Platform penstriman video OTT terkemuka, Viu Malaysia, dengan bangganya mempersembahkan drama bersiri romantik terbaharu berjudul Seadanya Kita (Unexpectedly Yours), yang dijadualkan tayangannya secara eksklusif bermula hari ini, 7 Ogos 2025. Menampilkan 15 episod penuh emosi, siri ini akan hadir dengan dua episod baharu setiap Khamis dan Jumaat.
Mengangkat tema cinta, keluarga dan takdir yang mengubah segalanya, Seadanya Kita menjadi medan pertemuan dua bintang tersohor tanah air, Emma Maembong dan Mierul Aiman dalam gandingan pertama mereka di layar kaca. Emma memegang watak Alani, seorang ibu tunggal yang cuba membina semula kehidupannya bersama anak lelakinya, Iqi (Mikael Noah), selepas lima tahun ditinggalkan suaminya, Farouq (Shahz Jaszle). Namun, kedatangan Farouq semula dalam hidup mereka mula menguji ketenangan yang baru diraih.
Dalam waktu yang sama, kemunculan Kerol (Mierul Aiman), seorang penyanyi rock muda yang bergelut dengan masa silamnya, membawa dimensi baharu kepada perjalanan hidup Alani. Hubungan profesional antara mereka perlahan-lahan berkembang menjadi ikatan yang lebih mendalam, malah Kerol mula menemukan rasa keluarga dalam kehadiran Alani dan Iqi. Namun, dilema antara masa lalu, masa kini, dan masa depan memaksa Alani membuat pilihan yang mungkin merubah segalanya.
Siri ini turut dibarisi pelakon berpengalaman seperti Nelissa Nizam, Ara Johari, Yasmin Hani, Anas Ridzuan, serta Mikael Noah yang menghidupkan setiap watak dengan penghayatan tersendiri. Di bawah arahan pengarah prolifik, Feroz Kader yang sebelum ini mencipta kejayaan menerusi Pabila Dia Tersenyum, Seadanya Kita dijangka menjadi naskhah yang memikat hati penonton tempatan.
Pengarah Produksi Viu Malaysia, Imillya Irwani Roslan, menyifatkan projek ini sebagai istimewa kerana berjaya mempertemukan Mierul dan Emma dalam sebuah kisah yang bukan sahaja romantis, tetapi juga menguji pandangan masyarakat tentang perbezaan usia dalam percintaan.
“Keserasian mereka amat menyentuh perasaan, menjentik emosi dan memberi kejujuran kepada sebuah kisah mendalam tentang cinta, keluarga, dan pilihan hidup,” ujar Imillya.
Mengiringi tayangan drama ini ialah lagu tema rasmi berjudul Berakhir Kita nyanyian Syamel, ciptaan Shazriq Azeman dan Omar K dari World Peace Music. Balada penuh emosi ini dilancarkan serentak dengan tayangan siri dan boleh dinikmati di semua platform penstriman utama serta saluran YouTube rasmi Universal Music Malaysia.
Dengan kombinasi lakonan mantap, naratif yang sarat emosi, serta sentuhan muzik yang menggetarkan jiwa, Seadanya Kita dijangka menjadi antara drama paling berkesan di hati penonton Malaysia tahun ini.
Tonton di ViU sekarang!.



0 Ulasan