Konsert Legasi P. Ramlee, yang pada asalnya dijadualkan berlangsung pada 20 September depan, telah ditunda ke satu tarikh baharu yang akan diumumkan kelak. Penangguhan acara berprestij ini bukan sekadar pertukaran tarikh, sebaliknya merupakan langkah strategik untuk mengangkat persembahan tersebut menjadi sebuah festival seni dan budaya berskala nasional yang berwibawa serta sarat pesona.
Di bawah inisiatif Projek Perdana P. Ramlee, acara ini akan berkembang daripada sebuah persembahan satu malam kepada festival yang lebih inklusif, meriah, dan berimpak tinggi, menghimpunkan muzik, seni persembahan, serta pengisian kreatif pelbagai bentuk. Disokong oleh pelbagai kementerian, sektor korporat, dan rakan penaja strategik, festival ini dilihat sebagai platform warisan negara yang mampu menyatukan masyarakat daripada pelbagai lapisan.
Pengarah Eksekutif TanahAir Films, Dato’ Khairul Anwar Salleh, menjelaskan bahawa penangguhan ini bukan bertujuan melambatkan penganjuran, tetapi untuk meraikannya dalam skala yang jauh lebih besar.
“Kami tidak lagi melihat Konsert Legasi P. Ramlee sekadar sebuah persembahan, sebaliknya sebagai titik tolak untuk membina jenama budaya nasional yang mampan. Dengan gabungan barisan pemuzik orkestra, artis terkemuka, dan sokongan padu industri kreatif, langkah ini membolehkan kami memperluas pengaruh serta membuka ruang penyertaan lebih luas kepada komuniti dan rakan korporat,” katanya.
Nada yang sama turut disuarakan oleh Adlin Aman Ramlie, Pengarah Kreatif Festival merangkap salah seorang peneraju projek, yang menegaskan bahawa roh dan semangat Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee akan diangkat dalam pelbagai dimensi.
“Tan Sri P. Ramlee bukan sekadar seorang seniman; beliau adalah lambang nilai murni, cerminan semangat zamannya, suara bangsa, serta pemikir berani yang tidak gentar menyentuh isu dan perasaan masyarakat. Pendekatan festival ini diyakini akan menjadikan legasi beliau lebih dekat dan relevan dengan generasi masa kini,” ujarnya.
Sebagai tanda penghargaan terhadap sokongan dan pengorbanan semua pihak yang terlibat, TanahAir Films merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakan strategik, penaja, dan rakan media yang telah bersama sejak awal penganjuran. Penangguhan ini, kata mereka, adalah langkah berani demi memastikan acara yang bakal berlangsung kelak benar-benar meninggalkan impak mendalam dalam landskap seni dan budaya tanah air.
Bagi pembeli tiket sedia ada, pihak Ticket2U akan menghubungi dalam tempoh tiga minggu untuk menguruskan penukaran tarikh, naik taraf, atau bayaran balik. Maklumat terkini akan dikongsikan melalui laman rasmi dan media sosial @konsertlegasipramlee.


.jpg)

0 Ulasan