Kuala Lumpur kembali menjadi saksi sebuah detik yang sarat makna apabila penyanyi dan penulis lagu kelahiran Britain, Harris J, muncul memanaskan pentas seni dengan pelancaran album mini (EP) terbaharu berjudul Revival.
Selepas beberapa tahun menyepi, kemunculannya kali ini bukan sekadar menandakan lembaran baharu dalam kerjaya muzik, tetapi juga sebuah kelahiran semula rohani yang membawa misi peribadi lebih besar.
Diterbitkan oleh Awakening Music, Revival memuatkan enam lagu yang menganyam tema keimanan, kasih sayang, dan perjalanan spiritual. Harris tampil dengan kematangan tersendiri, baik sebagai seorang artis mahupun insan, Harris menterjemahkan muzik melalui lirik yang mendalam, susunan melodi yang lebih kontemporari, dan mesej sarat ketulusan. Ia merangkumi gabungan karya baharu dan lagu ikonik yang diberi nafas segar, antaranya Qalbi Fil Madinah bersama Maher Zain, O Allah, Salati, dan Always Listening.
Bagi menambah keindahan halwa telinga, single utama Hayati dipersembahkan dengan video muzik sinematik arahan Idris Kheder, berlatar panorama menawan Granada, Sepanyol.
“Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya. Sokongan tidak berbelah bahagi daripada peminat di sini menjadi inspirasi terbesar buat saya. Saya berharap Revival mampu menjadi teman dalam perjalanan spiritual mereka, serta membuatkan generasi muda Muslim lebih bangga dengan identiti mereka,” kata Harris J ketika ditemui media di ibu kota.
Di sebalik kemeriahan promosi, Harris membuka sedikit pintu hatinya. Antara karya paling dekat di jiwanya ialah lagu tentang ibunya yang belum dirilis, namun sarat emosi.
“Lagu itu mengingatkan saya kepada insan-insan yang pernah menjaga saya tetapi kini tiada lagi. Ia membuatkan saya menghargai setiap detik bersama mereka yang masih ada,” tuturnya, sambil menegaskan bahawa kasih Allah SWT mengatasi segalanya.
Bagi Harris, muzik adalah bahasa sejagat tanpa sempadan. Misinya jelas dalam menyampaikan mesej Islam dengan keindahan, mengajak jiwa kembali kepada Pencipta, dan mengingatkan bahawa kita masih punya masa untuk bertaubat dan berubah.
“Allah SWT suka apabila kita meminta kepada-Nya. Jangan sia-siakan peluang ini,” pesannya penuh makna.
Berasal dari London, Harris mula mencipta nama pada 2015 melalui album sulung Salam yang menampilkan lagu-lagu seperti Salam Alaikum, Good Life, dan I Promise. Kini, melalui Revival, dia mengukuhkan kedudukannya sebagai salah satu suara penting dalam muzik berinspirasikan keimanan bagi menghubungkan hati, menyentuh jiwa, dan membangkitkan semangat generasi baharu untuk mencari makna, harapan, dan identiti diri.
.png)

0 Ulasan