Tidak seperti muzik arus perdana atau komersial, persada muzik bawah tanah (Indie) seringkali dipandang sepi kecuali bagi mereka yang benar-benar menghargai serta memiliki apresiasi yang cukup tinggi terhadap aspek seninya, keasliannya serta penceritaannya.
Cabarannya terletak pada aspek keterlihatan dan sokongan, iaitu bukan pada bakat atau impaknya dan hal ini dapat dilihat berdasarkan kepada liputan media terhad, dominasi muzik komersial, kekurangan dana serta sokongan label yang mengehadkan aspek promosi dan pemasaran, serta kecenderungan algoritma di platform penstriman yang lebih memihak kepada kandungan popular.
Namun, ada beberapa sebab yang membuatkan ramai kelompok pencinta muzik menggemari muzik bawah tanah ini sejak ia mula meledak di tanah air pada awal era 90-an yang mana ia sering berkait rapat dengan nilai peribadi, hubungan emosi dan keinginan untuk menikmati sesuatu hasil karya muzik penuh kreativiti unik serta asli dalam kalangan komuniti dengan identiti serta pemikiran sama atau serupa.
Konsert Muzik Kita! anjuran Hard Global Ventures adalah suatu inisiatif untuk terus mengangkat nama-nama artis dan kumpulan muzik bawah tanah dari generasi era 90-an hingga sekarang agar ia terus dikenang serta tidak lenyap dengan memberi ruang kepada mereka terus berkarya secara kreatif tanpa batasan serta pada masa, menyatukan kelompok peminatnya dalam menzahirkan ekspresi muzik mereka tersendiri tetapi dengan berpegang kepada rasa hormat- menghormati antara satu sama lain.
Bakal diadakan di MAEPS Serdang Hall A pada 2 Ogos 2025 ini, Konsert Muzik Kita! menyatukan artis dan kumpulan muzik bawah tanah daripada beberapa generasi 90-an hingga sekarang seperti Butterfingers, Monoloque, Ki Misri, Fugo, Perry, Fimie Don, Satwo, Heidi Moru, Nadarasa, Dukes, Mardiana dan Salammusik serta artis Indonesia, Nosstress.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hard Global Ventures, Khairil Azam Pilus atau Aril Pilus berkata, Konsert Muzik Kita! adalah sebuah cara muzik berkonsepkan muzik ‘timeline’ yang menyajikan penonton atau pencinta muzik bawah tanah untuk menikmati persembahan daripada golongan artis bawah tanah bermula daripada generasi X sehinggga ke alpha.
“Sayang sekali kalau kita tidak melakukan penyatuan ini kerana walaupun ada di antara nama-nama artis atau kumpulan muzik bawah tanah ini tidak dilihat gah atau besar seperti artis mainstream, namun pengaruh mereka juga sangat kuat dan populariti mereka juga ada yang sudah berjaya merentasi negara luar dengan pencapaian-pencapaian yang cukup membanggakan.
“Kita mahu ‘mendidik’ generasi penonton atau artis/kumpulan muzik bawah tanah baharu untuk menghargai generasi penonton atau artis/kumpulan muzik bawah tanah lama serta generasi lama menerima karya, idea atau cara generasi baharu menikmati muzik.
“Dulu-dulu, kita dengar muzik bawah tanah melalui radio atau di gigs-gigs dengan cara yang lebih energetik (melompat, menari, banging atau pogo). Tetapi, generasi hari ini punya cara mereka adalah cara ‘healing’ yang sangat berbeza. Tetapi, akhirnya muzik tetap jadi tempat kita semua kembali,” katanya.
Jelas Aril Pilus lagi, idea menganjurkan konsert ini datang daripada beberapa siri percubaan yang cuba dilakukan, malangnya ia gagal mencapai piawaian yang diinginkan.
“Ia juga suatu usaha untuk melakukan sesuatu yang baharu. Selepas menimba ilmu di Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang pengurusan industri kreatif, saya terfikir apa yang perlu saya lakukan dalam kerjaya saya dan bagaimana saya boleh menyumbang kepada industri muzik?
“Jadi, saya cabar diri saya dengan cara menganjurkan konsert. Awalnya memang agak kabur kerana kita sendiri adalah seorang selebriti. Tetapi dengan sedikit pengalaman menganjurkan show kecil serta ilmu yang dikutip daripada orang-orang berpengalaman serta bantuan rakan-rakan, saya cuba redah,” katanya.
Loque yang mewakili Monoloque dan Butterfingers berkata, dia berharap ramai pengikut Butterfingers yang sinonim dengan gelaran Royal Butters tidak akan melepaskan peluang untuk datang menyaksikan konsert ini.
“Ramai yang mahukan kami membawakan lagu-lagu klasik dalam album awal Butterfingers seperti 1.2 Miligrams (1996), Butter Worth Pushful (1997) serta Transcendes (1999). Permintaan ini juga datangnya daripada pihak penganjur sendiri.
“Saya labelkan lagu-lagu Butterfingers zaman itu sebagai ‘Grunge Totok’. Jadi, bagi pengikut kami yang asyik tanya bila kami nak bawakan lagu-lagu kami grunge kami dalam album-album ini, inilah masanya.
“Rugi, kalau tak datang. Lagipun, Butterfingers akan menjadi artis terakhir yang membuat persembahan pada konsert ini,” katanya.
Menurut Loque lagi, bagi persembahan bersama Monoloque pula, dia akan menyanyikan lagu-lagu yang diminati kelompok peminatnya termasuk lagu-lagu baharu yang dirillis pada tahun lalu.
“Bahkan, saya juga bercadang untuk mengundang Atilia dan Herman Tino sebagai artis undangannya pada malam itu. Dalam konsert ini juga, Monoloque akan menjadi artis pembuka tirai,” katanya.
Sementara Fimie Don pula berkata, dia berasa teruja apabila berpeluang untuk beraksi di Konsert Muzik Kita! ini bersama artis sezamannya serta artis legenda seperti Butterfingers dan Salam Music.
“Saya adalah pelakon yang cukup serius menjadi penyanyi dan saya mahu tonjolkan bakat dan kreativiti saya dalam bidang ini. Peluang yang diberikan untuk beraksi di pentas ini pastinya tidak akan saya lepaskan.
“Apatah lagi bila dapat berada sepentas dengan Loque yang memang selama ini menjadi mentor dan sumber inspirasi saya untuk menjadi seperti beliau,”katanya.
Konsert Muzik Kita! mendapat penajaan daripada MJTX PERFUME dan SURENITY serta sokongan serta kerjasama daripada rakan-rakan strategik seperti EVOVITY (Rakan F&B), SUTRAMAS (Beef Roti), ERA, GEGAR dan SINAR (Radio Rasmi) serta BANAFEE RESTORAN yang menaja lokasi sidang media ini.
Tiket Konsert Muzik Kita! sudah mula dijual sejak April lalu bermula dengan harga RM75 hingga VIP RM300++ serta boleh didapati di pautan www.ticketmelon.com.
#konsertmuzikkita #HardGlobalVentures
0 Ulasan