Selepas 12 tahun tidak mengeluarkan sebarang album. kumpulan trio tiga beradik, KRU muncul dengan album terbaharu bertajuk Kaset.
Album yang memuatkan 10 lagu itu cukup istimewa apabila ia menjadi album pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi AI generatif dalam penghasilan muzik video rasmi.
KRU yang dianggotai Dato' Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim itu menganggap penghasilan album ke-15 mereka ini sebagai mengimbas kembali nostalgia zaman 1990-an khususnya dalam penerbitan album fizikal yang suatu ketika dahulu menjadi popular sehingga mencatat jualan tertinggi setiap edisi.
Norman berkata, album Kaset dihasilkan dalam tiga format selain digital iaitu Kaset, Cakera Padat (CD) dan Piring Hitam. Pengeluaran dalam bentuk fizikal ini membuktikan industri muzik masih relevan khususnya dalam penerbitan album artis tempatan walaupun ia dikeluarkan dalam edisi terhad.
"Bagi peminat yang ingin mendapatkan album terbaharu kami, Kaset ; ia sebenarnya dikeluarkan dalam bentuk terhad di mana kaset hanya 300 unit dan CD lebih kurang 3,000 unit. Namun pada mereka yang menunggu album ini dalam bentuk vinyl / piring hitam pula, kami akan memaklumkan dalam masa terdekat untuk pre-order kerana ia sangat limited," katanya kepada pemberita di Ibu Kota.
Tambahnya lagi, penjualan album fizikal sangat susah dalam dunia muzik digital hari ini. Tetapi, bagi mereka yang ingin menjadikan album ini sebagai koleksi peribadi, bolehlah mendapatkan album Kaset ini yang juga akan dijual di tapak konsert di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 3, 4 dan 10 Mei depan.
Namun bagi Yusry, penghasilan album ini dalam bentuk kaset dan piring hitam juga menjadikan Kaset antara album terbaharu KRU yang sangat rare dalam jangka masa 30 hingga 50 tahun akan datang.
"Memang kita sekarang sudah tidak mendengarkan album dalam bentuk kaset, CD mahupun piring hitam. Apabila Sony Music memberikan persetujuan untuk KRU kembali sebagai artis rakaman di bawal label ini, kami sebenarnya gembira dan tambah teruja apabila dapat kembali mengeluarkan album ini dalam bentuk fizikal.
"Saya akui zaman hari ini orang senang mendengarkan secara digital, tetapi pengeluaran fizikal ini memberikan kami nilai sentimental buat peminat. Mungkin ada di antara mereka yang masih ada pemain fizikal, dan ada yang tidak. Namun kami percaya, ada peminat dalam format sebegini. Jika masih ada permintaan, kami akan terus mengeluarkan album dalam bentuk fizikal," katanya.
Bagi Edry pula, penggabungan semula mereka pertengahan tahun lepas menandakan banyak agenda dan perancangan yang akan dilakukan. Sebagai pemain industri, Edry berkata, penerbitan album dalam bentuk fizikal amat penting buat mereka mahupun artis rakaman kerana album sebegini boleh menjadi memori dan petanda untuk mereka kekal relevan di dalam industri muzik hampir tiga dekad.
Antara lagu-lagu yang dimuatkan di dalam album Kaset ini adalah Hambadansa, One More Time, Remaja Selamanya, GOAT, Selamat Hari Lahir, Voodoo, Sampai Sini Saja, High Maintenance, Ciptaan Sempurna dan Agung.
Album ini juga boleh diakses di semua platform digital bermula hari ini, 25 April.
0 Ulasan