan dengan dua situasi, pertama iaitu hidup dan mati di dalam hutan akibat terperangkap jauh ke dalam gaung dan untuk menyelamatkan diri serta berjaya dikesan penghuni lain, Syazwan terpaksa mengesot keluar dari hutan yang bermisteri itu. Keduanya adalah bagaimana watak tersebut bermain dengan emosi yang diterjemahkan melalui mimik muka, perasaan dan lakonan berkesan Zul Huzaimy dalam industri filem dan lakonan tempatan. 

"Jikalau kita lihat dari sudut lakonan, Zul Huzaimy antara pelakon lelaki yang terbaik pernah saya bekerja. Beliau berjaya menterjemahkan sisi filem ini mengikut mood dan emosi watak yang dibawanya. Bagi mereka yang ingin menyaksikan bagaimana Zul menggambarkan situasi yang dialaminya, anda kena datang ke pawagam dan tonton filem ini," katanya.

Ayez Shaukat yang merupakan seorang juara gusti negara mempunyai latar belakang di dalam industri perfileman melalui beberapa buah karya antaranya Rebut (2012) dan Bunga Raya (2011). Penampilan sulungnya sebagai pengarah melalui Ngesot membuka lembaran baharu beliau sebagai seorang sutradara menerusi naskhah seram dalam genre survival ini. 

Menurutnya, Ngesot sebuah naskhah yang diinspirasikan dari sebuah kisah benar yang pernah menghantui kehidupan Nicholas Andrew di mana wataknya dilakonkan oleh Zul Huzaimy. Zul yang pernah memenangi anugerah pelakon pembantu lelaki terbaik menerusi filem Wayang (2008) arahan Prof. Dr. Hatta Azad Khan di Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21, 2008) di mana filem tersebut juga memenangi Anugerah Khas Juri. 

Zul Huzaimy ketika ditemui media semasa tayangan filem Ngesot berkongsi saat getir ketika membintangi naskhah tersebut yang baginya  agak mencabar krebilitinya sebagai seorang pelakon menerusi cerita bersifat survival thriller ini. 

"Bagi saya, Ngesot naskhah kedua yang memberikan saya watak survival ini. Bukan tidak pernah, ada jugak filem-filem lain tetapi bukan berlatarbelakangkan hutan tetapi ada di dalam laut, namun menerusi filem ini saya cuba mencabar karektor saya dengan lakonan yang saya persembahkan. 

"Berlakon bersama reptilia hidup seperti haiwan pemangsa ini amat mengelikan saya terutamanya ular. Saya ada satu rasa tidak selesa dengan haiwan tersebut. Berlakon untuk memegang itu sebenarnya ada di dalam filem terdahulu iaitu filem Anak Halal (2007) arahan Osman Ali. Tetapi apabila saya cuba jadi orang lain, saya dah lupa yang saya ni Zul Huzaimy yang gelikan reptilia tersebut.

"Jika ditanya cabaran paling getir untyk saya visualkan adalah lakonan saya menerusi watak seorang lelaki yang terpaksa mengesot di dalam hutan selama 4 hari tanpa ada sumber makanan, cuma yang ada pun alam semulajadi. Awak bayangkan kalau awak sendiri berada di tempat saya.  Bagi saya, itu adalah karektor survival yang saya rasa paling menakutkan saya. Peminat filem genre ini, kena datang ke pawagam menyaksikan betapa hebatnya Ngesot di pawagam," katanya.

Sharifah Sakinah yang pernah membintangi beberapa buah filem, drama dan telefilem berkongsi kepada media bahawa, Ngesot sebuah naskhah yang berjaya menambat hatinya untuk bersetuju membintangi filem kelapan yang menampilkan dirinya sebagai Lisa, iaitu seorang isteri kepada Syazwan lakonan Zul Huzaimy. 

"Watak Lisa sebenarnya berlawanan dengan perwatakan saya. Jika anda pernah menyaksikan lakonan saya di dalam cerita yang lain. Menerusi Ngesot, saya cuba mencabar diri saya untuk menerima naskhah arahan Ayez Shaukat yang saya rasa ada sesuatu yang saya perlu gali untuk menambahkan perisa tersebut.

"Membintangi filem ini memberikan kepuasan buat saya kerana saya perlu menjadi seseorang yang lain. Watak isteri kepada Syazwan itu membuka ruang buat saya untuk menampilkan sisi lakonan yang berbeza walaupun ada orang cakap agak tipikal, namun saya percaya peminat naskhah genre ini akan datang menyokong filem Ngesot di pawagam," katanya. 

Ngesot yang menerima Dana Kandungan Digital (DKD) dari Kementerian Komunikasi melalui FINAS ini telahpun menemui penonton di pawagam tempatan pada 9 Mei 2024 merupakan sebuah naskhah seram bergenre survival thriller yang cukup menarik sebagai filem wajib tonton bagi penggemar naskhah  kategori ini bagi tahun 2024.

Catat Ulasan

0 Ulasan