Walaupun baharu beberapa bulan beroperasi, Saloma Kuala Lumpur kini mula dibuka kepada orang ramai. Pembukaan restoran di tengah segi tiga emas kota metropolitan Kuala Lumpur itu menjanjikan kualiti makanan dan gaya hidup moden berasaskan hidangan tradisi tanpa melupakan adat dan budaya timur melalui ikon seni suara tanah air, Biduanita Negara, Puan Sri Saloma.
Sebagai menghargai pengorbanan Saloma di dalam industri seni budaya, hiburan dan perfileman, Datin Riza binti Dato' Che Umar, Presiden Saloma berkata, pemilihan Allahyarhamah Puan Sri Saloma sebagai ikon bagi Saloma Kuala Lumpur adalah penghargaan tertinggi buat Biduanita Negara pertama itu.
Menurutnya, pihaknya menghargai jasa dan bakti Biduanita Negara itu melalui penyerahan gratuiti kepada waris keluarga penyanyi dan pelakon legenda tersebut, sekali gus berkongsi rezeki melalui pembukaan restoran di tapak asal Saloma Bistro yang ditutup hampir sekian lama.
"Saya cukup terharu apabila restoran yang kami buka ini mendapat sambutan menggalakkan dari pelanggan. Apabila mahu menjenamakan kembali restoran ini, kami fikir lebih baik menggunakan kembali nama Saloma melalui Saloma Kuala Lumpur.
"Melaluinya, kami fikir lebih baik kita berkongsi rezeki melalui pemberian gratuiti kepada keluarga pewaris Saloma. Pemberian ini merupakan manifestasi keikhlasan dan penghargaan atas jasa dan bakti yang telah ditinggalkan Puan Sri Saloma kepada generasi masa kini.
“Ia juga merupakan kesinambungan kepada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Saloma Kuala Lumpur yang turut menyantuni tetamu istimewa termasuk mereka yang memerlukan bantuan,” katanya.
Gratuiti tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan kepada cucu-cucu Allahyarhamah Saloma iaitu Arzanee Armalie dan Rozaidie Armalie, diiringi Datin Riza Dato' Che Umar, Presiden Saloma Kuala Lumpur.
Turut hadir di
majlis yang diadakan di Theatre Hall, Saloma Kuala Lumpur tersebut ialah
Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar, Ketua Polis Negara
Tan Sri Razarudin Husain, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan
Budaya , YBhg. Dato’ Shaharuddin Abu Sohot, dan Ybhg. Tan Sri Dato’ Seri Haji
Azam Baki, Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Menurut Datin
Riza lagi, majlis tersebut diadakan bukan sahaja untuk meraikan sambutan Aidilfitri
tetapi juga untuk mengenang jasa dan sumbangan Biduanita Negara Saloma sebagai
seorang seniwati unggul dan ikon budaya negara.
Beliau berkata sebelum ini Saloma Kuala Lumpur telah melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk Program Rahmat Ramadan: Santunan Ihsan yang mengagihkan lebih 3,000 kampit beras dan pek makanan kepada golongan asnaf dan yang memerlukan.
Turut dianjurkan ialah majlis Malam Naungan Rahmat, Limpahan Berkat bagi membantu artis veteran serta anak-anak tahfiz, serta program berkonsepkan Kongsi Rezeki yang menjadi nadi setiap kali penganjuran program.
Saloma Kuala Lumpur juga sentiasa membuka ruang dan jalinan kerjasama dengan penggiat-penggiat seni yang lain seperti menjadi pilihan lokasi kepada beberapa sidang media berkaitan dengan promosi seperti Konsert 30th Anniversary ELLA USA dan juga Rossa “Here I am Concert”.
Beliau turut menjelaskan bahawa penganjuran majlis malam ini akan terus memperkukuh usaha Saloma Kuala Lumpur untuk memartabatkan seni budaya tanah air sambil menyemai nilai kemanusiaan dan penghargaan terhadap legasi seni negara yang tidak luput ditelan zaman.
0 Ulasan