Nama Fauziah Dato' Ahmad Daud bukanlah asing dalam landskap seni tanah air. Figura unggul yang sinonim dengan panggilan Kak Ogy ini merupakan seorang pelakon, pengacara, penyanyi, pengarah dan penerbit yang telah mewarnai industri hiburan Malaysia sejak era kegemilangan filem Melayu pada tahun 1970-an hingga ke hari ini.
Kehebatannya dalam dunia seni ibarat sekuntum bunga yang sentiasa mekar, berkembang indah mengikut arus zaman, namun tetap akarnya kukuh, menjulang tinggi bagaikan terbang ke awan; membawa nama dan martabat seni lakon ke satu dimensi yang berwibawa.
Kerjaya Kak Ogy bermula seawal usia kanak-kanak menerusi filem Hati Batu arahan M. Amin pada tahun 1973, diikuti Permintaan Terakhir (1975) arahan Jamil Sulong. Sejak itu, primadona ini terus mencipta jejak gemilang dalam dunia perfileman, membintangi hampir 37 buah filem dan ratusan drama televisyen, menjadikan beliau antara bintang wanita paling berpengaruh dalam sejarah seni lakon Malaysia.
Kemuncak popularitinya meledak menerusi filem ikonik Azura (1984) bergandingan bersama Dato’ Jamal Abdillah, yang bukan sahaja mengangkat namanya ke pentas arus perdana, malah mengukuhkan reputasi sebagai pelakon wanita yang mempunyai karisma dan daya tarikan tersendiri.
Bakat Kak Ogy tidak terhenti di bidang lakonan sahaja. Sebagai anak kepada pasangan legenda seni tersohor, Ahmad Daud dan Saadiah, darah seni mengalir deras dalam dirinya. Inilah anak seni sejati yang wajar dikagumi bakat semulajadinya. Beliau turut mencipta nama dalam dunia nyanyian menerusi empat buah album termasuk Bintang Harapan (1982), Gerhana (1983), Pelayaranku (1989) dan Variasi (1991), yang mempamerkan versatiliti vokalnya dan cita rasa muzik yang mendalam.
Kini, berbekalkan pengalaman lebih lima dekad dalam dunia hiburan dan perfileman tempatan, Fauziah Dato' Ahmad Daud kembali dengan misi yang lebih besar dan bermakna bagi mendidik, membimbing dan membentuk generasi seni masa hadapan.
Adventures in Acting, yang dikendalikannya bersama dua lagi ikon seni tanah air, Rosman Ishak dan Siti Hajar Ismail, merupakan sebuah bengkel berjiwa yang membawa misi jauh lebih besar daripada sekadar pengajaran seni lakon. Ia berperanan sebagai platform holistik yang bertujuan melahirkan generasi pelapis industri hiburan dan perfileman tanah air yang benar-benar memahami nilai sebenar kemanusiaan, tanggungjawab, bakat dan komitmen dalam dunia seni.
Menurut Fauziah, bengkel yang telah berlangsung pada 31 Mei 2025 di Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Kuala Lumpur, bukan semata-mata dirancang untuk melahirkan pelakon, tetapi lebih penting ianya untuk membentuk insan yang memiliki daya integriti tinggi, berpaksikan tanggungjawab dan nilai kemanusiaan yang tulen.
“Ini bukan sekadar tentang lakonan. Saya mahu melahirkan manusia yang berakal, berjiwa dan berani, iaitu insan yang sedar bahawa seni dan kehidupan itu saling berkait, saling menghidupkan dan tidak boleh dipisahkan,” ujar beliau dengan penuh makna.
Silibus dan Modul Berdasarkan Pengalaman Lima Dekad
Apabila ditanya tentang struktur pembelajaran dalam bengkel tersebut, Kak Ogy menjelaskan bahawa silibus dan modul yang digunakan adalah hasil pengalaman peribadinya selama hampir lima dekad berada di pentas layar dan permainan kehidupan.
“Saya menganggap Adventures in Acting ini bukan sekadar latihan amali tentang bagaimana untuk menjadi ‘orang lain’ di balik sesebuah watak. Sebaliknya, ia adalah medan untuk melahirkan generasi pelapis yang serba boleh dan mampu terbang lebih jauh, bahkan lebih hebat daripada Fauziah Dato’ Ahmad Daud sendiri,” katanya merendah diri tetapi penuh harapan.
Beliau menambah bahawa pendekatan yang diperlukan tidak bersifat rumit. Modulnya bersandarkan asas-asas yang membentuk kehidupan. Iaitu fizikal, mental, lontaran vokal dan pengurusan emosi yang konsisten.
“Asas-asas ini bukan hanya penting untuk pelakon, tetapi merupakan elemen asas kehidupan yang harus dikuasai oleh setiap insan. Sebagai anak seni, saya percaya misi saya hanya satu ; untuk membantu melahirkan mereka yang bukan sekadar baik, tetapi terbaik dalam apa jua ruang yang mereka ceburi,” tegas beliau lagi.
Penyertaan platform Wajib Tonton dalam bengkel ini, bersama-sama 96 peserta lain dari pelbagai latar belakang, menjadi bukti bahawa Fauziah Dato’ Ahmad Daud bukan sekadar seorang pelakon yang hebat di layar, tetapi juga seorang pendidik seni yang mampu menyentuh jiwa dan menghidupkan makna lakonan dalam kehidupan nyata.
Seawal jam 8 pagi, kami para peserta yang datang dari pelbagai penjuru dunia industri mula berkumpul di Dewan Jabir Ibnu Hayyan. Suasana pada awalnya agak mendebarkan. Bagi kebanyakan daripada kami yang bukan pelakon, tetapi pekerja seni di sebalik tabir, langkah ini terasa besar. Namun semangat untuk menimba ilmu terus daripada seorang tokoh seni sehebat Fauziah Dato’ Ahmad Daud mengatasi segala kegusaran.
Kehadiran beliau tidak hanya membawa aura seorang primadona, tetapi juga jiwa seorang pendidik yang merendah diri, namun kaya dengan pengalaman dan prinsip. Setiap butir kata yang disampaikan bukan sahaja mengajar teknik lakonan, tetapi menggetarkan kesedaran tentang siapa kita sebagai insan seni dan manusia.
Berbekalkan pengalaman luas beliau sebagai pelakon dan anak seni, Fauziah Dato’ Ahmad Daud membimbing kami untuk mengenali setiap lapisan kehidupan yang menjadi teras dalam dunia lakonan. Dari teknik pernafasan yang betul, lontaran vokal yang bertenaga, sehinggalah kepada latihan membina keyakinan diri dalam menangkis rasa malu dan gugup semuanya diperhalusi secara mendalam dalam bengkel ini.
Kami turut dibimbing oleh dua tenaga pengajar yang bukan calang-calang hebatnya, Rosman Ishak dan Siti Hajar Ismail, dua figura seni yang sarat pengalaman dan penuh kesabaran dalam menyampaikan ilmu.
Bagi saya secara peribadi, pengalaman paling mendalam adalah saat diberi ruang untuk membuat persembahan. Sebagai seorang penulis, saya terbiasa menilai persembahan dari luar, melalui lensa kritikan dan struktur naratif. Namun, kali ini saya sendiri berdiri di pentas lalu mempersembahkan sesuatu buat khalayak — terdedah, diuji, dan diasah secara langsung.
Saya diajar bagaimana untuk menguatkan mental, mengurus emosi, dan berhadapan dengan tekanan dalam suasana yang mencabar dan tidak dijangka. Ia satu pengalaman yang menggugah.
Kerana pada akhirnya, bengkel ini bukan semata-mata tentang lakonan tetapi tentang keberanian untuk menjadi versi terbaik diri sendiri, baik di hadapan khalayak, mahupun ketika berdepan ketakutan dalaman yang tidak kelihatan, namun sentiasa menghantui.
Salah satu segmen paling menyentuh dalam bengkel ini ialah ketika Kak Ogy menyentuh isu ketakutan untuk bersuara dan menyerlahkan potensi diri suatu realiti yang sering membelenggu ramai individu, terutamanya dalam dunia seni.
“Ramai orang takut dilabel poyo, jahat, atau terlalu ‘over’ hanya kerana mereka lantang bersuara. Tapi ketakutan ini hadir kerana kita tiada keyakinan. Kita terlalu takut menjadi diri kita sendiri,” ujar beliau dengan nada jujur yang menusuk jiwa.
Menurut beliau, ramai yang bersikap introvert bukan semestinya kerana fitrah, tetapi kerana tekanan dan persepsi persekitaran yang secara halus memadamkan keberanian dalam diri seseorang.
Melalui bengkel ini, para peserta digalakkan untuk meneroka dan menggunakan akal; anugerah agung dari Allah SWT sebagai kunci membebaskan diri daripada belenggu ketakutan, sekali gus membuka ruang untuk berani tampil, bersuara dan menjadi versi terbaik diri sendiri.
Seni dan Amanah
Dalam satu sesi khas semasa bengkel Adventures in Acting, Fauziah Dato’ Ahmad Daud menitipkan pesanan penuh makna kepada para peserta, terutamanya mereka yang masih baharu dalam dunia seni.
Bagi beliau, bakat adalah amanah yang wajib dijaga . Ianya bukan sekadar alat untuk mengejar sorakan mahupun populariti kosong.
“Saya tidak bersetuju apabila istilah ‘aktor’ dilacurkan oleh mereka yang hanya bergantung kepada jumlah pengikut di media sosial. Watak perlu difahami dan ‘dihidupkan’, bukan sekadar dilakonkan,” tegasnya
Kak Ogy menegaskan bahawa menjadi pelakon bukan semata-mata tentang berdiri di hadapan kamera, tetapi soal tanggungjawab kepada karya dan penonton. Seseorang pelakon, terutamanya yang baharu, harus bijak menggunakan ruang dan kebebasan yang dimiliki untuk membina nilai diri dan integriti seni.
Beliau turut menyenaraikan lima prinsip utama yang harus dipegang oleh setiap anak seni:
- Menjaga bakat seperti menjaga maruah diri.
- Tidak bersandar semata-mata kepada populariti media sosial.
- Memahami watak dari dalam — bukan sekadar menyampaikan dialog.
- Berani melakukan eye contact dengan penonton, tidak berselindung di sebalik cermin mata hitam melainkan sebagai sebahagian daripada watak.
- Keluar dari kepompong ketakutan dan berani berdamai dengan kelemahan diri
Kebimbangan Terhadap Pengarah Generasi Baharu.
Dalam nada penuh kejujuran, Fauziah Dato’ Ahmad Daud turut menyuarakan kebimbangannya terhadap sikap segelintir pengarah baharu yang dilihat kurang mengambil inisiatif untuk memahami asas seni lakon secara mendalam.
“Saya berdepan dengan ramai pengarah muda di set yang tidak faham asas lakonan. Mereka keliru tentang pembinaan watak, tidak tahu menyusun adegan secara berkesan. Ini satu masalah besar. Persoalannya, kenapa mereka takut dengan Fauziah Dato' Ahmad Daud?” katanya terbuka namun penuh makna.
Beliau menegaskan bahawa pengarah harus memainkan peranan sebagai peneraju naratif dan bukan hanya sekadar penyusun teknikal. Ilmu asas lakonan perlu difahami agar komunikasi dengan pelakon menjadi lebih bermakna dan hasil karya dapat disampaikan dengan jujur serta berkesan.
Suntikan Semangat dan Warisan Harapan
Menutup bengkel dengan rasa rendah hati dan syukur, Kak Ogy meluahkan penghargaan atas kehadiran peserta dari pelbagai latar belakang kesemuanya datang dengan satu tujuan yang sama: mahu belajar, berubah dan menjadi insan seni yang lebih berkualiti.
“Saya sedar, kalau saya tidak berkongsi ilmu ini dengan generasi baharu, saya sendiri tidak akan nampak kebolehan diri saya. Ilmu ini perlu diwariskan, bukan disimpan,” katanya penuh keikhlasan.
Bagi beliau, pengalaman adalah ilmu hidup yang tidak ternilai. Dan untuk mencapainya, seseorang harus sanggup berkorban masa, tenaga dan ego.
“Pengalaman itu perlu dibayar. Dan inilah harganya ; hadir, belajar, dan bersedia untuk berubah," katanya.
Dari Pelakon Menjadi Manusia.
Adventures in Acting bukan sekadar bengkel lakonan. Ia adalah medan transformasi diri, di mana ianya tempat membentuk jiwa, menyuburkan keberanian dan menyedarkan peserta tentang nilai menjadi insan yang lengkap, bukan hanya di pentas seni tetapi juga dalam kehidupan sebenar.
“Saya tidak mahu mereka keluar dari bengkel ini sebagai pelakon semata-mata. Saya mahu mereka keluar sebagai manusia yang tahu siapa mereka, dan apa tujuan hidup mereka,” ujar Kak Ogy kepada Wajib Tonton sekali gus menutup sesi dengan kata-kata penuh makna, kasih dan harapan.
Dianjurkan oleh Persatuan Seniman dan Ogy Ventures & Network dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN), Adventures in Acting bagi sesi seterusnya akan menyusul pada 26 Julai ini bermula jam 8.00 pagi hingga 6.30 petang. Bagi anda yang ingin mendaftar atau mempunyai sebarang pertanyaan, bolehlah menghubungi Puan Aini di talian whatsapp 010-2177759. Pastikan anda tidak ketinggalan untuk menyertainya.
0 Ulasan