Siapapun tidak menyangka, Nadeera Zaini dan Hael Husaini antara pelopor industri muzik yang mempunyai pengaruhnya tersendiri.
Mengumumkan sesuatu yang istimewa pada 30 dan 31 Mei ini, Hael dan Nadeera tentunya tidak mahu berahsia lagi. Buat peminat muzik tempatan, anda bakal disajikan dengan persembahan eksklusif daripada dua bintang ini.
Dianjurkan oleh Usanita Entertainment dan Mask Team, An Evening with Nadeera dan Hael Husaini Antonim Night bakal membuat penonton dan peminat muzik 'resah seketika'. Gabungan mereka di dua pentas berbeza dengan lokasi yang sama tentunya meninggalkan sejuta kenangan dan memori tersendiri.
Bertempat di Nero Event Space, PJPAC 1 Utama persembahan istimewa ini dijangka menjadi antara acara muzik paling dinantikan bulan ini. Showcase ini bukan sahaja menampilkan deretan lagu hits daripada kedua-dua artis, malah turut menjanjikan persembahan istimewa yang belum pernah disaksikan sebelum ini.
Hael Husaini, yang dikenali menerusi lagu-lagu hit seperti Jampi, Haram, dan Sama Seperti Dulu, menjanjikan kelainan dalam persembahannya kali ini. Sementara itu, Nadeera, juara Big Stage 2023, bakal membuktikan keampuhan vokalnya dengan pelbagai seleksi lagu popular serta karya baharu.
Ketika ditanya tentang senarai lagu yang akan dipersembahkan, Hael berkata lagu-lagu yang akan dinyanyikan beliau adalah daripada senarai lagu-lagu popular beliau sahaja. Menurut Hael, showcase ini bukan sekadar persembahan biasa tetapi satu penghargaan buat para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seni mereka.
“Kami mahu menjadikan malam tersebut sebagai satu momen yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi juga menyentuh emosi dan meninggalkan kenangan.
"Walaupun ada permintaan untuk saya menyampaikan lagu-lagu penyanyi lain seperti Sudirman Arshad dan juga yang lain. Jujurnya untuk saya katakan adalah untuk showcase ini hanya untuk lagu-lagu ciptaan saya dari album Antonim sahaja.
"Untuk lagu-lagu lain, insya-Allah mungkin untuk persembahan yang lebih besar," katanya.
Manakala Nadeera turut meluahkan rasa teruja dan bersyukur kerana penjualan tiket bagi menyaksikan showcase ini laris terjual dalam masa 3 minit.
“Ia satu pengalaman yang saya tunggu-tunggu. Namun saya agak terkejut apabila dimaklumkan tiket bagi menyaksikan showcase ini habis terjual.
"Akan tetapi sebelum itu saya ada tertanya-tanya, adakah ada orang akan datang menyaksikan persembahan saya ini?. Saya ni tidaklah popular mana. Tetapi saya sangat bersyukur kerana ada orang masih menghargai bakat saya. Dan pada anda yang sudah membeli tiket, saya mengucapkan terima kasih dan kita berjumpa di sana ya," katanya.
An Evening With Nadeera akan berlangsung pada 30 Mei ini, manakala Hael Husaini Antonim Night bakal berlangsung 31 Mei ini. Memilih lokasi yang sama, Penyanyi yang juga komposer terkenal, Hael Husaini dan Nadeera berharap kedua-dua showcase ini mampu meninggalkan sejuta memori buat peminat dan pendengar muzik agar dapat menghayati bagaimana muzik menyatukan hati manusia sesama kita.
Adakah anda teruja menanti debaran pada 30 dan 31 Mei ini?. Nantikan sahaja malam penuh bersejarah tersebut.
0 Ulasan