ASTRO RAIKAN PERPADUAN

Sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini, Astro memperkenalkan kempen istimewa Inilah KITA, Sehati Bersama yang berlangsung dari 15 Ogos hingga 16 September 2025, bagi meraikan kepelbagaian budaya dan mengukuhkan semangat perpaduan rakyat Malaysia.

Menurut Ketua Pegawai Jualan & Pemasaran Astro, Tai Kam Leong, tema Sehati Bersama dipilih untuk meneruskan naratif Inilah KITA, dengan penceritaan yang menonjolkan nilai kebersamaan, sama ada melalui perkongsian juadah, penggunaan ruang komuniti, mahupun kerjasama seni kreatif.

“Kami ingin mengingatkan bahawa walaupun kita datang daripada latar budaya berbeza, momen berharga yang dikongsi bersama menjadikan kita satu,” katanya.

Sepanjang kempen, pelbagai inisiatif menarik bakal mengisi ruang hiburan termasuk KITA Channel (Saluran 100) yang menghimpunkan lebih 50 program tempatan, lagu tema “Bangkit Malaysia” nyanyian Hael Husaini, acara Hello Inilah KITA, siaran radio KITA FM, tayangan telefilem baharu seperti Kita Bukan Data, Mariam Meenachi, Wasiat Ayah, serta konsert eksklusif Slam X Exist: Our Journey dan Hael Husaini & The Repertoire.

Astro turut mempersembahkan siri dokumentari pendek Kisah Perpaduan Inilah KITA yang menampilkan kisah benar rakyat Malaysia – Famili Ikat Tepi, sebuah kopitiam berusia seabad yang menjadi simbol perpaduan; Tempat Letak Harmoni di Sarawak yang berkongsi parkir antara masjid dan gereja; serta Seni Berkawan, kolaborasi tiga artis berlatar budaya berbeza.

Rakyat Malaysia dipelawa memeriahkan acara hiburan dan kebudayaan Hello Inilah KITA pada 23 & 24 Ogos di Putrajaya, yang menampilkan barisan selebriti merangkumi Mira Filzah, Hun Haqeem, Ayda Jebat dan ramai lagi. Sementara itu, KITA FM akan bersiaran langsung dari Putrajaya pada 31 Ogos sebelum memulakan jelajah ke 13 negeri sehingga Hari Malaysia pada 16 September.

Bagi penggemar aktiviti riadah, acara KITA Run akan diadakan pada 25 Oktober di Serenia City Central Park, Nilai, menawarkan larian sejauh 5KM dan 10KM, karnival keluarga serta konsert artis tempatan.

Maklumat lanjut mengenai kempen Inilah KITA, Sehati Bersama boleh didapati di www.astro.com.my/InilahKITA.

Catat Ulasan

0 Ulasan