Selepas lebih dua dekad menyepi dari pentas berskala besar, kumpulan wanita ikonik tanah air, Elite bakal kembali memahat sejarah apabila tampil dalam konsert istimewa bertajuk Elite Live 25' bertempat di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre pada 20 September depan.
Konsert yang dianjurkan oleh Icon Entertainment ini bukan sahaja menandakan ulang tahun ke-30 penubuhan Elite, tetapi juga menjadi simbol kebangkitan semula era kegemilangan muzik pop 90-an yang masih segar dalam ingatan para peminat. Lagu-lagu seperti Trauma, Tamparan Wanita, Manisnya Senyumanmu, Sesuatu Di Dalam Dirimu dan G.I.G dijangka bakal menghangatkan suasana malam penuh nostalgia itu.
Ditubuhkan pada 1996, Elite yang dianggotai oleh Linda Rafar, Sasha Saidin, Watie Sadali, Abby Abadi dan Azza pernah mencetuskan fenomena sebagai kumpulan wanita paling menonjol dalam sejarah muzik Malaysia. Kini, buat julung kalinya, kelima-lima anggota Elite akan kembali berkongsi pentas dalam sebuah konsert penuh eksklusif dan bertenaga.
Penganjur Komited Penuh
Menurut Iman Tang, pengasas Icon Entertainment berkata, penganjuran konsert ini adalah hasil perancangan teliti, bukan sekadar menunggang gelombang populariti konsert semasa. Ia tercetus ketika Elite membuat persembahan eksklusif dalam konsert GenKRU pada 3 Mei lalu.
“Kami sedar industri hiburan kini sarat dengan pelbagai penganjuran konsert, namun Elite Live 25' bukan sekadar menumpang arus. Ini adalah penghormatan terhadap legasi sebuah kumpulan wanita yang membentuk sejarah muzik tempatan,” jelas beliau.
Tambah beliau lagi, pemilihan Elite sebagai subjek utama konsert tahun ini adalah bukti bahawa karya-karya berkualiti dari era 90-an masih mendapat tempat di hati generasi lama mahupun baharu.
Perasaan Bercampur Baur, Namun Semangat Tetap Teguh
Menjawab mengenai keterlibatan mereka dalam projek ini, Linda Rafar mewakili Elite tidak menafikan perasaan gemuruh dan ragu pada awalnya memandangkan mereka telah lama meninggalkan pentas.
“Kami sudah lama tidak membuat persembahan secara langsung, apatah lagi dalam skala sebesar ini. Namun apabila melihat sambutan hangat sewaktu kemunculan semula dalam Konsert genKRU sebelum ini, kami percaya sekarang adalah waktu yang tepat untuk kembali,” ujar Linda.
Beliau turut menambah, konsert ini adalah peluang untuk menyatukan kembali peminat lama serta meraikan kehadiran generasi baharu yang mula mengenali Elite melalui platform digital.
Peminat Elite bolehlah mendapatkan tiket untuk menyaksikan konsert ini di laman ticket2u sekarang sebelum kehabisan stok. Tiket-tiket berharga serendah RM268 (Tamparan Wanita) sehinggalah RM1088 (G.I.G) sekarang!.
.png)

.png)
.png)

0 Ulasan