ABAH SAYA UNCLE MIKE: KASIH SAYANG TANPA BATASAN

Kasih sayang keluarga bukanlah semata-mata ditentukan oleh pertalian darah. Itulah mesej besar yang cuba disampaikan menerusi filem terbaharu terbitan Astro Shaw berjudul Abah Saya, Uncle Mike, sebuah karya penuh emosi yang diangkat daripada kisah benar seorang lelaki berbangsa Cina, Michael Tong Wai Siong atau lebih dikenali sebagai Uncle Mike, yang membesarkan tiga anak yatim piatu berbangsa Melayu dengan penuh kasih sayang dan penghormatan terhadap agama serta budaya mereka.

Mengangkat tema kekeluargaan yang jarang diterokai dalam sinema tempatan, filem ini menggambarkan bagaimana penerimaan, kepercayaan, dan pengorbanan mampu membentuk ikatan keluarga lebih kukuh daripada darah yang mengalir. Abah Saya, Uncle Mike bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 28 Ogos 2025.

Kisah Nyata yang Menyentuh Hati

Uncle Mike mula mendapat perhatian masyarakat selepas kisah pengorbanannya menjaga tiga beradik yatim piatu iaitu Rafei, Rasyid, dan Rahman yang tular dan menyentuh hati ramai. Walaupun berlainan agama dan budaya, beliau tetap memastikan anak-anak itu menerima pendidikan agama Islam yang sempurna, sambil menyalurkan kasih sayang tanpa syarat.

Menurut Raja Jastina Raja Arshad, Penerbit Eksekutif Abah Saya, Uncle Mike merangkap Ketua Astro Shaw, berkata kisah ini wajar diangkat kerana sarat dengan nilai kemanusiaan dan perpaduan.

“Kisah Uncle Mike mencerminkan nilai sebenar masyarakat Malaysia yang hidup dalam kepelbagaian bangsa dan agama. Ia sebuah naratif jujur, penuh kasih sayang dan pengorbanan, yang mampu memberi inspirasi dalam memperkukuhkan lagi erti perpaduan,” katanya.

Cabaran Emosi di Layar

Menggalas watak Uncle Mike adalah pelakon berbakat besar, Andy Teh, yang sebelum ini sinonim dengan karakter aksi. Menerusi penampilan sulungnya dalam naskhah keenam ini, Abah Saya, Uncle Mike, Andy membuktikan versatiliti apabila tampil sebagai seorang lelaki berjiwa sentimental, penuh rasa tanggungjawab, namun bergelut dengan tekanan kekeluargaan akibat penolakan bapanya terhadap jalan hidup yang dipilihnya. Bagi Andy, peluang ini merupakan cabaran besar kerana ia menuntut penghayatan emosi yang jauh lebih mendalam.

“Watak Uncle Mike kelihatan mudah, tetapi hakikatnya sarat dengan air mata. Banyak adegan membuatkan saya tersentuh sendiri dengan keluhuran hati beliau. Malah, sebelum penggambaran bermula, saya berjumpa empat mata dengan Uncle Mike untuk benar-benar memahami keperibadiannya yang tenang dan bersahaja,” katanya.

Beliau turut memuji gandingan dengan pelakon muda Idan Aedan (Rafei), Nor Merah (Rasyid), dan Umar Shakur (Rahman), yang disifatkan bagai keluarga sebenar di set penggambaran.

Bagi Idan Aedan, naskhah ini cukup peribadi kerana beliau sendiri pernah merasai kehilangan seorang bapa. Pelakon muda berusia 21 tahun itu menganggap penglibatannya dalam karya sulung arahan Ezrie Gazali sebagai suatu penghormatan dan sebuah peluang untuk meneroka sisi lakonan yang lebih bersahaja, namun tetap meninggalkan impak mendalam serta pesona yang mampu menggetarkan emosi penonton.

“Saya benar-benar memahami perasaan kehilangan tempat bergantung. Watak Rafei mengajar saya tentang makna kasih sayang sesama insan. Banyak momen di set membuatkan kami sebak hingga menitiskan air mata, bahkan lebih awal daripada penonton,” jelasnya.

Tenaga Produksi & Lakonan Berbintang

Filem cereka sulung arahan Ezrie Gazali ini diterbitkan oleh Le Mediator Studios, dengan skrip hasil nukilan kolektif penulis termasuk Muzzamer Rahman, Nik Naemah, Kyle Goonting, bersama beberapa nama lain. Kehadiran barisan pelakon berpengalaman seperti Chew Kin Wah, Mandy Chong, April Chan, Pauline Tan, Nadiya Nisaa serta ramai lagi turut menyerikan penceritaan, sekaligus menambah dimensi tersendiri pada naskhah ini.

Menambahkan lagi keasyikan emosi, lagu tema berjudul Lelah dendangan Mark Adam hadir sebagai alunan syahdu yang memperkukuh perjalanan cerita.

Sinergi Industri & Komersial

Menariknya, Abah Saya, Uncle Mike turut mencatat satu lagi pencapaian penting dengan memperlihatkan sinergi antara industri perfileman dan sektor komersial. Astro Shaw menjalinkan kerjasama strategik bersama Etika Sdn. Bhd yang membawakan jenama 7UP dan Mirinda sebagai rakan utama.

Menurut Amy Gan, Naib Presiden Pemasaran Etika Sdn. Bhd., penglibatan mereka dalam projek ini bukan sekadar penajaan semata-mata, sebaliknya merupakan bukti komitmen dalam berkongsi rasa melalui penceritaan di layar perak yang sarat dengan emosi dan mampu menyentuh hati penonton.

“Kisah ini mengingatkan kita bahawa kasih sayang dan penerimaan mampu mengatasi segala perbezaan. Nilai ini seiring dengan semangat jenama kami yang meraikan keceriaan dan kebersamaan rakyat Malaysia,” jelasnya.

Sebagai simbolik bersempena tayangan perdana, Etika memperkenalkan kit edisi terhad “Menangis itu OK, 7UP kan ada!” yang mengandungi tisu, bantal kecil, cermin mata hitam serta minuman 7UP. Lebih istimewa, rekaan kit tersebut mendapat sentuhan kreatif artis tempatan Izzati Suza, sebagai penghargaan terhadap bakat seni anak Malaysia.

Sambutan Awal Positif

Sebelum tayangan rasmi, Abah Saya, Uncle Mike telah memperkenalkan beberapa treler programatik sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya, yang meraih sambutan hangat di media sosial dengan jutaan tontonan. Lebih menarik, inisiatif interaktif #UncleMikeEdits turut mengundang peminat untuk menghasilkan versi kreatif treler dan poster mereka sendiri, sekali gus memperkukuh jalinan antara karya dan khalayaknya.

Kasih Sayang Sebagai Manifesto

Abah Saya, Uncle Mike bukan sekadar sebuah drama di layar perak; ia hadir sebagai sebuah pernyataan tentang makna sebenar keluarga, erti perpaduan, dan keikhlasan yang melangkaui batas bangsa serta agama. Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, kisah ini tampil sebagai peringatan bahawa kasih sayang tanpa syarat adalah bahasa kemanusiaan yang paling universal.

Filem ini bakal menemui penonton di seluruh pawagam tanah air bermula 28 Ogos 2025, bertepatan dengan semangat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ; sebuah simbolik yang mengikat makna kebersamaan dengan naratif nasional.

Catat Ulasan

0 Ulasan