TALK TO MY MANAGER: PERTARUNGAN BAKAT DUA GENERASI

Pentas hiburan tanah air bakal menyaksikan satu fenomena baharu apabila Astro mempersembahkan Talk To My Manager, sebuah program realiti berkonsep segar yang menggabungkan ikatan kekeluargaan, bakat seni, dan strategi pengurusan dalam satu pertandingan penuh emosi dan kejutan.

Buat pertama kalinya, para penonton akan menyaksikan gandingan istimewa antara selebriti ternama yang bertindak sebagai manager dan anak mereka sendiri sebagai artis. Anak-anak ini akan menjadi bintang utama di pentas, manakala ibu bapa selebriti mengambil peranan penting di belakang tabir dalam mengatur hala tuju kreatif dan strategi persembahan demi meraih gelaran pasangan terbaik Malaysia.

Menemui penonton mulai 24 Ogos 2025, setiap Ahad jam 9 malam di Astro Ria (saluran 104) dan turut distrim melalui Astro GO serta sooka, program ini bukan sekadar pertandingan hiburan, malah sebuah perayaan terhadap legasi seni yang merentas generasi.

Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh berkata program yang julung kali diperkenalkan ini akan mencungkil bakat dikalangan anak selebriti bagi menghasilkan satu bentuk persembahan eksklusif dalam menggabungkan elemen persembahan, kreativiti dan hubungan kekeluargaan antara mereka.

“Program ini adalah bukti bahawa kejayaan dalam dunia hiburan memerlukan lebih daripada sekadar bakat. Ianya menuntut dedikasi, ketahanan, dan kepercayaan yang mendalam antara pengurus dan artis. Penonton akan melihat detik penuh emosi, cabaran kreatif, dan persembahan memukau yang akan memuncak dengan penobatan pasangan terunggul musim ini," katanya. 

Antara pasangan hebat yang bakal berentap musim ini termasuk Siti Saerah & Amad, Ameng & Ammar, Aziz M. Osman & Ara Aziz, Sharifah Shahirah & Auddra, Shuib & Thalita, Sharifah Zarina & Athalia, Ina Naim & Hadie dan Liza Hanim & Marsya. 

Program ini turut menampilkan pengacara legenda Datuk Aznil Hj. Nawawi (Pak Nil), bersama barisan juri berpengalaman Che Puan Sarimah dan Dato’ AC Mizal.

Format penjurian akan dinilai 100% oleh juri profesional, dengan pecahan 60% untuk strategi dan pengurusan manager, serta 40% untuk kreativiti dan kualiti persembahan artis. Penonton juga boleh memberikan undian mingguan secara dalam talian, dengan ganjaran istimewa menanti pasangan yang meraih undian tertinggi.

Selain konsert mingguan, penonton dapat menikmati pelbagai kandungan eksklusif seperti:

  • Studio Talk To My Manager – Sabtu, 10 malam (mulai 23 Ogos)
  • BTS Talk To My Manager Rabu, 8.30 malam (mulai 20 Ogos)
  • Talk To My Manager Live+ – disiarkan serentak di www.gempak.com semasa konsert berlangsung.

Kolaborasi ini turut mendapat sokongan Astro Gempak sebagai Rakan Digital rasmi dan SINAR sebagai Rakan Radio rasmi.

Talk To My Manager menjanjikan sebuah perjalanan hiburan yang bukan sahaja menguji bakat, malah merungkai kisah perjuangan dan kasih sayang di sebalik tabir sekali gus menjadikan setiap minggu sebuah kisah yang menginspirasikan.

Catat Ulasan

0 Ulasan