Menghiasi sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-68, penyanyi klasik tersohor, Ushera Yusof atau Nona Ushera, akan menghidupkan pentas BOBO KL, Bangsar dengan persembahan eksklusif bertajuk “The Bunga Raya Show”, bakal berlangsung pada 31 Ogos ini, jam 5 petang.
Dikenali dengan vokal bertenaga serta gaya persembahan yang penuh elegan, Ushera bukan sekadar seorang penyanyi, malah turut muncul sebagai penggerak seni yang komited memelihara warisan muzik negara. Keberanian beliau pernah terserlah menerusi album Semalam di Malaya serta projek dokumentasi khas berkaitan penerbitan buku 'The Malayan Songbook', yang turut menghiasi slot Lensa Negaraku terbitan FINAS. Video berdurasi 12 minit itu merakamkan suka duka perjalanan seni Ushera bersama komposer Ganesh Bala, yang berusaha menyalin semula lebih 20 manuskrip lagu Melayu klasik karya tokoh besar seperti Ahmad Jaafar, Tan Sri P. Ramlee dan Osman Ahmad.
Sebagai penyanyi jazz klasik moden, Ushera dikenali kerana mempersembahkan lagu-lagu Melayu era 40-an hingga 60-an dengan sentuhan kontemporari. Setiap persembahannya bukan sekadar hiburan, tetapi pengalaman seni yang menggabungkan elemen muzik dan naratif budaya, berakar pada sejarah bangsa namun disampaikan dengan keanggunan moden. Alunan vokalnya yang gemersik dan memukau menjadikan setiap detik di pentas penuh dengan getaran emosi yang mendalam.
Menghidupkan Semula “Bunga Raya”
Dalam persembahan istimewa ini, Ushera akan diiringi oleh Ganesh Bala dengan petikan piano dan Don Guerzo di double bass, menyampaikan rangkaian lagu klasik termasuk gubahan semula lagu Bunga Raya, karya Ahmad Jaafar yang sarat dengan nilai sejarah. Lagu yang telah menjangkau usia lebih setengah abad itu digarap semula oleh Ganesh dengan penuh cermat, tanpa mengorbankan melodi mahupun roh asalnya, sekali gus menjadikannya jalinan indah antara nostalgia dan kesegaran kontemporari.
Ketika dihubungi Wajib Tonton, penyanyi Ushera, 44, melahirkan rasa teruja dapat kembali bertemu peminat muzik secara langsung pada 31 Ogos ini. Menurutnya, persembahan kali ini bakal menampilkan seleksi lagu klasik yang diberi sentuhan kontemporari, sedikit berbeza namun tetap mengekalkan struktur asal ciptaan tersebut.
“Muzik adalah perjalanan seni saya. Melalui gubahan Ganesh, kami akan memperdengarkan pelbagai lagu, termasuk beberapa yang mungkin belum pernah didengar khalayak. Saya percaya, peminat yang hadir akan jatuh cinta dengan seleksi lagu yang kami bawakan. Ia akan menjadi pengalaman istimewa dan rugi jika anda tidak bersama kami hari itu,” katanya penuh semangat.
Menutup bicaranya, Ushera menegaskan bahawa persembahan ini membawa makna lebih mendalam daripada sekadar sebuah konsert hiburan.
“The Bunga Raya Show' bukan sekadar hiburan, tetapi juga penghormatan kepada warisan seni berzaman. Ia menyatukan muzik, sejarah dan rasa cinta kepada tanah air dalam semangat kemerdekaan,” ujarnya.
Simbolisme Bunga Raya & Kemerdekaan
Pemilihan judul Bunga Raya sarat dengan makna simbolik. Sebagai bunga kebangsaan Malaysia, ia melambangkan perpaduan, keteguhan dan jati diri nasional. Dalam konteks muzik, judul ini menjadi metafora tentang bagaimana lagu-lagu klasik seperti Bunga Raya yang terus mekar saban musim. Ianya tetap relevan, hidup dan dirayakan dari satu generasi ke generasi berikutnya.
Persembahan ini juga dilihat sebagai kesinambungan usaha Ushera dan Ganesh Bala dalam mendokumentasikan khazanah muzik negara agar tidak hilang ditelan zaman. Lebih daripada sekadar sebuah konsert, ia hadir sebagai sebuah pernyataan budaya, bahawa warisan muzik lama harus terus dihargai dan diangkat dalam landskap seni moden Malaysia.
Butiran Persembahan:
📅 Tarikh: 31 Ogos 2025
🕔 Masa: 5.00 petang
📍 Lokasi: BOBO KL, Bangsar
🎟️ Harga tiket: RM100 . Klik sini untuk tiket.
Dengan kapasiti tempat yang terhad, para pencinta muzik disarankan mendapatkan tiket lebih awal bagi memastikan peluang menyertai petang eksklusif ini. Persembahan tersebut dijangka bukan sahaja menghiburkan, malah membangkitkan rasa patriotik serta menghubungkan kembali penonton dengan akar warisan muzik bangsa.
Anda juga mungkin menyukai. Sila klik gambar untuk artikel ini:-
.png)






0 Ulasan