Setelah lebih sedekad mencipta nama sebagai penyanyi, komposer, dan pencipta lagu yang meraih pelbagai anugerah, Hael Husaini akhirnya merealisasikan impian yang sekian lama dinanti iaitu konsert solo sulungnya bertajuk Hael Husaini & Repertoire, dibawakan eksklusif oleh Astro bersama Rocketfuel Entertainment.
Berlokasi di Zepp Kuala Lumpur, konsert malam tadi bukan sekadar menghimpunkan karya terbaik Hael, malah menjadi sebuah perayaan istimewa meraikan 11 tahun perjalanan seni seorang pengkarya yang telah mewarnai industri muzik tanah air.
“Konsert ini adalah manifestasi segala jatuh bangun saya dalam bidang muzik. Ia bukan sekadar persembahan, tetapi lambang penghargaan kepada peminat, rakan-rakan artis, dan semua yang mempercayai saya sejak awal,” ujar Hael penuh makna.
Persembahan Berkonsep Repertoire Penuh Jiwa
Mengangkat konsep repertoire sebagai teras pementasan, Hael mempersembahkan rangkaian lagu-lagu hitnya di samping karya ciptaan yang pernah dipopularkan oleh nama-nama besar seperti Dayang Nurfaizah, Nadeera, Nabila Razali, dan Wany Hasrita. Setiap persembahan sarat emosi, seolah-olah lagu-lagu itu sememangnya ditulis khusus buat mereka.
“Saya pilih mereka bukan kerana populariti semata-mata. Lagu-lagu itu hidup dengan suara mereka. Mereka bukan hanya penyanyi, tetapi sebahagian daripada kisah saya sebagai pengkarya,” jelas Hael.
Konsert dibuka dengan tenaga penuh semangat oleh kumpulan baharu ALPHA, juara Big Stage Alpha, yang membawakan lagu Bujang dan Lara , kedua-duanya hasil ciptaan Hael sendiri.
Momen Manis Bersama Nadeera & Karya Baharu Antonim: Part II
Antara detik yang paling menyentuh hati ialah apabila Hael dan Nadeera berduet dalam lagu baharu Peluk, menandakan kerjasama kedua mereka selepas kejayaan lagu raya Meriah Lain Macam.
“Bekerja dengan Hael adalah satu penghormatan. Dia bukan sekadar pencipta lagu, tetapi pencerita yang halus jiwanya,” kata Nadeera.
Selain Peluk, Hael turut mempersembahkan dua lagi karya segar – Langkah dan Jari – yang bakal menghuni album sambungan Antonim: Part II.
Kemuncak Konsert: Kejutan Dato' Sri Siti Nurhaliza
Sorakan penonton memuncak apabila Dato' Sri Siti Nurhaliza melangkah ke pentas, menyampaikan lagu Anta Permana ciptaan Hael bersama Ezra Kong. Dengan senyum bersahaja, Siti mengusik:
“Kak Iti nak tunggu lagu duet Hael dan Dayang, tapi macam tak sempat," katanya.
Kejutan itu menjadi lebih manis apabila sebelum kemunculan Siti, Hael sengaja ‘lari tempo’ dan menghentikan nyanyian Anta Permana, mencipta detik suspens sebelum memperkenalkan bintang tersohor itu kepada penonton.
Sebuah Malam, Jutaan Terima Kasih
Mengakhiri persembahan, Hael berdiri penuh rasa syukur sambil memandang lautan penonton.
“Saya tidak mempunyai ramai kawan dalam industri, namun malam ini saya rasa saya ada keluarga. Terima kasih kepada semua para pemuzik, pihak produksi, artis-artis hebat, rakan media, Astro, Rocketfuel Entertainment, dan paling penting, peminat yang tidak pernah berhenti percaya. Konsert ini bukan penutup, ini hanyalah permulaan.”
Bagi yang terlepas peluang menyaksikan secara langsung, Hael Husaini & Repertoire akan disiarkan secara eksklusif di Astro, menerusi KITA Channel (saluran 100) pada 13 September 2025, jam 9 malam.
.png)

0 Ulasan