MISTERI FRASER 1910 KISAH SERAM DI BUKIT FRASER?

Nama Louis James Fraser atau Mr. Fraser sememangnya cukup dikenali sebagai individu yang menjadi peneroka kepada salah satu pusat peranginan yang cukup popular iaitu Bukit Fraser atau Fraser Hill yang terletak di daerah Raub, Pahang.

Di sebalik terkenal sebagai tempat pelancongan, namun Bukit Fraser juga menyimpan beberapa kisah misteri, termasuk peneroka dari Scotland itu yang tiba-tiba hilang secara misteri pada tahun 1910.

Ternyata kisah misteri berkenaan telah memberi ilham kepada syarikat produksi Millionaire Film Production Sdn Bhd menerbitkan sebuah filem berjudul Misteri Fraser 1910


Penerbitnya, Elani Aidid berkata, idea untuk menghasilkan filem tersebut tercetus ketika sedang mencari lokasi penggambaran sebuah filem lain di Bukit Fraser pada tahun 2019.

“Ketika berada di situ, kami ada terbaca sejarah mengenai Mr. Fraser yang hilang secara misteri selepas menemui lubuk biji timah di situ dan langsung tidak ditemui. Malah, ada beberapa laluan mendaki di situ turut dinamakan sempena orang-orang yang terlibat dalam pencarian Mr Fraser seperti ‘Bishop Trail’ dan ‘Abu Suradi Trail’.

“Jadi, ia telah mencetuskan ilham kepada saya untuk terus mengkaji dan mencipta teori fiksyen kehilangan peneroka berkenaan sehinggalah terhasilnya filem ini,” ujarnya.


Misteri Fraser 1910 mengisahkan Loius James Fraser yang didapati hilang secara tiba-tiba, manakala keretanya telah ditemui di pinggir jalan sebuah kawasan hutan sehingga kehilangannya itu menjadi misteri.

Menampilkan Josiah Hogan yang memegang watak sebagai Mr. Fraser, filem tersebut menampilkan barisan pelakon popular lain seperti Amai Kamarudin, Siti Hariesa, Isyariana, Erry Putra dan ramai lagi.

Menurut Elani, kisah kehilangan Mr. Fraser agak menarik untuk dijadikan filem kerana cerita mengenai peneroka itu cukup popular sehingga menjadikan ceritanya selalu dicari di internet di dalam dan luar negara.

Bagaimanapun, ujarnya, filem ini adalah inspirasi kisah benar tentang kejadian yang berlaku 115 tahun lalu dan ditokok tambah menerusi hasil kajian cerita penduduk setempat dengan elemen komersial untuk tontonan di pawagam.


“Apa yang boleh saya katakan 50 peratus adalah berdasarkan kisah benar, manakala 50 peratus lagi merupakan sekadar fiksyen serta skrip filem ini dibiayai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi Dana Perkembangan Skrip Filem.

“Penulis skrip ini dibimbing dan dipantau panel skrip FINAS yang berpengalaman dalam mengendalikan perkembangan cerita dari permulaan sehingga tamat supaya jalan ceritanya berkembang dengan baik,” jelasnya.

Pada masa sama, Elani memberitahu filem sulung terbitan syarikatnya itu memang wajib ditonton kerana menampilkan kisah yang cukup menarik.

Jelasnya, keunikan filem ini bukan sahaja terletak pada kisah seram semata-mata, malah kekuatannya turut ada pada elemen lain seperti kisah sejarah dan penonton akan dibawa kembali ke dunia klasik tahun 1910 dengan dialog bahasa baku lama, busana klasik serta prop yang bertepatan dengan zaman berkenaan.


“Selaku penerbit, sudah tentu saya berharap agar filem ini dapat diterima penonton dan untuk pengetahuan umum, Misteri Fraser 1910 terpilih dalam kategori Best Firsttime Filmmaker di Lift Off Sessions Vol. 4 (Pinewood Studio, United Kingdom) bersaing dengan 26 filem dari negara-negara lain.

“Malah, kami mendapat undian yang tertinggi di Festival Filem yang berlangsung dari 21 April sehingga 4 Mei 2025 dan undian datang dari penonton-penonton di luar negara jadi kami harap peminat di Malaysia juga akan menyukai filem ini," ujarnya.

Diarahkan Shuhaimi Zulkefli di mana skripnya ditulis oleh Elani Aidid, Misteri Fraser 1910 akan menemui penonton di pawagam seluruh negara mulai 26 Jun 2025. 


SINOPSIS

Mengisahkan tentang Louis James Fraser berasal dari Scotland yang membuka Bukit Fraser pada 1890 serta mendapat kekayaan hasil dari perlombongan bijih timah di situ lalu membangunkannya menjadi pusat bandar dan pertemuan sosial warga elit terutamanya Tentera British.

Mr. Fraser melantik Asan orang kepercayaannya sebagai pengurus dan Asan tinggal bersama isterinya Wati di kuarters pekerja. Satu hari secara tiba-tiba pada tahun 1910, Mr Fraser hilang secara misteri dan meninggalkan seribu teka-teki kerana banglo serta perniagaannya ditinggalkan begitu saja.


Dengan kehilangan Mr. Fraser, Asan dipertanggungjawabkan menjaga perniagaan majikannya itu. Kemudian dia bersama isterinya berpindah ke banglo milik Mr. Fraser. Bagaimanapun, sejak berpindah berlaku pelbagai kejadian mistik yang membuatkan Wati sering meracau dan dirasuk.

Catat Ulasan

0 Ulasan