Dengan perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang semakin pesat, impaknya terhadap industri muzik menjadi semakin serius. Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) membangkitkan kebimbangan tentang bahaya penghasilan tidak terkawal muzik janaan AI dalam landskap muzik Malaysia, menggesa perhatian serta tindakan segera daripada badan kerajaan yang berkaitan.
“Walaupun AI berpotensi untuk mengembangkan kreativiti dan meningkatkan kecekapan pengeluaran lagu, penggunaannya yang tidak terkawal boleh menjejaskan periuk nasi semua penggiat dalam eko-sistem industri muzik tempatan”, kata Rosmin Hashim, Pengerusi RIM. Salah satu kebimbangan utama ialah isu pelanggaran hak cipta di mana model AI dilatih menggunakan kandungan muzik berhak cipta tanpa kebenaran pemegang hak cipta yang berkaitan.
“Tanpa perundangan yang jelas, pencipta mungkin mendapati karya mereka dieksploitasi tanpa kebenaran atau pampasan yang sewajarnya. Ini dapat dilihat baru-baru ini di mana teknologi AI digunakan untuk menghasilkan versi baru lagu “Aku Cinta Padamu” yang asalnya dinyanyikan oleh Dato’ Sri Siti Nurhaliza dengan vokal tiruan suara Dayang Nurfaizah yang bukan sahaja melanggar undang-undang hak cipta tetapi juga menimbulkan isu pemilikan hak cipta lagu-lagu sedemikian”, tambahnya lagi.
“Satu kajian ekonomi global yang dibuat oleh Konfederasi Persatuan Pengarang dan Komposer Antarabangsa (CISAC), badan global yang mewakili lebih 5 juta pencipta menganggarkan kerugian sebanyak 10 bilion Euro kepada industri muzik sedunia menjelang 2028 angkara muzik yang dijana oleh AI. Kajian itu menyimpulkan bahawa dalam persekitaran kawal selia yang tidak berubah, pencipta akan mengalami kerugian berganda - Penggunaan karya mereka untuk latihan model Gen AI tanpa imbuhan; dan penggantian aliran pendapatan tradisional mereka disebabkan oleh kesan penggantian output yang dihasilkan oleh AI yang bersaing dengan karya buatan mereka sendiri.
Kerugian ini juga akan ditanggung oleh semua penggiat dalam ekosistem industri muzik tempatan termasuk pencipta lagu, penyanyi, pemuzik dan syarikat rakaman serta akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan yang besar dalam setiap sector industri muzik tempatan dalam masa terdekat”, katanya.
“Percambahan muzik yang dijana oleh AI menghakis royalti yang diperolehi pencipta dalam pelbagai platform penstriman muzik. Contohnya, lebih 20,000 muzik janaan AI kini sedang diserap ke platform penstriman muzik Deezer setiap hari dan kini membentuk kira-kira 18% daripada jumlah kandungan muzik dalam platform itu. Jika trend ini berterusan, kandungan muzik yang dihasilkan oleh AI akhirnya akan mengatasi kandungan yang dihasilkan oleh manusia dan mengambil alih bayaran royalti yang diterima oleh manusia dalam pelbagai platform penstriman muzik berkenaan”, tambahnya lagi.
Industri muzik di seluruh dunia sedang bertempur dengan syarikat AI unuk melindungi pemegang hak cipta. Pada 2023, Universal Music Group, Concord dan ABKCO menyaman syarikat AI, Anthropic dengan mendakwa syarikat itu melatih chatbot AI-nya, Claude dengan lirik daripada sekurang-kurangnya 500 lagu oleh artis-artis ternama termasuk Beyonce, Rolling Stones dan Beach Boys tanpa kebenaran. Pada tahun 2024 pula, Persatuan Industri Rakaman Amerika (RIAA) bagi pihak tiga syarikat rakaman antarabangsa, Sony Music Entertainment, Universal Music Group dan Warner Music Group menyaman Suno dan Udio, dua perkhidmatan penjanaan muzik AI di atas pelanggaran hak cipta.
“Rangka kerja perundangan yang komprehensif yang mengawal pembangunan AI di Malaysia adalah penting untuk memastikan kedua-dua syarikat AI dan pemegang hak cipta mendapat manfaat daripada muzik yang dijana AI. Kesatuan Eropah (EU) telah menggubal Akta Kecerdasan Buatan EU yang antara peruntukan lain memerlukan pembangun AI untuk mendapatkan kebenaran daripada pemegang hak cipta untuk perlombongan teks dan data kandungan berhak cipta. Akta ELVIS yang digubal di Tennessee, Amerika Syarikat melindungi individu daripada peniruan yang dijana AI tanpa kebenaran termasuk ‘deepfakes’ dan klon suara. Sudah tiba masanya untuk kerajaan Malaysia menggubal undang-undang baharu untuk memberi perlindungan yang sama kepada pemegang hak cipta di Malaysia”, Rosmin mengakhiri.
RIM menggesa penggubal dasar Malaysia untuk menggubal undang-undang baharu yang melindungi kreativiti dan kepintaran manusia serta melaksanakan peraturan ketelusan yang mewajibkan pembangun AI untuk mendedahkan kandungan muzik berhak cipta yang digunakan dalam latihan model generatif AI. Ini akan memastikan bahawa teknologi AI dibangunkan dengan cara yang menyokong kreativiti dan budaya manusia.
RIM menggesa penggubal dasar Malaysia untuk menggubal undang-undang baharu yang melindungi kreativiti dan kepintaran manusia serta melaksanakan peraturan ketelusan yang mewajibkan pembangun AI untuk mendedahkan kandungan muzik berhak cipta yang digunakan dalam latihan model generatif AI. Ini akan memastikan bahawa teknologi AI dibangunkan dengan cara yang menyokong kreativiti dan budaya manusia.
Untuk maklumat lanjut, layari www.rim.org.my atau ikuti kami di facebook.com/RecordingIndustryMalaysia dan @recoringindustrymalaysia di Instagram.
0 Ulasan