Filem animasi tempatan Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) terus mencipta sejarah apabila berjaya mencatat kutipan memberangsangkan sebanyak RM50.7 juta selepas hanya 18 hari ditayangkan di pawagam, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai filem animasi tempatan paling berjaya dalam sejarah perfileman Malaysia.
Filem yang mula ditayangkan pada 22 Mei lalu bukan sahaja memenangi hati khalayak tempatan, malah turut menerima sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat daripada kanak-kanak hingga golongan dewasa.
Ejen Ali The Movie 2 (EATM2) sarat dengan naratif yang menyentuh emosi, menghidangkan kualiti animasi setanding antarabangsa serta nilai produksi yang mengagumkan melalui naratif cerita kanak-kanak yang lebih matang dan segar.
Usamah Zaid Yasin yang merupakan pengarah filem Ejen Ali The Movie 2 menyifatkan kejayaan filem tersebut sebagai hasil sokongan luar biasa penonton serta dedikasi pasukan produksi Primeworks Studios dan WAU Animation yang berani meneroka pendekatan promosi baharu di samping kepercayaan penonton adalah tunggak kejayaan filem ini.
“Saya bersyukur dengan sambutan luar biasa daripada penonton. Ini hasil usaha gigih pasukan produksi Primeworks Studios dan WAU Animation yang berani mencuba pendekatan promosi baharu untuk mendekati penonton. Kepercayaan penonton terhadap animasi tempatan adalah dorongan utama kami,” katanya.
Dalam pada itu, Puan Nini Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, menegaskan bahawa kejayaan luar biasa Ejen Ali The Movie 2 menyerlahkan potensi besar industri animasi tempatan apabila disokong secara menyeluruh.
Beliau turut menyifatkan pencapaian ini bukan sekadar kejayaan komersial, tetapi bukti keyakinan terhadap kualiti kandungan buatan Malaysia yang sekali gus membuka ruang strategik untuk perluasan jenama Ejen Ali ke pasaran antarabangsa.
“Pencapaian ini melangkaui sekadar kutipan box office. Ia menunjukkan keyakinan terhadap kualiti kandungan tempatan dan membuka peluang baharu untuk memperluaskan jenama Ejen Ali ke pasaran antarabangsa,” katanya.
Menembusi Pasaran Serantau
Selepas kejayaan di Malaysia dan Brunei, EATM2 turut menembusi pasaran Singapura pada 5 Jun dan dijadual memasuki pawagam di Indonesia bermula 27 Jun ini. Perkembangan ini bukan sahaja menandakan penerimaan positif di peringkat serantau, malah membuka ruang kepada pengembangan segmen pelesenan dan pembarangan, termasuk produk seperti pakaian, peralatan sekolah, dan permainan berjenama Ejen Ali.
Dari Siri Animasi ke Fenomena Global
Sejak kemunculannya di kaca televisyen pada tahun 2016 menerusi saluran TV3, Ejen Ali telah berkembang menjadi jenama animasi terkemuka negara. Musim-musim awal siri ini telah ditayangkan di lebih 65 negara merangkumi Asia Tenggara, Timur Tengah, benua India, Afrika Utara dan Amerika Utara. Filem sulungnya, Ejen Ali The Movie (2019), turut mencatat kejayaan luar biasa dengan kutipan RM30 juta, menjadikannya antara filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi ketika itu.
Terbaharu, musim ketiga siri ini juga mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi harta intelek animasi Malaysia pertama yang diterbitkan bersama platform penstriman Disney+ Hotstar Asia Tenggara pada Jun 2022.
Menyemarak Aspirasi Tempatan
WAU Animation, studio di sebalik kejayaan ini, meneruskan misi menghasilkan karya animasi berkualiti tinggi yang menggabungkan elemen tempatan dengan penceritaan universal. Ditubuhkan pada 2013, WAU Animation telah memenangi pelbagai anugerah dan menonjol sebagai antara peneraju utama dalam pembangunan kandungan kreatif negara.
Filem Ejen Ali The Movie 2 masih ditayangkan di pawagam seluruh negara. Pihak penerbit menyeru rakyat Malaysia untuk terus menyokong filem ini, sekali gus menjadikan EATM2 sebagai simbol kebangkitan industri animasi tempatan.
0 Ulasan