Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) semakin hangat apabila Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) mengumumkan 130 finalis bagi 26 kategori utama, dengan nama-nama besar seperti Aina Abdul, Dayang Nurfaizah dan Ernie Zakri muncul sebagai calon dominan.
Sidang media yang berlangsung di Hotel Premiera Kuala Lumpur menyaksikan RIM, selaku penganjur, memperkenalkan senarai Top 5 kategori utama, termasuk Vokal Lelaki Terbaik, Vokal Wanita Terbaik, Album Terbaik dan Lagu Terbaik. Pemilihan dibuat oleh barisan juri profesional, dikendalikan Macomm Management Services Sdn Bhd, dan diaudit firma pengauditan bertauliah Mazars, sekali gus menegaskan integriti proses penjurian.
Pengerusi RIM, Rosmin Hashim, berkata dominasi finalis kali ini memperlihatkan keseimbangan antara artis mapan dan bakat baharu.
“Saya teruja dengan senarai lima terbaik AIM24 kerana ia menampilkan gabungan penyanyi muda yang sedang menyinar bersama nama-nama besar yang terus mengukuhkan kedudukan dalam industri,” katanya.
Lebih menarik, Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures menyediakan dana berjumlah RM700,000 bagi 11 kategori, termasuk Album Terbaik (RM200,000), manakala kategori seperti Artis Baharu Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik dan Video Muzik Terbaik masing-masing bakal menerima RM50,000.
Tahun ini, AIM24 turut memperkenalkan empat kategori baharu iaitu Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik serta Kugiran Terbaik.
Antara tumpuan utama ialah persaingan sengit antara Aina Abdul, Dayang Nurfaizah dan Ernie Zakri yang mendominasi pencalonan akhir, sekali gus meletakkan mereka sebagai calon pilihan untuk membawa pulang trofi berprestij.
Ketua Juri AIM24, Datuk Mokhzani Ismail, menyifatkan proses penjurian kali ini sebagai antara yang paling mencabar berikutan jumlah pencalonan yang diterima mencecah hampir 900 karya.
“Sebanyak 862 pencalonan diterima bagi 30 kategori, dengan 26 daripadanya melalui proses penjurian tiga fasa. Antaranya termasuk kategori teknikal seperti Rakaman Album Terbaik, diikuti kategori lain, sebelum berakhir dengan Lagu Terbaik.
“Secara peribadi, tiga fasa penjurian ini cukup mencabar kerana kami perlu menilai 26 kategori dalam tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.
Malam kemuncak AIM24 dijadual berlangsung pada 13 September 2025 di Arena of Stars, Genting Highlands, dengan siaran langsung eksklusif menerusi TV2 dan RTM Klik. Sebanyak enam kategori akan diumumkan lebih awal pada Majlis Pra-Anugerah sehari sebelumnya, manakala 24 kategori lain bakal dipertaruhkan pada malam utama yang dijangka sarat dengan persembahan eksklusif.
AIM, yang bermula sejak 1993, kekal sebagai anugerah muzik paling berprestij tanah air, mengiktiraf pencapaian penggiat seni dari pelbagai genre dan bahasa.
.png)


0 Ulasan