Di kala peminat muzik dan penonton tempatan masih belum dapat melupakan momen menarik di sepanjang empat hari Konsert genKRU yang berlangsung dengan jayanya di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, kumpulan trio adik-beradik terhangat di pasaran, KRU mungkin sekali lagi membuat penonton 'histeria' apabila memilih Kota Singa sebagai destinasi seterusnya. Namun adakah situasi yang sama bakal berulang di Singapura?
Bukan KRU jika tidak menghasilkan gelombang fenomena. Walau ditubuhkan pada 1992 sebelum mengumumkan pembubaran di tahun 2018, tidak ada peminat muzik yang telah membesar bersama karya mereka yang akan menafikan bahawa KRU adalah legenda dan khazanah muzik tanah air yang sangat bernilai.
Maka pada saat mereka bersatu semula sekaligus mengumumkan Konsert GenKRU ini, ada suara nakal berkata, mampukah KRU mengulang fenomena suatu ketika dahulu? Andaian tersebut wajar dibuang jauh kerana kumpulan trio adik-beradik itu kini menjadi artis berkumpulan tempatan yang cukup berpengaruh selepas Biduanita Negara Dato' Sri Siti Nurhaliza.
Bercakap mengenai konsert yang diadakan di Axiata Arena baru-baru ini, penjualan tiket bagi semua kategori habis dalam tempoh singkat mendorong penganjur, ICON Entertaiment menambah hari konsert. Bukan sehari dua, tetapi menjadikan Konsert genKRU di Axiata Arena Bukit Jalil sebagai konsert terlaris sekaligus mencipta sejarah sebagai kumpulan pertama di Malaysia melakukan konsert selama empat hari!
Sebagai menghargai peminat bukan sahaja di Malaysia, KRU bakal menggegarkan industri muzik nusantara melalui konsert mereka menjelang 28 Jun depan di Singapura.
Konsert yang dibawakan khas oleh ICON Entertainment itu menjadi penanda aras kepada kebangkitan muzik tempatan di pasaran antarabangsa melalui persembahan berskala besar menerusi GenKRU Live In Singapore.
Memilih The Star Theatre, Singapura sebagai lokasi utama pada 28 Jun depan, peminat muzik khususnya di Singapura boleh mendapatkan tiket konsert ini sekarang sebelum ia kehabisan.
Ketika bercakap kepada media, Iman Tang yang merupakan pengasas dan pemilik rumah produksi, ICON Entertainment berkata, saat KRU bersetuju untuk mengadakan persembahan di Singapura, dia teruja dan mahukan momen yang berlaku di Axiata juga turut dirasai peminat di Kota Singa.
“Tentu sahaja kami bangga dan teruja kerana daripada cakap-cakap kosong dan impian membawa GenKRU ke Singapura terlaksana pada saat kumpulan legenda ini mempersiap dan memberi fokus kepada Konsert GenKRU di Axiata Arena.
“Tanpa banyak pertimbangan KRU sekali lagi menerima lamaran ICON Entertainment apabila kami beritahu GenKRU akan bikin heboh Singapura pula.
“Hal ini kerana kami percaya peminat di Singapura juga perlu disantuni dan diberi eksklusiviti di negara mereka sendiri dengan momen terbaik menerusi GenKRU Live In Singapore pada 28 Jun ini,” katanya.
Bagi KRU sendiri, mereka tidak menyangka keputusan untuk kembali melakukan konsert telah membuatkan KRU menjadi ‘Terhangat Di Pasaran’.
“KRU harus katakan setuju untuk GenKRU Live In Singapore sebagai tanda aprisiasi terhadap peminat kami di sini yang memberi sokongan sejak dahulu sehingga kini.
“Sampai bertemu Singapura. Kalau nak lagi gerek, jangan lupa ikut dress code yang akan diberitahu dan hafal semua lagu KRU,” ujar Edry.
Buat fanatik-fanatik di Kota Singa, ikuti rapat informasi demi informasi yang akan dikongsikan lagi selepas ini. Tiket akan dibuka secara berfasa untuk pembelian.
Namun apakah Adam Af, Elite dan Feminin juga akan bersama mereka di Singapura nanti?. Ayuh semarakkan muzik KRU dengan abang-abang KRU yang terhangat di pasaran!.
Kredit Gambar: Bangsawan Pictures
0 Ulasan