Walaupun terkenal dengan beberapa karya bersifat indie pada awal kemunculannya, pengarah filem Osman Ali kali ini tampil dengan karya terbaharunya, Telaga Suriram.
Filem yang mengambil pendekatan era filem-filem seram sekitar tahun 2000 hingga 2010 itu boleh dikatakan agak menarik untuk diolah secara mendalam memandangkan lakonan Maya Karin, Ellie Suriaty, Nabila Huda, Scha Al Yahya dan Farid Kamil cukup cemerlang menerusi watak-watak yang dimainkan.
Entah mengapa seperti ada kekurangan sedikit dari segi plot penceritaannya, memandangkan karya sebelum ini, Osman memukau khalayak penonton menerusi Puaka Tebing Biru, Anak Halal, Ombak Rindu, Jwanita, Langit Cinta dan Langsuir. Kesemua karya filem Osman menjadi pilihan saya, memandangkan beliau antara pengarah filem pilihan wajib tonton untuk diletakkan sebagai pengarah kegemaran di dalam industri perfileman tempatan.
Namun karya ke-17 sentuhannya kali ini sedikit berbeza dari filem-filem yang pernah dihasilkannya. Perjalanan emosi setiap pelakon yang membintangi naskhah ini boleh dikatakan agak cemerlang tetapi kemunculan semula Maya Karin selepas 10 tahun tidak beraksi di bawah pengarahan Osman Ali menjadi penantian yang cukup bermakna.
Umum mengetahui Osman antara pengarah filem yang berjaya membuatkan penonton mengalirkan air mata menerusi karya Ombak Rindu (2011) dan Langit Cinta (2016) , malahan penampilan Maya Karin selepas Jwanita (2015) amat ditunggu-tunggu peminat.
Kemenangan Maya sebagai Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-49 menerusi Filem Pontianak Harum Sundal Malam (2004) dan Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21, 2008) menerusi Anak Halal (2007) menjadi pertaruhan Osman di dalam Telaga Suriram (2025) untuk mengembalikan semula roh lakonan Maya sebagai Rohaya seorang wanita kampung yang mempunyai seorang anak bisu bernama Suriram.
Kehilangan seorang anak kecil bernama Suriram menjadi misteri, pelbagai cerita orang kampung tentang korban saka dan anasir mistik menjadi bualan hangat. Rohaya (Maya Karin) dan Sopiyan terus berusaha mencari kehilangan anak mereka. Seorang gadis bisu yang menjadi pengasuh Suriram bernama Maimon (Nabila Huda) menjadi suspek utama pembunuh Suriram.
Zakir (Farid Kamil), seorang bakal pemimpin muda yang memperjuangkan keadilan buat Suriram membantu seorang Pegawai Penyiasat bernama Karmila (Scha AlYahya) bersama-sama dalam menyiasat dan memperjuangkan keadilan terhadap kematian Suriram. Tetapi apakah yang terjadi seterusnya? semuanya bakal terjawab dalam Telaga Suriram yang kini ditayangkan di pawagam tempatan bermula 1 Mei, hari ini.
Namun apa yang menjadi persoalan di sini ialah garapan Osman dalam Telaga Suriram sedikit 'longgar' namun jika diperbaiki ia boleh menjadi filem seram terbaik bagi pembukaan sinema Malaysia bagi tahun 2025.
Bukan untuk menidakkan Telaga Suriram sebagai sebuah karya seram wajib tonton dari Osman selepas Jwanita dan Langsuir, namun sebagai peminat filem dan karya-karya Osman, saya berasa seperti ada kekurangan sedikit yang mungkin tidak disedari namun sebagai pembikin filem yang mempunyai profil yang bagus dari segi pengarahan, Osman mungkin terlepas pandang dari segi penceritaan dan penggunaan CGI kerana Telaga Suriram mempunyai pelakon-pelakon yang hebat seperti Maya Karin, Nabila Huda, Ellie Suriaty, Scha Al Yahya dan Farid Kamil. Sebagai peminat filem dan naskhah Osman Ali, anda wajar menonton filem ini dan memberi ruang untuk ianya bernafas di pawagam.
Ketika ditemui media semasa Tayangan Perdana filem ini di ibu kota, Osman Ali berkata Telaga Suriram diinspirasikan daripada secebis kisah yang berlaku suatu masa dahulu, di mana kes kanak-kanak yang mati terjatuh ke dalam telaga.
"Terdapat cerita atau mitos rakyat dahulu yang mengaitkan tentang kepercayaan telaga-telaga lama yang dipercayai berhantu dan mengambil nyawa manusia. Jadi, kami rasa adalah sangat menarik untuk menghasilkan sebuah naskhah yang menggabungkan elemen mistik yang penuh dramatik dengan kepercayaan lama yang diwarisi turun-temurun.
“Telaga Suriram bukan sekadar filem seram biasa yang hanya bergantung kepada elemen kejutan atau hantu sahaja. Saya ingin membawakan pendekatan kepada sikap segelintir masyarakat sekeliling yang masih lagi dibelenggu dan terikut-ikut dengan kepercayaan mitos yang menjadi sebahagian daripada budaya kita,” katanya.
Bercerita lebih lanjut mengenai proses pembikinan filem, Osman mengakui turut berdepan cabaran ketika penggambaran dilakukan.
Ujarnya, kebanyakan lokasi penggambaran adalah di kawasan kampung tradisional yang mempunyai kisah tersendiri untuk mendapatkan suasana seram yang lebih autentik.
“Lokasi yang kami pilih semuanya mempunyai kisah mistik tersendiri, jadi memang ada kejadian-kejadian seram yang berlaku seperti suara misteri.
“Selain itu, ada kru yang rasa diperhatikan dan ternampak kelibat pelik. Namun, kami anggap itu semua sebahagian daripada cabaran kerja,” ujarnya.
Sementara itu, Yus Yusop selaku penerbit memberitahu bahawa idea untuk menghasilkan filem Telaga Suriram bermula kerana minatnya terhadap cerita-cerita rakyat yang kaya dengan unsur sejarah dan elemen mistik.
Ujarnya, berdasarkan perbincangan dengan pengarah, pihaknya merasakan cerita sedemikian sangat sesuai untuk diangkat ke layar perak.
“Filem ini dihasilkan pada tahun 2022 dan menjalani proses yang sangat teliti dari peringkat skrip hingga pasca produksi. Itu yang menyebabkan masa selama tiga tahun terpaksa diambil untuk siap secara keseluruhannya.
“Namun begitu, saya percaya penantian untuk ia ditayangkan di layar perak sangat berbaloi dengan hasil yang cukup membanggakan,” katanya.
Selain mengharapkan sambutan hangat penonton, Yus juga berharap agar filem ini bukan sahaja dapat menarik perhatian peminat filem seram, tetapi mereka yang menghargai seni dan budaya masyarakat di negara ini.
Diterbitkan syarikat Odissi Creative Sdn. Bhd. dengan kerjasama produksi milik Osman Ali, Nuansa Films, Telaga Suriram yang kini ditayangkan di pawagam mulai 1 Mei 2025 ini sebenarnya mengambil latar perkampungan Melayu yang cukup cantik dengan rekaan set yang begitu mengagumkan.
Jika dilihat dari segi pembinaan set rumah kampung dan pengarahan seni merangkumi props dan latar suasana, filem ini berjaya mengembalikan mood dan vibe era tahun 1980-an memandangkan tenaga produksi yang terlibat dalam pembikinan filem ini bukanlah calang orangnya.
Setiap babak diperhalusi dengan baik oleh setiap pelakon, melalui gaya lakonan dan mimik muka yang cukup meyakinkan namun sedikit menghantui penonton jika diamati dengan teliti. Begitulah penampilan Maya dan Nabila di dalam naskhah Telaga Suriram ini. Tidak terkecuali juga buat Ellie Suriaty yang sedikit keterlaluan tetapi beremosi.
Namun, apa yang boleh dikatakan adalah kemunculan ketiga-tiga pelakon ini ada ketika tidak digunakan sebaiknya malahan penonton mengharapkan Maya lebih menonjol seperti mana hebatnya Maya Karin di dalam Pontianak Harum Sundal Malam.
Babak berkemban di dalam naskhah ini tidak perlu dijadikan isu kerana ia mengambil latar suasana zaman itu yang kebanyakannya menampilkan gaya hidup masyarakat peribumi Melayu. Namun tidak dinafikan bahawa Osman terkenal dengan elemen romantik dua pasangan melalui beberapa scene seksual dirasakan agak terlalu deep, tetapi tidak menganggu perjalanan naskhah.
Dari segi sinematografi, Telaga Suriram bagaikan sebuah puisi visual yang menghidangkan sesuatu yang jujur dari garapannya, ia bagaikan menonton sebuah kisah dendam, pembunuhan tragik yang disaluti elemen dramatik menyayat hati, namun hasilnya sedikit 'goyah' dari segi plot penceritaan walaupun lakonan para pelakon dalam naskhah ini menjadi.
Jika dilihat penggunaan runut bunyi nyanyian Dato' Sri Siti Nurhaliza, saya merasakan ia tidak perlu dengan lagu baharupun, cukuplah jika Siti Nurhaliza atau Maya Karin mengalunkan suara emasnya melalui lagu Suriram yang dihasilkan dalam bentuk klasik dengan susunan muzik orkestra yang sedikit suntikan seram. Saya percaya ini boleh menggegarkan jiwa dan rasa setiap penonton yang menyaksikannya.
Namun jika diamati dari segi penggunaan elemen CGI, ianya seolah-olah dilakukan dengan tergesa-gesa dan tidak real dalam beberapa babak yang menggunakan efek khas. Namun kredit harus diberi buat seluruh tenaga produksi yang bekerja keras untuk menghasilkan naskhah seram arahan Osman Ali ini.
Saya tidak mahu mengulas panjang berkenaan filem ini, tetapi saya mahu anda sendiri menyaksikan bagaimana filem ini bermula dan berakhir dengan sendiri. Telaga Suriram punya kekuatan tersendiri tetapi jika digarap dengan lebih baik lagi, saya percaya ianya boleh menjadi buah tangan istimewa Osman Ali selepas tiga tahun terperap.
Memperolehi Dana Kandungan Kreatif (DKK) dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) melalui Kementerian Komunikasi, Telaga Suriram kini di pawagam.
Adakah filem ini mampu menjadi filem wajib tonton? Tepuk dada tanya selera.
0 Ulasan