Selepas hampir sedekad menyepi, Anugerah Melodi kini kembali dalam format lebih segar dan kontemporari menerusi penganjuran Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025).
Bakal berlangsung pada 3 Ogos 2025, acara ini bakal disiarkan secara langsung di TV3 dan distrim eksklusif di platform Tonton, menampilkan 11 kategori utama yang memberi penghormatan kepada barisan selebriti dan pencipta kandungan paling berpengaruh dalam era digital.
Dianjurkan bersama TV3 dan Tonton, edisi kali ini membawa tema "Hangat Bukan Beshe-Beshe!" iaitu satu simbolik kepada perubahan landskap hiburan yang kini banyak dipacu oleh pengaruh media sosial dan budaya tular.
Revolusi Hiburan Era Digital
Menurut Puan Marlia Zul Amran, Pengurus Besar Kandungan Program TV3, penganjuran semula anugerah ini mencerminkan komitmen stesen itu untuk terus mendahului landskap hiburan yang progresif dan berjiwa muda.
“AMT 2025 bukan sekadar sebuah anugerah. Ia adalah revolusi dalam cara kita mengenal pasti, menghargai dan meraikan naratif serta personaliti yang memberi impak sebenar kepada masyarakat digital,” ujarnya.
Acara kemuncak akan berlangsung pada jam 9 malam, dengan siaran langsung karpet merah bermula seawal jam 8 malam melalui akaun rasmi TikTok Melodi Berapi dan TV3 Malaysia.
11 Kategori, Undian 100% Rakyat
Sebanyak 11 kategori utama dipertandingkan, termasuk Selebriti Drama Sangat Terhangat, Selebriti Ikon Terhangat (Disokong Samsung Galaxy), Selebriti Couple Goals Terhangat,Tonton Original Terhangat, Selebriti Trending, Stailo dan Newcomer Terhangat
Acara ini turut menampilkan anugerah utama iaitu Ultimate Award AMT 2025 ; yang bakal diberikan kepada individu paling menonjol dari segi pengaruh digital dan impak sosial. Semua pemenang akan ditentukan sepenuhnya melalui undi awam.
Samsung & PROTON Perkukuh Tarikan
Penganjuran kali ini turut diperkukuh dengan penglibatan dua jenama gergasi, Samsung Galaxy dan PROTON sebagai rakan penaja utama.
Samsung memainkan peranan penting dalam mempertingkat pengalaman digital AMT 2025, sejajar dengan imejnya sebagai jenama gaya hidup moden. PROTON pula tampil sebagai Rakan Kereta Rasmi dan Penaja Bersama menerusi Anugerah Pilihan PROTON X50 Superstar, sebuah kempen kreatif yang menyaksikan selebriti dan pencipta kandungan bersaing menghasilkan video terbaik. Pemenang akan menerima sebuah All-New PROTON X50, manakala pembeli yang membuat tempahan kereta turut berpeluang memenangi tiket VIP ke malam anugerah.
Jelajah Superstar & Hos Sensasi
Menjelang malam kemuncak, AMT 2025 akan turun padang menerusi Melodi Terhangat Superstar Tour di tiga lokasi utama:
- 12 Julai – AEON Mall Tebrau City, Johor Bahru
- 19 Julai – AEON Mall Bukit Mertajam, Pulau Pinang
- 26 Julai – Teluk Cempedak, Kuantan
Jelajah ini akan dimeriahkan dengan pameran PROTON X50 dan sesi bertemu peminat bersama selebriti popular.
Acara karpet merah bakal dihoskan oleh Fiza Frizzy dan Imran Aqil, manakala pentas utama akan digamatkan oleh pasangan pengacara serasi, Ain Edruce dan Fikry Ibrahim.
Melodi Terus Kukuh sebagai Ikon Infotainmen
Dengan legasi hampir tiga dekad sejak 1993, Melodi terus relevan sebagai program infotainmen utama negara. Bersiaran setiap Khamis jam 9 malam di TV3, rancangan ini terus mendapat tempat di hati penonton melalui gosip terkini, eksklusif industri hiburan dan segmen khas yang menampilkan gandingan hos popular, Ain Edruce dan Fikry Ibrahim.
Anugerah Melodi Terhangat 2025 bukan sekadar majlis penganugerahan, tetapi satu penanda aras baharu dalam industri hiburan Malaysia. Ianya bukan sahaja meraikan selebriti, tetapi juga suara dan pilihan rakyat Malaysia bagi membawa hiburan tempatan ke persada dunia.
.png)





0 Ulasan