Walaupun baharu episod pengenalan, enam peserta Big Stage Alpha tidak layak meneruskan saingan apabila tersingkir di minggu pertama yang berlangsung dari Royal Theatre Shah Alam, Selangor, malam Ahad.
Suff Ahmed, Syafeek Ikhwan, Apich Lo, Alif Azri, Shaqeen dan Ridhwan Azman antara enam peserta yang telah tersingkir, menjadikan hanya 12 peserta yang layak dari 18 peserta keseluruhannya.
'The Big 12' adalah peringkat seterusnya di mana 12 peserta bakal digilap dan bersaing sesama sendiri bagi melahirkan sebuah kumpulan muzik di bawah naungan Astro.
Ketika bercakap kepada media sejurus selepas siaran langsung Big Stage Alpha malam tadi, komposer dan pengubah muzik terkenal, Edry Abdul Halim yang juga kumpulan KRU berkata, Big Stage Alpha adalah program yang mencari bakat di kalangan generasi baharu yang boleh menjadi pewaris kepada industri muzik dalam suatu jangka masa, di mana ianya akan membentuk sebuah kumpulan muzik lelaki pertama yang bernaung di bawah pengurusan Astro.
"Kita mencari yang terbaik dan berpotensi besar untuk diketengahkan. Memang diakui banyak saingan di antara peserta yang bertanding, cuma perkara yang penting adalah wujudnya keserasian antara mereka semua apabila menjadi satu kumpulan.
"Kita tidak boleh mencari seorang sahaja yang menonjol dalam sebuah kumpulan. Tetapi semua. Namun kita perlu berhati-hati kerana bukan sahaja vokal akan dinilai tetapi skill yang lain juga akan dilihat. Kita percaya yang terpilih nanti adalah yang terbaik untuk industri muzik hari ini dan akan datang," katanya.
Ray-D, Awienit, Aeril Fesol, Que, Araff, Qarl G, Afiq Sky, Ashmirul, Daniel Sher, Rizal Rasid, Izat Ibrahim dan Allan Andersn adalah 12 peserta lelaki yang terpilih ke peringkat seterusnya di mana mereka akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Alpha Ultra dan Alpha Prime.
Daniel, Allan, Ray-D, Araff, Que dan Awienit adalah Alpha Ultra, manakala Alpha Prime bakal dianggotai Ashmirul, Afiq, Rizal, Izat dan Rizal.
Program hiburan Big Stage buat julung kali menampilkan format all-male spin-off bagi memberi saingan buat 18 bintang lelaki merebut peluang menjadi kumpulan lelaki pertama naungan Astro. Kesemua peserta akan diuji setiap minggu menerusi persembahan secara solo dan misi berkumpulan mengikut tema yang akan diberi.
Setiap persembahan akan diadili berdasarkan markah juri tetap, namun undian peminat akan menentukan siapa yang layak ke peringkat akhir.
Datuk Syafinaz Selamat, Edry Abdul Halim dan Hael Husaini merupakan juri tetap, manakala juri jemputan minggu pertama adalah Kris Dayanti.
Dihoskan oleh dua pengacara, Elly Mazlien (Malaysia) dan Rina Nose (Indonesia), Big Stage Alpha boleh ditonton secara langsung di Astro Ria (Saluran 104) pada setiap Ahad, jam 9 malam. Ianya juga boleh diakses melalui platform Astro Go dan Sooka.
0 Ulasan