Dunia kewartawanan hiburan tanah air kehilangan salah seorang tokoh berpengaruhnya apabila bekas Editor majalah hiburan terkenal URTV, Mohd Rosli Manah, 57, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang pada jam 12.59 tengah hari tadi.
Figura yang mesra disapa “Che Li” itu sebelum ini bertarung nyawa melawan jangkitan kuman pada otak sejak dua bulan lalu. Menurut isterinya, Asma Ghani, 51, Allahyarham turut menghidap diabetes sejak tujuh tahun lalu, yang menyumbang kepada kemerosotan kesihatan.
“Arwah sebelum ini bergantung pada alat bantuan pernafasan. Doktor sudah melakukan dua kali pembedahan untuk mengambil sampel air tulang belakang bagi mengenal pasti punca jangkitan,” jelas Asma.
Jenazah akan dikebumikan petang ini. Sepanjang lebih tiga dekad bergiat dalam bidang media, Rosli bukan sahaja dikenali sebagai wartawan mahkamah dan hiburan, malah pernah menerajui URTV dan Mangga, dua majalah hiburan paling berpengaruh era 1990-an dan awal 2000-an.
Sumbangannya terhadap dunia seni cukup besar di mana beliau menjadi tulang belakang dalam mengangkat nama ramai artis tempatan serta antara penyokong terawal bakat kelahiran Akademi Fantasia seperti Dafi dan Mawi. Malah, fenomena Mawi yang pernah melanda negara pada 2005 turut dikaitkan dengan sentuhan editorialnya.
Jasa dan pengaruh Rosli turut diakui tokoh kenamaan, termasuk bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang pernah menziarahi beliau di hospital sebagai tanda penghargaan terhadap sokongannya terhadap kerjaya anaknya.
Pemergian Rosli meninggalkan legasi besar dalam dunia hiburan Malaysia, dan namanya akan terus dikenang sebagai insan yang membina jambatan antara industri dan peminat seni tanah air.




0 Ulasan