BIG STAGE ALPHA MINGGU KE-3, ARIEL FESOL TERSELAMAT DARI TERSINGKIR

Walaupun hampir tersingkir, peserta Big Stage Alpha Ariel Fesol menarik nafas lega apabila terselamat pada minggu ketiga program tersebut.

Dihoskan oleh pengacara Elly Mazlien dan Rina Nose, Big Stage Alpha minggu ini menampilkan persembahan memukau dari 10 bintang lelaki yang mempertaruhkan satu juara bagi mewujudkan sebuah kumpulan muzik lelaki.

Datuk Syafinaz Selamat yang merupakan juri tetap program tersebut berkata, persembahan kesemua  perserta pada minggu ini mempunyai peningkatan yang memberangsangkan namun berharap tiada penyingkiran berlaku.

"Saya minta Ariel Fesol tidak disingkirkan pada malam ini. Saya juga berharap Ariel gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk memperbaiki diri dengan persembahan yang lebih baik pada minggu hadapan. Jangan sia-siakan peluang ini, kalau tidak awak akan tersingkir," katanya.

Selain Ariel, Afiq Sky dan  Alley Anderson juga berada pada kedudukan terakhir di mana ia melayakkan mereka bersaing sesama sendiri bersama tujuh peserta lain iaitu Daniel Syer, Ray D, Araff, Que, Awienit, Rizal dan Izat.

Minggu ini menyaksikan kesemua peserta mempersembahkan rangkaian lagu-lagu terbaik dari Tan Sri P.Ramlee, Michael Buble, Alif Satar, Nike Ardila, Mojo, Adele, XPDC, Tulus, Sam Smith dan Puan Sri Saloma melalui persembahan secara berkumpulan dan solo.

Setiap peserta diberikan dua kumpulan iaitu Alpha Prime dan Alpha Ultra, di mana Alpha Prime dianggotai Afiq, Rizal, Izat dan Ariel Fesol manakala Alpha Ultra dianggotai Dani, Allan, Ray D, Araff, Que dan Awienit.

Program hiburan Big Stage Alpha buat julung kali menampilkan format all-male spin-off bagi memberi saingan buat 18 bintang lelaki merebut peluang menjadi kumpulan lelaki pertama naungan Astro.

Selain Syafinaz, Big Stage Alpha menampilkan Hael Husaini dan Edry Abdul Halim sebagai juri tetap, namun pada minggu ketiga semalam, Ajai dan Jaclyn Victor dijemput menjadi juri bersama. 

Catat Ulasan

0 Ulasan