Sempena Ekspo 2025 yang berlangsung di Osaka, Jepun, satu pameran khas yang menampilkan 4 ikon muzik Malaysia paling berpengaruh diadakan.
"Hall of Fame", yang memberi penghormatan kepada perjalanan karier seni Tan Sri P. Ramlee, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, serta kumpulan pop wanita terkenal, Dolla menjadi tarikan budaya utama di Pavillion Malaysia bermula April lalu sehingga Oktober depan.
Pengunjung yang hadir dapat melihat karya ikonik perfileman dan muzik Melayu menerusi Tan Sri P.Ramlee, selain membawa penceritaan luar biasa mengenai perjalanan Biduanita kesayangan jutaan rakyat Malaysia, Dato' Sri Siti Nurhaliza sebagai lambang kehebatan dan aura personaliti beliau di luar dan di dalam industri.
Keampuhan vokal Ernie Zakri sebagai peneraju unggul di dalam muzik pop Melayu moden yang membawa nafas baharu di dalam industri muzik juga diperkuatkan dengan kehadiran Dolla sebagai lambang keberanian menerokai sisi berbeza dunia muzik tempatan menjadi aras penanda kepada pameran eksklusif yang dibawakan khas oleh Universal Music Malaysia ini.
Tabby, salah seorang anggota Dolla berkata, pemilihan ini menjadikan mereka lebih teruja dan dihargai bersama-sama ikon muzik yang lain serta mengganggap ianya sebagai satu penghormatan negara di persada antarabangsa.
“2025 merupakan tahun yang sangat mengujakan bagi kami. Kami telah meneroka genre dan bunyi baharu, dan secara jujurnya, ia tentang pertumbuhan diri. Kami sentiasa berkembang dan arah muzik baharu ini adalah cerminan keberanian kami untuk menjadi lebih tulen dalam karya seni kami.
"Peminat boleh menjangkakan muzik yang masih kedengaran seperti Dolla tetapi dengan lebih keberanian, kematangan dan keikhlasan. Sejak kemunculan kami pada 2019, kami telah berkembang begitu banyak, bukan sahaja sebagai penghibur, tetapi sebagai ‘sisters’.
"Kami telah belajar untuk saling mempercayai, dan tenaga itu dapat dirasai dalam setiap apa yang kami lakukan. Kami juga menerima begitu banyak sokongan daripada para peminat, terutamanya iDOLLAs, yang terus memberikan kami semangat dengan kasih sayang mereka.
"Dilantik ke dalam Hall of Fame Malaysia di Osaka adalah satu penghormatan yang amat besar buat kami, dan kami ingin mengucapkan terima kasih kepada MITI kerana bukan sahaja mengiktiraf kami di tanah air, tetapi juga di peringkat antarabangsa. Kami berbangga mewakili Malaysia dan berharap lebih banyak pencapaian menanti kami pada masa akan datang," katanya.
![]() |
Manakala bagi pelantun suara Masing-Masing, Ernie Zakri turut meluahkan rasa bersyukur dan menganggap Hall of Fame Malaysia ini sebagai satu platform untuk anak seni seperti beliau lebih dikenali.
“Saya sangat berbesar hati dan bersyukur pada masa yang sama kerana perjalanan kerjaya saya sepanjang beberapa tahun ini telah diiktiraf dan dihargai oleh semua, terutamanya para pendengar di Malaysia.
"Disebabkan kejayaan ini, nama saya kini telah ditempatkan di Hall of Fame Osaka. Sudah tentu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga Universal Music Malaysia dan juga para peminat yang tidak pernah berhenti menyokong serta sentiasa menantikan apa sahaja projek baharu daripada saya. Saya gembira dan bersyukur pada masa yang sama," katanya.
Bukan sekadar penghormatan, pameran ini juga adalah satu pernyataan tentang jiwa kreatif Malaysia yang melangkaui zaman. Ekspo 2025 Osaka dijangka menarik jutaan pengunjung dari seluruh dunia, menjadikan Hall of Fame Malaysia sebagai pengalaman yang wajib dikunjungi bagi mereka yang ingin memahami kedalaman dan kepelbagaian seni Malaysia.
0 Ulasan