Nostalgia zaman kegemilangan Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan tiga seniwati layar perak, Allahyarhamah Normadiah, Datin Saadiah dan Norsiah Yem bakal diimbas dalam Konsert Legasi Layar Perak yang bakal berlangsung malam ini di Panggung Capitol, Singapura.
Bukan hanya itu, konsert berkenaan juga sebagai memperingati bintang klasik Jalan Ampas dan sudah dianjurkan sejak 2017 lagi.
Istimewanya, nostalgia empat ikon zaman kegemilangan perfileman Melayu itu bakal menampilkan anak mereka iaitu Azlina Aziz, Eddy Ali dan Fazlina Ahmad Daud.
Selain itu, konsert itu juga membabitkan beberapa penyanyi lain iaitu Milah Hussein, P Radhi, Haziq Rosebi, Rojer Kajol, Hafiz Hamzah dan Rabiatul Ahmad.
Azlina yang menjadi tunjang konsert bakal menhiburkan penonton dengan rangkaian lagu dendangan arwah ibunya, selain berkongsi kisah suka duka di Studio Jalan Ampas dan perkampungan artis di Boon Teck Road. Begitu juga Fazlina dan Eddy Ali.
Penganjur konsert, Siti Aminah Ismail berkata, konsert itu diadakan bagi menghormati dan meraikan sumbangan perintis dalam perfileman Melayu klasik, selain mendedahkan legasi mereka kepada generasi baharu.
"Kami ingin mendidik penonton mengenai sejarah dan kepentingan budaya filem serta muzik Melayu.
"Selain mempromosikan kepelbagaian budaya dan perpaduan dengan menggabungkan pengaruh India, Cina dan Melayu, kami ingin anak-anak memberi penghargaan kepada ibu bapa mereka.
"Saya memilih Azlina, Fazlina dan Eddy Ali untuk memberi penghargaan kepada arwah ibu bapa mereka, manakala pembabitan artis lain sebagai penyeri konsert," katanya.
Konsert Legasi Layar Perak di Panggung Capitol, Singapura pada 30 April, malam ini anjuran Wadah Seni Entertainment menampilkan jalan cerita, sketsa dan komedi dalam persembahan yang ditampilkan.
Sumber berita dipetik dari Berita Harian
0 Ulasan