MENGUJI KEIMANAN DALAM 'MIHRAB CINTA ZULAIKHA'

iQIYI, platform penstriman Asia yang kian popular sekali lagi kembali dengan buah tangan terbaharunya, sebuah drama bersiri istimewa berjudul Mihrab Cinta Zulaikha yang dibintangi oleh barisan pelakon handalan tanah air seperti Elisya Sandha, Azrel Ismail, Scha Elinnea, Johan As'ari, Arash Mohamad, Maria Farida dan adik Raf Iskandar.

Drama bersiri sebanyak 12 episod ini telah pun menemui pelanggan iQIYI sejak 17 Mei 2024 yang lalu. Ditayangkan bermula jam 9.00 malam, Mihrab Cinta Zulaikha merupakan naskhah kekeluargaan yang sarat dengan elemen kasih sayang serta hubungan sejagat sesama manusia.

Menurut En. Jony Deng, selaku Pengurus Besar iQIYI Malaysia & Singapura, iQIYI kini sedang dalam proses memperkukuh kedudukan mereka di pasaran Malaysia dengan menampilkan drama-drama bermutu seperti Mihrab Cinta Zulaikha yang bersesuaian mengikut permintaan penonton masa kini dan sejajar dengan trend isu-isu semasa.

“Drama Mihrab Cinta Zulaikha diinspirasikan dari kejadian dan konflik sebenar dalam masyarakat kita yang menonjolkan kisah percintaan dan juga kekuatan dari segi moral.  Selain itu, idea di sebalik penghasilan drama ini datangnya dari keinginan untuk meneroka tema-tema yang melibatkan keimanan, percintaan dan pengorbanan yang sering terjadi dalam masyarakat Malaysia,” katanya.

Drama ini mengisahkan tentang Zulaikha (Elisya Sandha), seorang wanita yang tabah, berdikari serta berpegang teguh pada ajaran agama yang bertanggungjawab menguruskan rumah anak yatim namun berdepan masalah kewangan apabila ujian datang menimpa. Kemunculan Yusof Hakimi (Azrel Ismail) sebagai penyelamat dalam membantu  menyelesaikan segala permasalahan di rumah anak yatim membawa kepada lamaran oleh Yusof terhadap Zulaikha.

“Setelah berkahwin, Zulaikha mendapat tahu kehidupan Yusof yang sebenar jauh daripada pegangan agama sepertimana yang disangkakannya. Mengeruhkan lagi situasi, Yusof sudah pun mempunyai kekasih. Pelbagai pergolakan yang berlaku ditambah ujian demi ujian menimpa diri Zulaikha, namun mampukah dia bertahan atau berserah pada takdir? Jangan lupa menontonnya di iQIYI,” tambah En. Jony.

Setiap drama Original terbitan iQIYI mementingkan mutu penghasilan, jalan cerita yang menarik dan pemilihan pelakon-pelakon yang tepat dalam menjayakan sesuatu watak, kata En. Jony, “Pemilihan pelakon adalah berdasarkan kesesuaian karakter yang dibawakan dalam drama serta kemampuan mereka untuk menarik perhatian penonton, selain memiliki bakat lakonan yang hebat dalam menghidupkan sesebuah karakter, setiap pelakon mempunyai daya tarikan tersendiri yang membuatkan mereka unik.

iQIYI memberitahu drama ini boleh ditonton oleh penonton yang berumur 18 tahun ke atas, manakala penonton di bawah umur 18 tahun tidak digalakkan untuk menonton disebabkan dasar konsep drama yang mendalam serta jalan cerita matang. En. Jony menambah, oleh kerana faktor umur yang telah disarankan, pihak iQIYI meletakan drama ini di senarai drama langganan VIP, katanya dalam satu kenyataan media.

Sebagai sebuah syarikat pemain utama platform penstriman yang unggul, En. Jony berkata bahawa iQIYI sedang berusaha menjadi pelopor bidang penyiaran atas talian dengan pengguna aktif bulanannya seramai 500 juta dengan hampir 6 bilion jam hiburan yang memukau setiap bulan.

untuk menonton trailer, sila klik pada poster

“Bayangkan dunia di mana penceritaan tidak mengenal batas, di mana setiap bingkai adalah jendela budaya yang meriah dengan kisah yang belum terungkap.” 

"Jadi, saya berharap drama Mihrab Cinta Zulaikha akan menarik perhatian dan memikat hati penonton melalui kisahnya yang mendalam dan menginspirasikan, dan semoga drama ini tidak hanya memperkayakan pengalaman penonton tetapi juga akan meneroka dan memperluaskan pemahaman mereka tentang kekayaan budaya dan nilai-nilai moral melalui karya asli ini,” tambahnya lagi.

Jangan lupa temujanji anda bersama drama Mihrab Cinta Zulaikha yang sudah bermula tayangannya sejak 17 Mei 2024 lalu.

Catat Ulasan

0 Ulasan