SHOWCASE SERI MALAYA MARTABATKAN SENI MUZIK TRADISI

Perjuangan bagi membawa serta melestarikan muzik Melayu tradisi merangkumi ghazal, inang, joget, asli, masri, samrah, langgam, keroncong dan sebagainya bukanlah mudah. Ia memerlukan pengorbanan dari segi masa, tenaga dan wang ringgit.

Namun atas minat yang mendalam terhadap seni lagu-lagu Melayu tradisional, penyanyi dan pemuzik tradisi kelahiran Johor, Mohd Rozaidy Shukry, 38, atau Rojer Kajol bukanlah asing di kalangan penggemar irama muzik tradisional di Malaysia. 

Kemunculannya pada lewat tahun 2020 melalui lagu-lagu Melayu Asli tradisional telah menjadikan beliau lebih dikenali di kalangan peminat muzik sebegitu malahan kemunculannya menjadi pewaris kepada irama Melayu lama yang tinggi nilai seni dan budayanya. 

Sebagai menghargai khazanah seni muzik Melayu agar tidak luput ditelan zaman, Rojer Kajol Music dengan kerjasama Kementerian Komunikasi, MyCreative Ventures, Persatuan Ghazal Johor Malaysia, ARTease dan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur dengan bangganya membawakan Showcase Seri Malaya.

Bakal dipentaskan pada 17 Mei 2025 di Dewan Tunku Abdul Rahman, MaTiC, Kuala Lumpur, Showcase Seri Malaya akan menghidangkan 12 buah lagu tradisional yang dialunkan melalui muzik, tarian dan lakonan.

Menampilkan gandingan hebat Kajol Zuraidah bersama Rojer, Showcase Seri Malaya juga bakal membawakan penyanyi Asmidar dan pelakon cilik berbakat besar, Mikael Noah, di mana persembahan pada malam tersebut bakal diiringi Orkes Melayu Rojer. 

Tidak terkecuali, beberapa bakat baharu khususnya penari-penari muda dan pelakon dari Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur. 

Persembahan yang julung kali diadakan ini merupakan manifestasi cinta terhadap warisan budaya tanah air. Ketika bercakap kepada media, Rojel Kajol berkata, sebagai pencinta seni budaya dan warisan Melayu tradisional, beliau sangat teruja untuk mengadakan persembahan tersebut memandangkan irama tradisional yang dicintainya sejak kecil itu membuka jalan untuk beliau lebih dikenali bukan sahaja di kalangan generasi lama bahkan anak muda yang turut sama mencintai seni lagu Melayu lama ini.

"Saya sebenarnya tidak sabar untuk mengadakan persembahan pada 17 Mei depan. Walaupun sedikit gusar, namun saya katakan inilah persembahan yang amat bermakna buat kami. 

"Membawakan lagu Melayu lama adalah minat saya sejak kecil lagi. Saya cukup teruja untuk berkongsi pentas bersama Asmidar. Mungkin akan ada lagu duet kami yang cukup istimewa malam tersebut. Buat peminat lagu-lagu tradisional, jangan lupa untuk datang pada malam tersebut," katanya.

Namun bagi Naib Juara Bintang RTM 2001, Norhasmidar binti Ahmad, 39, atau Asmidar, peluang dapat berkongsi pentas bersama Rojer akan digunakan sebaik mungkin bagi membawa dan mengetengahkan irama tradisi melalui muzik kepada generasi muda.

"Tahniah buat penganjur khususnya MyCreative Ventures yang sudi membantu kami mengadakan persembahan di sini. Saya gembira kerana perjuangan kami untuk melestarikan muzik sebegini dipandang mereka walaupun hakikatnya amat pahit ditelan memandangkan genre sebegini sukar menarik minat pendengar, malahan saya beruntung kerana jualan tiket untuk showcase ini agak laris.

"Membawakan lagu-lagu Melayu tradisional amat saya gemari, memandangkan saya pernah merakamkan lagu sebegini. Apabila Rojer menghubungi saya untuk sama-sama mengadakan persembahan, mana mungkin untuk saya menolaknya," katanya. 

Apa yang membezakan Showcase Seri Malaya ini adalah pendekatannya yang menggabungkan muzik tradisional dengan elemen lakonan dan tarian, menjadikan persembahan ini sebuah pengalaman seni yang menyeluruh dan menyentuh emosi. 

Lakonan Mikael Noah akan membawa naratif yang menyatukan keseluruhan persembahan dalam bentuk penceritaan yang menyentuh hati dan mendidik. Acara ini juga bertujuan untuk mendekatkan generasi muda kepada keindahan muzik dan budaya tradisional, serta membangkitkan rasa bangga terhadap warisan bangsa. 

Pas masuk serendah RM40 hingga RM100 boleh  boleh didapati segera. Tiket berharga RM 100 bagi Zone VIP , RM 50 bagi Zone A dan RM40 bagi Zone B. Semua lapisan masyarakat dijemput hadir bagi menikmati persembahan yang bukan sahaja menghiburkan, malah menyuburkan rasa cinta terhadap budaya Melayu agak tidak luput ditelan zaman.

Catat Ulasan

0 Ulasan