Setelah meraih kejayaan besar dengan penjualan tiket sold out lebih daripada 12,000 penonton di Indonesia Arena, Jakarta, Ratu Pop Indonesia, Datuk Seri Rossa, kembali menorehkan prestasi di Malaysia. Konsert bertajuk sama, HERE I AM, berhasil menarik lebih 10,000 penonton di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 14 Jun 2025. Pencapaian ini menjadi bukti nyata kehadiran Rossa dalam industri muzik masih utuh, meskipun sudah 30 tahun berkarya.
Di Jakarta, Rossa mencatat pencapaian bersejarah sebagai penyanyi solo Indonesia pertama menjayakan konsert tunggal berskala stadium nasional tertutup di Indonesia Arena. Konsert tersebut tidak hanya menampilkan persembahan muzikal yang sarat emosi, tetapi juga menunjukkan kualiti produksi pentas dengan standard antarabangsa.
Selepas mencatat kegemilangan di negara sendiri, Kuala Lumpur menjadi saksi penampilan terbaru Diva No.1 Indonesia itu yang disambut meriah oleh para penggemarnya yang memenuhi Axiata Arena.
Tiket konsert Rossa dijual pada harga mulai dari RM288 hingga yang termahal mencecah RM5,000. Acara megah ini turut dihadiri sejumlah tokoh penting termasuk artis-artis popular dari Malaysia dan Indonesia serta beberapa kenamaan.
“Alhamdulillah akhirnya saya dapat kembali lagi ke Axiata Arena setelah 15 tahun. Saya sangat bersyukur, apatah lagi saya selalu menganggap Malaysia sebagai negara kedua. Kerana apa? Kerana kalian selalu menerima saya sebagai salah satu keluarga” ucap Rossa dengan bahagia.
Di antara tetamu istimewa yang hadir, termasuk sahabat baiknya, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nora Danish, Dayang Nurfaizah, Bella Astillah, serta Melly Goeslaw, Ivan Gunawan dan Ruben Onsu dari Indonesia. Siti Nurhaliza hadir mengenakan busana serba hitam dan didampingi suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa. Momen istimewa terlakar apabila Rossa dan Siti secara spontan berduet membawakan lagu Percayalah, yang pernah dipopularkan oleh Siti sendiri.
“Banyak sahabat-sahabat saya yang ada di sini, termasuk Biduanita Negara, Siti Nurhaliza. Siti sepertinya kamu sudah siap untuk naik ke atas pentas,” ucap spontan Rossa.
Dalam konsert yang berlangsung lebih dari tiga jam tersebut, Rossa membawakan lebih 30 lagu hitsnya. Ia juga menampilkan sejumlah bintang undangan terkenal seperti Ariel, Ernie Zakri, MK K-Clique, Dipha Barus, Hael Husaini, Eka Gustiwana, serta dua grup vokal yang terdiri daripada anak didiknya dalam program pencarian bakat: The Ladies (Rimar, Syarla, Jemimah, Awdella) dari Indonesian Idol dan para finalis One in A Million asal Malaysia (Kai Deva, Mary Grace dan Zazleen).
“Saya berasa sangat diberkati dan tersentuh. Konsert ini adalah tanda syukur dan cinta saya kepada penggemar di Indonesia, Malaysia dan seluruh Asia Tenggara. Terima kasih telah menjadi sebahagian daripada perjalanan saya selama ini,” ujar Rossa.
Dalam konsert itu juga, Rossa membawakan lagu terbarunya yang berjudul Serasa X Juwita bersama Dipha Barus serta lagu baru yang akan dikeluarkan tahun ini bersama MK K-Clique iaitu Sinaran yang dimuatkan dalam album mini berjudul ASMARA DANSA.
Memberikan kelainan dengan penampilannya di Indonesia, Rossa tampil memukau dalam dua gaun terbaru. Gaun untuk segmen pembukaan berwarna putih merupakan karya pereka fesyen, Adeline Ester, sementara gaun panjang berhias kristal Swarovski merupakan rekaan pereka ternama asal Malaysia, Khoon Hooi.
Konsert HERE I AM ROSSA dipersembahkan oleh Inspire Production, Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dan Sah Entertainment. Dari sisi produksi, lebih 180 pekerja seni profesional terlibat yang secara khusus didatangkan dari Jakarta. Mereka terdiri daripada penari latar, pemuzik, penyanyi undangan dan lain-lain.
Tidak hanya dari Indonesia, Rossa juga mendapat dukungan puluhan pengkarya Malaysia, termasuk penari dan pemuzik orkestra yang turut memeriahkan persembahan. Untuk penampilan pentas, Rossa tampil memukau dalam balutan sebelas gaun eksklusif rekaan pereka ternama Indonesia dan Malaysia, sekali gus menambahkan lagi kesan elegan dan megah sepanjang konsert berlangsung di dua negara tersebut.
Menurut Rossa, Here I Am adalah refleksi perjalanan karier seninya serta legasi yang sudah dicapainya hingga saat ini. “Judul konsert Here I Am dipilih mewakili saya sebagai Rossa secara peribadi sekaligus sebagai pekerja seni. Secara peribadi, saya ingin mengajak setiap yang mendengar lagu-lagu saya untuk menerima keadaan diri tanpa rasa rendah diri, selain menghargai dan mencintai diri sendiri. Sebagai penyanyi, konsert ini menjadi penanda aras karier saya dengan pelbagai lagu hits, album, penghargaan dan konsert yang telah saya adakan selama berkarier.” jelasnya.
0 Ulasan