RAHSIA DENDAM CINTA TERLARANG 'ANAK-ANAK MAFIA'

Bersediakah kita untuk dibawa ke lorong-lorong gelap Kuala Lumpur yang menyimpan pelbagai rahsia, dendam dan cinta terlarang?. Apakah kita sedar dalam hiruk-pikuk kesibukan kota tersimpan satu cerita yang bakal menggoncang iman dalam hidup kita?. Anak-Anak Mafia  ada jawapannya. Drama bersiri sarat konflik ini diterbitkan Zeel Production bakal menemui penonton menerusi platform penstriman Tonton bermula 12 Jun ini.

Menerusi olahan pengarah berkaliber Shuhaimi Zulkefli, siri 10 episod ini membawa penonton menyelami perjuangan batin seorang anak muda yang tidak pernah melupakan sejarah luka masa silamnya. Andra, lakonan mantap Mierul Aiman, ialah seorang pemuda dari Thailand yang menyusup ke dalam dunia gelap gangster Serigala Merah demi membalas dendam terhadap kematian tragis kedua ibu bapanya. 

Kehilangan orang tersayang apatah lagi dengan faktor persekitaran menuntut perjuangan yang tidak berbelah bahagi. Benarkah dendam jadi warisan yang menuntut cinta dan pengkhianatan? Adakah sebuah kehilangan yang terjadi akhirnya  membentuk jalan hidupnya selama dua dekad?. 

Namun dalam jejak dendam itu, Andra diheret ke dalam kancah perasaan yang lebih rumit iaitu cinta. Katrina (Scha Elinnea), kekasih kepada ketua geng Ice (Fitri Farok), menyimpan perasaan tersembunyi terhadap Andra. Di celah konflik, cinta yang tidak sepatutnya hadir menjerat, menambah kekusutan antara dendam dan kepercayaan.

Barisan pelakon yang menghidupkan dunia gelap ini turut menampilkan Fariz Isqandar sebagai Black, bekas pesalah juvana yang kini mengetuai sindiket kelab malam dan pemerdagangan manusia, serta Zhen Ning sebagai Rudy, penggodam siber yang menyembunyikan luka jiwa dari masa silamnya.

"Anak-Anak Mafia" bukan sekadar sebuah naskhah jenayah atau aksi. Ia adalah cerminan sisi gelap kemanusiaan. Iaitu kisah tentang bagaimana dendam diwariskan seperti darah, cinta diuji di persimpangan yang tidak adil, dan pengkhianatan menjadi takdir terakhir sebelum jiwa rebah sepenuhnya. Dalam arus deras kuasa dan pengaruh, setiap watak bergelut dengan masa silam yang menghantui serta pilihan-pilihan sukar yang mampu mengubah haluan takdir mereka selamanya.


Menariknya apabila drama ini mencuri perhatian ramai apabila barisan pelakonnya muncul dalam sesi Meet & Greet sempena ulang tahun ke-41 TV3 di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada 31 Mei lalu. Kehadiran Mierul Aiman, Fitri Farok, Fariz Isqandar, Zhen Ning dan Scha Elinnea disambut meriah oleh para peminat yang tidak sabar menantikan tayangan sulung siri ini.

Anak-Anak Mafia bakal ditayangkan secara eksklusif di Tonton bermula 12 Jun 2025. Pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan drama yang menjanjikan ledakan emosi dan aksi ini di platform penstriman tempatan nombor satu negara.

Catat Ulasan

0 Ulasan