PERNAH BINTANGI FILEM HOLLYWOOD, DHARMA BERDEPAN MASALAH KESIHATAN

Pelakon dan pengarah veteran, Dharma Harun Al Rashid, 68, mengakui perubahan fizikalnya yang kini kelihatan semakin kurus berpunca daripada pelbagai masalah kesihatan dan ketiadaan pendapatan tetap sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, dia kini menghidap penyakit darah tinggi, kencing manis serta gangguan saraf yang menyebabkan berat badannya turun mendadak dan pergerakannya semakin terbatas.

“Saya pernah melalui fasa sukar, hendak beli ubat pun tak mampu. Nak makan pun kena berjimat. Saya hidup sekadar cukup untuk meneruskan hari demi hari,” katanya ketika ditemui pada sebuah acara seni baru-baru ini.

Pernah mencipta nama di layar antarabangsa, pelakon dan pengarah veteran Dharma Harun Al Rashid kini mengakui berdepan ujian hidup apabila menghidap pelbagai penyakit dan tidak lagi menerima tawaran kerja.

Tambah Dharma, ketiadaan tawaran kerja sepanjang pandemik COVID-19 turut menyumbang kepada tekanan kewangan yang dihadapinya, dan sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang peluang baharu untuk kembali aktif dalam industri.

“Saya tak memilih kerja. Saya masih mahu berkarya, tetapi peluang semakin kurang. Saya faham mungkin generasi sekarang sudah tidak mengenali saya,” ujarnya lagi.

Dharma yang pernah membintangi filem popular seperti Rozana Cinta 87 dan Matinya Seorang Patriot, berkata beliau kini lebih banyak menghabiskan masa di rumah dan hanya keluar sekiranya dijemput menghadiri majlis tertentu.

Bagaimanapun, beliau tetap bersyukur kerana masih diberikan kesihatan dan kekuatan untuk menjalani kehidupan seharian.

“Selagi boleh berdiri dan bernafas, saya tetap bersyukur. Kalau ada peluang, saya mahu kembali menyumbang kepada industri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT), Datuk DJ Dave, ketika dihubungi, menyatakan rasa terkejutnya apabila dimaklumkan mengenai keadaan kesihatan dan kehidupan terkini Dharma Harun Al Rashid seperti yang dilaporkan media.

Sebagai tanda penghargaan atas jasa dan sumbangan Dharma dalam dunia seni tanah air, khususnya menerusi filem Adik Manja (1980), DJ Dave memaklumkan bahawa beliau telah menyumbangkan RM1,000 kepada pelakon veteran itu melalui YKAT.

“Saya amat terkejut apabila membaca berita mengenai beliau. Sebagai insan seni, Dharma pernah mencorakkan industri dengan bakatnya yang tersendiri. Ini antara cara kami di YKAT menghulurkan sedikit bantuan,” katanya.

Dalam pada itu, Dharma turut menyuarakan harapan agar ada pihak bertanggungjawab seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) tampil membantu, khususnya bagi meneruskan program terbitan produksi Deko Ibadah yang diusahakannya sebagai sumber pendapatan dan kesinambungan hidup.

“Saya ada perancangan untuk sambung projek Deko Ibadah, tetapi memerlukan sokongan dan dana untuk melaksanakannya. Saya berharap ada pihak seperti FINAS dapat membantu,” katanya.

Sebagai rekod, Dharma Harun Al Rashid telah membintangi hampir 15 buah filem cereka tempatan sepanjang kerjaya seninya. Antara karya ikonik yang pernah menampilkan lakonannya termasuk Adik Manja (1980), Mama Oh Mama (1981), Sikit Punya Gila (1982),  Langit Petang (1982) dan banyak lagi.

Pelakon popular era 1980-an ini juga pernah mencipta nama di pentas antarabangsa menerusi dua buah filem Hollywood — Fifty/Fifty (1992) arahan Charles Martin Smith dan Anna and the King (1999) arahan Andy Tennant yang turut dibintangi aktres terkenal Jodie Foster.

Catat Ulasan

0 Ulasan