GEGARKAN DFP, GEMA TRADISI DALAM SIMFONI BUDAYA II

Selepas kejayaan menerusi edisi sulungnya, konsert Simfoni Budaya II bakal dipentaskan. Kembali mengangkat keindahan irama tradisional Melayu dalam bentuk simfoni, konsert yang memilih Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 5 Julai depan sekali lagi mempertaruhkan gubahan kreatif muzik klasik Melayu yang digubah dengan susunan simfoni orkestra pimpinan konduktor MPO terkemuka, Ahmad Muriz Che Rose. 

Konsert yang  turut menampilkan barisan penyanyi yang merentasi generasi daripada legenda hidup Datuk Andre Goh, ke wajah baharu seperti Zehra ZambriHazra DollahDanial Chuer, dan Rojer Kajol ini bakal diiringi  Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).

Simfoni Budaya II akan mengetengahkan genre seperti joget, zapin, inang dan asli yang menjadi nadi budaya Nusantara ke pentas seni bertaraf dunia. Gabungan ini dijangka memberi kepelbagaian warna vokal yang lebih segar dengan alunan irama warisan tradisi Melayu yang tentunya mencipta magis tersendiri di dalam industri muzik tempatan.

Ketika bercakap kepada media, Ahmad Muriz Che Rose, konduktor dan pengarah muzik MPO yang mempunyai pengalaman hampir tiga dekad berkata, Simfoni Budaya II adalah  rangkuman tentang perjalanan dalam  memperkayakan muzik tempatan melalui gabungan muzik asli dan tradisional secara simfoni.

“Simfoni Budaya bukan sekadar konsert, ia adalah jambatan antara generasi bagi menyatukan nilai warisan dengan estetika moden. Kita bukan sekadar mendengar, tetapi merasai denyut budaya dalam setiap alunan. Ini yang akan kami persembahkan menerusi Simfoni Budaya II yang lebih besar dan mampu mencetuskan fenomena tersendiri," katanya.

Antara lagu-lagu yang bakal dipersembahkan termasuklah karya-karya klasik seperti Dikirim Jangan Dipesan Jangan, Mas Merah, Fatwa Pujangga, Nirmala, Tudung Periuk, Simfoni Bunga Tanjung, Joget Burung Merpati, Makan Sireh, Joget Wan Lebor dan Mak Inang Kayangan.

Kesemua lagu-lagu ini bakal digubah untuk persembahan orkestra oleh Luqman Aziz, Ilham Subri, Azhad Sulaiman, Teuku Umar dan Shahakam Mokhtar.

Warisan Yang Dihidupkan Kembali

Simfoni Budaya I, yang berlangsung tahun lalu, membuka lembaran baharu dalam arena persembahan muzik tradisional. Dengan fokus pada irama keroncong dan ghazal, ia mencatat kejayaan luar jangka sekali gus memperlihatkan bagaimana gubahan simfoni mampu memberi nafas baharu kepada muzik Melayu klasik.

Edisi pertama itu juga menyaksikan penyertaan figura legenda seperti Datuk Yusni Hamid, serta vokalis muda berkarisma Asmidar dan Haziq Rosebi, di mana ianya telah mencipta momen istimewa yang terus menjadi perbualan dalam kalangan penggiat seni dan peminat.

Susulan sambutan hangat itulah, Simfoni Budaya II kini hadir bukan sekadar sebagai kesinambungan, tetapi satu usaha memperkukuh landasan bagi meletakkan muzik tradisional Melayu di peta seni global yang tidak lagi dianggap sekadar nostalgia semata-mata, tetapi suatu yang relevan dan membanggakan.

Budaya Dalam Gema Simfoni

Lebih dari sekadar persembahan, konsert ini mencerminkan semangat melestarikan budaya melalui inovasi. Dalam dunia seni yang kian moden, inisiatif seperti ini bukan sahaja memperkenalkan warisan kepada generasi baharu, malah membuktikan bahawa muzik tradisional tetap mampu berdiri megah dalam arus kontemporari.

Bakal dipentaskan 5 Julai depan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) Konsert Simfoni Budaya II ini antara persembahan muzik yang wajar dihadiri semua peminat seni dan muzik seluruh negara. Ianya bukan sahaja memperkayakan nada dan irama, tetapi juga menyatukan hati  dalam satu simfoni dan budaya sekali gus melahirkan generasi yang cintakan tradisi melalui seni dan muzik.

Kelunakan suara Datuk Andre Goh sekali lagi bakal memecah keheningan dewan DFP melalui Simfoni Budaya II yang bakal menghidangkan seleksi lagu-lagu terbaik nyanyian beliau dari awal pembabitannya hingga kini. Persembahan beliau bukan sahaja untuk menyuntik elemen nostalgia semata-mata tetapi ianya mampu melahirkan pelapis seni muzik tradisi melalui cara dan bagaimana seorang legenda tersohor memukau khalayak pendengar hanya melalui lontaran vokal sahaja. Inilah kelebihan Andre Goh sebagai penyanyi bukan Melayu yang mampu menyanyikan lagu-lagu Melayu tradisi dengan baik dan mengagumkan.

Dari segi rekod, Biduan Datuk Andre Goh telah mempersonakan negara dengan kebolehan menyanyikan lagu Melayu asli dalam pertandingan Bakat TV 1972. Beliau telah membuat persembahan di serata istana negeri dan negara-negara Asia. Jasa bakti beliau selama lima dekad melayakkan beliau dianugerahi Darjah Mulia Seri Melaka pada tahun 2011 yang membawa gelaran ‘Datuk’. 

Simfoni Budaya II merupakan kali ketiga beliau membuat persembahan di pentas DFP selepas konsert Ramli Sarip (2010) dan Malam Melayu Klasik bersama Badan Yayasan Warisan Johor (2013). Ketika bercakap kepada media, Datuk Andre Goh berkata, walaupun pada hari ini menyaksikan kebanjiran lagu-lagu pop moden, namun lagu-lagu Melayu klasik dan tradisi tidak wajar dilupakan peminat muzik kerana ianya adalah warisan seni yang sangat berharga. Andre Goh menambah, beliau sangat terhutang budi di samping teruja untuk kembali menemui penonton pada 5 Julai depan.

“Apabila saya dilamar oleh pihak DFP untuk kembali beraksi di pentas berprestij ini bagi Simfoni Budaya II, hati saya penuh rasa syukur dan bangga. Bagi saya, ini bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi satu penghormatan terhadap warisan budaya kita yang kaya dan penuh warna. 

"Harapan saya adalah agar persembahan ini dapat menyentuh hati penonton, terutamanya generasi muda, untuk lebih menghargai muzik tradisional dan warisan seni kita. Saya juga berharap agar gabungan muzik orkestra dan elemen budaya tempatan dalam konsert ini dapat membuktikan bahawa muzik klasik dan tradisional mampu berjalan seiring, saling menguatkan dan menyatukan kita sebagai rakyat Malaysia," katanya.

Simfoni Budaya II kini sudah dibuka untuk jualan tiketnya bermula serendah RM179 hingga RM449 melalui laman MPO dan antara persembahan wajib tonton Julai ini. 

Catat Ulasan

0 Ulasan