Siapa pun tidak menyangka keputusan untuk kembali bersatu sekali gus mengadakan konsert berskala besar diterima baik peminat sehinggakan empat hari konsert yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil itu meninggalkan sejuta kenangan dan memori tersendiri.
Walaupun pada asalnya mahu mengadakan persembahan hanya pada satu malam, tetapi memandangkan jualan tiket yang dibuka sejak Disember lalu laris dalam masa sejam, penganjur konsert ICON Entertainment melanjutkan persembahan selama empat hari buat peminat KRU melalui konsert genKRU yang berjaya memukau penonton selama empat malam.
Itulah penangan yang berlaku terhadap kumpulan legenda trio adik-beradik KRU yang dianggotai Dato' Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim.
Konsert yang berlangsung hampir tiga jam itu menampilkan 31 buah lagu keseluruhan dengan 12 secara medley, di mana senarai lagu tersebut ditukar setiap dua malam bagi mewujudkan sesuatu yang istimewa buat peminat yang hadir pada setiap malam. Antara lagu yang dipersembahkan mereka adalah Fanatik, Malam Kita, Oh! La La, Babe, The Way We Jam, Terhangat Di Pasaran dan banyak lagi.
Menariknya, konsert tersebut juga menampilkan penyanyi Adam AF dan kumpulan Elite sebagai artis jemputan manakala esok malam pula peminat akan dihiburkan dengan kumpulan hip-hop dan pop wanita terkenal, Feminin yang pernah mencetuskan fenomena sekitar tahun 1990-an.
Ketika ditemui media sejurus selepas persembahan, Datuk Yusry Abdul Halim berkata, konsert genKRU yang berlangsung selama 4 hari itu mungkin merupakan konsert terakhir mereka di dalam industri muzik tempatan.
"Kita tidak akan buat lagi konsert sebegini. Mungkin ini yang terakhir dan tiada dalam perancangan kami buat masa-masa akan datang. Kepada anda yang hadir menonton kami, amat kami hargai," katanya.
Namun bagi Dato' Norman dan Edry Abdul Halim, KRU bukan artis sepenuh masa namun mereka kembali beraksi adalah untuk meraikan muzik sekali gus menghargai pengorbanan peminat yang sanggup menyokong kerjaya mereka dari awal sehinggalah kini.
"Ya kami bukan artis sepenuh masa. Kami kembali bersama atas rahmat dan kasih sayang kedua ibu bapa kami yang mahu melihat kami bersatu kembali menghiburkan kalian, peminat yang amat kami sayangi.
"Agak teruja bila setiap malam kami menyanyi di konsert ini, sambutan peminat agak luar biasa. Terima kasih buat ICON Entertainment kerana berjaya menjadikan persembahan ini suatu realiti yang mungkin tidak akan dilupakan buat kami juga dan peminat semua, "kata Dato' Norman dan Edry Abdul Halim sekali gus membuktikan KRU antara kumpulan muzik lelaki yang masih relevan di dalam industri muzik walaupun berusia hampir setengah abad.
Konsert genKRU yang berlangsung empat hari tu juga memberi penghormatan buat legenda dan ikon muzik nusantara, Allahyarham Datuk Sudirman Hj. Arshad melalui lagu Perpisahan Terasing yang dipersembahkan KRU pada setiap malam.
Berlangsung dengan jayanya di Axiata Arena, Bukit Jalil sehingga menjadi seperti sebuah festival muzik yang menghimpunkan setiap generasi dan peringkat usia, genKRU adalah momen penting dan cukup berharga di dalam sejarah industri muzik tempatan.
Namun apa yang lebih istimewa adalah konsert ini akan dibawa ke Singapura pada 28 Jun depan di The Star Theatre.
Kredit Gambar: Bangsawan Pictures
0 Ulasan