Walaupun memberikan persembahan terbaik menerusi lagu bertajuk Satu Peluang nyanyian asal Andi Bernadee, peserta program Big Stage Alpha, Que tersingkir di minggu keempat pogram tersebut yang berlangsung di Shah Alam Royal Theatre malam Ahad.
Que atau nama sebenarnya, Nazrul Fhad Sulaiman bin Fahmi menjadi peserta kesembilan yang tersingkir di Minggu keempat, menyaksikan hanya sembilan peserta sahaja yang tinggal untuk beradu nasib merebut gelaran satu juara.
Minggu keempat Big Stage Alpha yang membawa tema "Slay The Beat" menyaksikan giliran Rizal Rasid di tempat pertama dengan markah keseluruhan sebanyak 75.5%, diikuti oleh Izat Ibrahim (75.25%) dan Aril Fesol (72.20%) yang hampir tersingkir pada minggu lepas. Minggu ini juga menjadi pentas terakhir buat Que yang mendapat markah keseluruhan terendah sebanyak 54.45%, lantas disingkirkan.
Buat pertama kalinya, Afiq Sky melonjak naik ke kedudukan enam selepas tiga minggu berturut-turut di bottom three. Ketika bercakap kepada media, juri tetap Datuk Syafinaz Seamat berkata, beliau dan barisan juri yang lain enggan menggunakan imuniti X bagi menyelamatkan peserta yang berada pada paras membimbangkan, namun berharap peluang yang terbuka luas di luar mampu memberikan lebih kejayaan kepada setiap peserta yang mengharungi liku-liku di dalam industri muzik dan hiburan tempatan.
"Persembahan Que pada malam ini bukanlah yang terburuk tetapi kami perlu memikirkan rancangan ini untuk membentuk satu kumpulan akan datang.
"Kalau nak ikutkan hati saya nak simpan (peserta) sampai akhir tapi rasanya kali ini kami tidak mahu menggunakan imuniti.
"Anda Que masih boleh berjaya dan jangan patah semangat. Ini bukan satu-satunya platform yang ada untuk berjaya," katanya.
Sembilan peserta lain yang berjaya mengekalkan saingan adalah Rizal Rasid, Daniel Syer, Afiq Sky, Ray D, Araff, Ariel Fesol, Allan Andersen, Izat Ibrahim dan Awienit.
Sementara itu, Awienit terpilih untuk menerima Anugerah Ikon Perfume Paradise yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000.
Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Ultra Alpha dan Ultra Prime. Minggu ini menampilkan Dato' AC Mizal sebagai juri jemputan, di samping Datuk Syafinaz Selamat, Edry Abdul Halim dan Hael Husaini sebagai juri tetap.
0 Ulasan