FILEM PADU CIPTA MEMORI

Mengangkat kisah benar yang berlaku di dalam pasukan bola keranjang negara, PADU The Movie yang diterbitkan produksi Global Station Sdn Bhd, telah mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 6 Jun yang lalu. 

Mengambil pendekatan ke arah menghasilkan karya yang bersifat kenegaraan dengan merujuk kepada tokoh sukan tempatan, Filem Padu memaparkan beberapa peristiwa penting yang menjadi sejarah dalam negara antaranya ketika perjalanan Pasukan Harimau Malaya dalam Sukan SEA 2013 di Myanmar, Sukan SEABA 2014 di Semarang, Indonesia dan Sukan SEA 2015 di Singapura. 

Ketiga-tiga peristiwa ini membariskan lakonan hebat Fiffy Azmi yang memegang watak Izzati Yaakob, Jojo Goh (Mulan), Thanuja Ananthan (Kalaimathi Rajintiran) dan Lim Mei Fan (jurulatih Yoong). Filem yang diarahkan Faisal Ishak ini turut menyelitkan isu larangan pemakaian Hijab oleh pemain wanita di mana ia telah dimansuhkan ketika Sukan SEA 2014 melalui Pasukan Wanita Qatar. Menariknya, Pasukan bola keranjang wanita Qatar bertindak meninggalkan gelanggang selepas Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) melarang mereka memakai hijab ketika perlawanan.

Paparan itu divisualkan dengan baik sekaligus membuka mata dunia bahawa hijab bukanlah satu fesyen semata-mata, tetapi ia merupakan pemakaian wajib bagi wanita muslimah yang harus dipakai bagi menutup aurat. 

Ketika ditemui media sejurus selepas Tayangan Perdana filem Padu di sebuah pawagam terkemuka di Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini, Faisal yang sebelum ini mengarahkan beberapa buah drama dan filem tempatan antaranya, Juvana The Movie (20123), Qadr (2014), Juvana 2 : Terperangkap Dalam Kebebasan (2015), Juvana 3: Perhitungan Terakhir (2016), Aliff Dalam 7 Dimensi (2016), Rise To Power: KLGU (2019) dan Budak Flat (2023) menganggap filem Padu sebagai naskhah biopik yang turut menyelitkan beberapa watak fiksyen bagi menghidupkan beberapa babak penting.

"Untuk mencantikkan filem ini, cabaran yang saya perlu lakukan adalah menampilkan watak asal pemain sebenar atau pelakon yang melakonkan watak pemain. 

"Bagi saya, keberkesanan watak itu penting di mana, pelakon yang dipilih haruslah mempunyai persamaan dengan pemain sebenar. Untuk menampakkan ia lebih real, saya membawa pelakon utama dalam filem ini untuk berjumpa dengan pemain sebenar agar sedikit sebanyak watak sebenar kita dapat tonjolkan walaupun mungkin sama atau sebaliknya," katanya. 

Menurut Fiffy Azmi, cabaran paling getir yang harus dilaluinya adalah menguasai skil bermain bola keranjang secara profesional walaupun beliau bukan seorang atlet namun sebagai pelakon, dia terpaksa membuat latihan selama tiga bulan.

"Kami diberikan tiga bulan untuk membuat segala persiapan. Walaupun saya bukan atlet tapi saya cuba sebaik mungkin untuk menggambarkan watak yang diberi," katanya.

Sebagai penerbit, Dato' Zaiton Mohd Jiwa berharap peminat filem dan sukan tempatan dapat menonton filem ini di pawagam kerana ia sebuah naskhah yang wajib ditonton memandangkan beberapa watak yang digambarkan itu adalah mereka yang cukup dikenali sebagai wirawati kebangsaan yang tiada tolok bandingnya. 


klik poster untuk menonton trailer penuh 

Padu yang diterbitkan Global Station ini juga turut menerima sokongan dan galakan kerajaan melalui Dana Kandungan Digital (DKD) daripada FINAS dan telah pun menemui penonton di semua pawagam seluruh negara sejak 6 Jun yang lalu. 

Rating: 3/5 Wajib Tonton. 

Catat Ulasan

0 Ulasan