6 JILAKE INSPIRASI KARYA P.RAMLEE

Mengambil pendekatan terhadap naskhah Melayu klasik era zaman Studio Jalan Ampas dan Cathay Keris, pengarah profilik, Aziz M. Osman, 62, tidak menolak kemungkinan bahawa 6 Jilake diisnpirasikan dari filem Melayu lama arahan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee, 6 Jahanam.

6 Jilake yang menjengah pawagam tempatan seluruh Malaysia bemula hari ini, 24 April merupakan filem ke-30 arahan Aziz M. Osman. Diterbitkan Eartistic Entertainment dengan kerjasama Primeworks Studio, filem yang membariskan lakonan hebat Amerul Affendi, Saiful Apek, Bell Ngasri, Asmidar, Kazar Saizi, Kamarool Hj Yusof, Jalil Hamid, Wan Raja, Mamak Puteh, Wan Gegau dan ramai lagi itu mengisahkan tentang perisik upahan Belanda yang cuba merampas kawasan lombong emas rahsia di Kampung Ketayap.

Pelbagai tragedi terjadi memaksa sekumpulan samseng dikenali 6 Jilake mengawasi semua kawasan lombong, tetapi tidak berjaya menewaskan seorang pendekar handalan ; menyebabkan impian untuk menakluk kampung tersebut menjadi sia-sia.

Filem yang berlatarbelakangkan abad ke-18 itu, merakamkan sudut pemandangan sangat cantik melalui sinematografi dan production design yang cukup mengagumkan. Menurut Aziz, pembikinan 6 Jilake memakan masa 32 hari dengan penggambarannya dibuat di sekitar Gopeng dan Perak adalah filem yang amat sukar dihasilkan walaupun berdepan dengan risiko sebagai sebuah filem Melayu Purba.

"Saya tidak menolak kemungkinan bahawa 6 Jilake adalah filem tempatan yang mengetengahkan nilai Melayu dalam peradaban sebuah bangsa yang berakar umbi. Pembikinannya adalah berisiko kerana ia bergenrekan aksi komedi melalui penggembaraan Melayu Purba yang dilihat sebagai sebuah karya yang 'jarang diketengahkan' dalam arus perdana di dalam industri perfileman masa kini.

"Sebagai anak seni yang sememangnya meminati filem-filem Melayu lama, saya tidak nafikan karya saya kali ini mengambil inspirasi dari filem Melayu tahun 1960-an khususnya karya-karya P.Ramlee.

"Saya berterima kasih kepada Dr Shasa Aziz, penerbit filem ini yang sanggup mengambil risiko untuk saya mengetengahkan genre yang jarang kita paparkan di layar lebar sekian lama," katanya

Bagi pemenang trofi Pengarah Baharu Berbakat di FFM9, 1991 Fenomena dan Pengarah Baharu Harapan di FFM10,1992, XX Ray, Aziz M.Osman tidak menafikan karya terbaharunya ini lebih bersifat 'jati diri Melayu' dengan imej klasik purba yang sememangnya menjadi 'minatnya' dari dahulu sehingga kini.

"Saya seorang yang sangat cintakan budaya Melayu. Saya juga masih percaya filem sebegini masih ada peminatnya walaupun 6 Jilake menyamai konsep 'Filem Kita Wajah Kita' yang menjadi slogan FINAS suatu ketika dahulu.

"JIka kita lihat dalam filem-filem dari negara luar seperti Thailand, Indonesia, Korea, Japan dan Iran umpamanya, budaya bangsa mereka sangat kuat dan ia dipaparkan di dalam kebanyakkan karya yang diketengahkan.

"Saya tidak mengharapkan apa-apa pulangan yang besar, cuma harapan saya adalah filem ini diterima baik walaupun ianya mengambil pendekatan Melayu purba lama yang berakar umbi dan mempunyai imej Melayu yang tinggi," katanya kepada media selepas tayangan filem tersebut di satu acara malam gala yang di adakan di GSC Mid Valley, Kuala Lumpur.

Manakala bagi pemilik rumah produksi. Eartistic Entertainment , Dr. Shasa Aziz pula berharap filem ini mampu mencatat pulangan yang memberangsangkan apabila ditayangkan di pawagam tempatan bermula 24 April ini.

"Sebagai penerbit baharu, saya sebenarnya berdebar menantikan sambutan penonton terhadap naskhah terbaharu Aziz M.Osman kali ini bertajuk 6 Jilake.

"Walaupun sudah lama mengenali Aziz, saya percaya dengan kredibiliti beliau untuk menghasilkan filem ini selepas membaca sinopsis jalan cerita dan skripnya. Saya tahu risiko yang akan kami hadapi selepas menghasilkannya namun saya percaya filem ini ada peminatnya," katanya.

Dr Shasa yang juga merupakan pakar audiologi di Eartistic Hearing percaya pelaburan tinggi terhadap naskhah 6 Jilake yang menelan kos keseluruhan hampir RM2.8 juta itu mampu mencatat pulangan RM10 juta seperti yang disasarkan.

Filem yang memperolehi Dana Kandungan Kreatif (DKD) dari Kementerian Komunikasi melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebanyak RM1 juta itu di antara filem epik Melayu yang mengetengahkan nilai peradaban bangsa Melayu yang sangat tinggi menerusi jalan cerita yang dipaparkan.

Sebagai peminat filem tempatan, 6 Jilake arahan Aziz M.Osman wajar diletakkan sebagai karya wajib tonton bagi penggemar sinema Melayu.

Tonton di pawagam bermula hari ini.

4/5 wajib tonton

Catat Ulasan

0 Ulasan