CITRA WARISAN YANG GAH, GAYONG 'LONGGAR' DARI SEGI NARATIF?

Dalam lanskap filem tempatan yang masih mencari imbangan antara komersialisme dan identiti budaya, Gayong arahan Faisal Ishak tampil sebagai sebuah karya yang berani menyelam ke dasar tradisi Melayu. Filem ini menjadikan seni bela diri Silat Seni Gayong sebagai nadi naratif, bukan sekadar latar atau elemen hiasan. Ia satu usaha yang patut dipuji dalam konteks sinema Malaysia yang sering kali meminggirkan warisan budaya dalam mengejar formula popular.

Secara visual dan tekstual, Gayong sarat dengan elemen budaya dari struktur adat, tatacara pelatihan, pemakaian, sehingga kepada falsafah silat yang merangkumi aspek kerohanian dan nilai kemasyarakatan. Filem ini dilihat menunaikan tanggungjawab budaya (cultural responsibility), sebagaimana yang diutarakan oleh ahli teori poskolonial seperti Homi Bhabha, dalam membina naratif kebangsaan melalui seni. Ia menjelmakan semangat perlawanan, jati diri, dan kontinuitas peradaban Melayu yang sering kali disisihkan dalam wacana arus perdana.

Namun begitu, Gayong turut memperlihatkan kekangan yang sering menimpa filem berasaskan budaya iaitu kelemahan dalam pengolahan naratif. Dari sudut penceritaan, filem ini gagal mewujudkan kesinambungan dramatik yang meyakinkan. Konflik utama, yang sepatutnya menjadi tulang belakang emosi, kurang berkembang dan sering disudahi dengan penyelesaian mudah, seakan filem ini terlalu terikat pada struktur klise filem aksi-drama tempatan. Watak-watak disusun dengan peranan yang stereotaip; protagonis yang baik mutlak, antagonis yang jahat tanpa motivasi mendalam. Elemen ini mencetuskan persoalan tentang kedangkalan psikologi watak dalam membina keterikatan emosi penonton.

Kelemahan dalam storytelling ini bukan sahaja menjejaskan impak naratif, malah memperkecilkan nilai budaya yang ingin diketengahkan. Dalam pendekatan sinematik, seperti yang dihujahkan oleh Bordwell dan Thompson (2008), naratif dan estetika perlu bersepadu agar tema yang ingin disampaikan dapat meresap secara organik. Dalam konteks Gayong, seni silat yang penuh makna hanya menjadi latar aksi fizikal, bukan cerminan perjalanan batin watak atau perkembangan cerita. Dengan kata lain, budaya hadir dalam bentuk yang simbolik, tetapi tidak diolah dengan kedalaman dramatik.

Selain itu, irama filem ini juga tidak seimbang. Tempo naratif sering terganggu oleh transisi babak yang mendadak, penyampaian dialog yang kadang-kala melodramatik, serta babak aksi yang walaupun dikoreografi dengan baik, tidak disokong oleh ketegangan dramatik. Hal ini menunjukkan kurangnya kesinambungan antara niat artistik dan pelaksanaan teknikal.

Walau bagaimanapun, Gayong tetap wajar diraikan sebagai satu percubaan penting dalam memartabatkan seni warisan bangsa. Dalam sebuah industri yang sering tunduk kepada permintaan pasaran, keberanian Faisal Ishak untuk menghasilkan filem berteras budaya merupakan satu langkah ke hadapan. Filem ini boleh menjadi pemangkin perbualan tentang bagaimana warisan budaya boleh dikembangkan dalam sinema, asalkan tidak mengorbankan mutu naratif dan keutuhan watak.

Gayong ialah sebuah naskhah yang penting dari sudut budaya, tetapi masih rapuh sebagai sebuah naratif sinematik. Ia memperlihatkan potensi besar untuk menjadikan seni silat sebagai medium ekspresi bangsa, namun potensi itu belum diterjemahkan secara penuh dalam bentuk cerita yang hidup dan menyentuh rasa. Dalam usaha membina sinema kebangsaan yang autentik, keseimbangan antara bentuk dan isi, antara warisan dan cerita, adalah perkara yang wajib diteliti dengan lebih rapi.

Catat Ulasan

0 Ulasan