GAYONG VERSI 'DIRECTOR'S CUT' DI PAWAGAM

Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia 2025, layar perak tanah air bakal  bergema  apabila filem epik Gayong kembali menemui penonton. Bermula 28 Ogos hingga 17 September ini, naskhah terbitan SOL Pictures Sdn Bhd bersama pengedar Empire Film Solution dengan kerjasama TGV Cinemas ini menjanjikan sebuah pengalaman sinematik yang lebih segar, lebih berani, dan sarat dengan jiwa perjuangan.

Bagi Penerbit Eksekutif, Khairul Anuar Latip, tayangan semula Gayong bukan sekadar putaran ulang di pawagam. Ia adalah usaha menyemarakkan bulan kebangsaan dengan sebuah karya yang mengangkat jati diri, semangat perpaduan dan maruah bangsa. Ketika tayangan terdahulu, Gayong menerima sambutan hangat, namun masih ramai yang terlepas peluang menontonnya. Kali ini, dengan tayangan semula, kami bukan sahaja membuka ruang kepada penonton baharu, malah menegaskan kembali mesej perjuangan bersempena Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia,” jelasnya.

Di bawah arahan Faisal IshakGayong diinspirasikan daripada perjalanan hidup Pengasas Silat Gayong, Mahaguru Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman (ADMAR). Dibawakan oleh barisan pelakon hebat, antaranya Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip serta bintang aksi antarabangsa Yayan Ruhian, naskhah ini memadukan debaran adrenalin aksi dengan naratif yang menyuluh roh bangsa.

Menariknya, tayangan kali ini hadir dengan sesuatu yang lebih eksklusif,  iaitu versi Director’s Cut yang diperkaya dengan sentuhan baharu serta sisipan klip istimewa daripada Gayong 2, dijadualkan menemui penonton tahun depan. Lebih mengujakan, tiket tayangan semula ini hanya berharga RM10 di semua pawagam TGV Cinemas seluruh negara, menjadikan pengalaman epik ini mampu dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

Khairul turut menyeru seluruh lapisan masyarakat daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hinggalah rakyat jelata tanpa mengira fahaman politik untuk memenuhi pawagam tempatan dan bersama-sama menyemarakkan tayangan ini.

Gayong adalah sebuah naskhah tentang keberanian dan perpaduan. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi seruan agar kita menghargai pengorbanan bangsa serta terus memartabatkan maruah agama dan tanah air,” ujarnya penuh semangat.

Dengan nyala patriotisme yang dibawanya, Gayong bukan sekadar tayangan semula. Ia tampil sebagai sebuah manifesto layar  mengingatkan kita bahawa api perjuangan tidak pernah padam, dan sinema mampu berdiri sebagai gelanggang mempertahankan identiti bangsa.

Catat Ulasan

0 Ulasan