RAIKAN DUA DEKAD PERJALANAN SENI UNIC

Setelah dua dekad mengharungi liku industri muzik tanah air, kumpulan nasyid kontemporari tersohor UNIC bakal tampil dengan konsert sulung mereka berjudul “This Is UNIC: Live In Concert”.

Konsert yang dijadualkan berlangsung pada 20 Disember 2025 ini memilih Idea Live Arena, Damansara, Petaling Jaya sebagai lokasi utama. 

Dianjurkan oleh Triple Am Global, konsert ini menandakan satu bab penting dalam sejarah UNIC, sekaligus menjadi konsert solo penuh pertama mereka selepas kembali bersatu dengan barisan terkini dianggotai Bazli Hazwan, Dr. Fitri Haris dan Fakhrul Radhi.

Menurut Bazli Hazwan, konsert ini amat peribadi buat mereka kerana menjadi ruang untuk menghargai kesetiaan peminat yang tidak pernah berpaling sejak awal perjuangan UNIC di pentas nasyid tanah air.

“Selepas lebih dua dekad bersama peminat, inilah masa untuk kami meraikan perjalanan panjang UNIC dengan mereka yang setia sejak awal. Kami ingin kembalikan semangat nasyid ke pentas besar bagi membuktikan muzik dakwah masih relevan dan mampu menyatukan hati ramai orang,” ujarnya.

Kembali Ke Akar, Merentas Zaman

Bertemakan ‘Kembali Ke Akar, Merentas Zaman’, konsert ini bukan sekadar persembahan hiburan semata-mata, sebaliknya dirangka sebagai satu pengembaraan muzik dan jiwa yang membawa penonton menyusuri setiap fasa perjalanan UNIC,  dari awal kemunculan hingga ke era moden.

Setiap segmen persembahan akan disusun mengikut kronologi evolusi UNIC, membolehkan penonton mengimbau nostalgia lama sambil menikmati warna muzik baharu kumpulan itu.

“Kami mahu peminat merasai setiap fasa evolusi UNIC,  daripada melodi lama yang membentuk identiti kami sehinggalah ke susunan moden yang lebih segar. Setiap nota adalah kenangan dan setiap lagu membawa mesej,” jelas Dr. Fitri Haris.

Dengan gabungan susunan muzik moden dan tradisional, iringan live band di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman, serta penggunaan visual dan tata cahaya yang dinamik, UNIC berjanji untuk menghadiahkan pengalaman persembahan yang bukan sekadar ditonton, tetapi dihayati sepenuhnya.

“Kami ingin penonton benar-benar merasai pengalaman konsert ini daripada visual, bunyi, hingga mesej yang ingin kami sampaikan. Segala persiapan vokal, mental dan fizikal dijalankan dengan penuh teliti,” tambah Fakhrul Radhi.

Kejutan, Kenangan & Kasih Sesama Peminat

Bagi mencipta malam penuh makna dan kenangan antara UNIC serta para peminat, konsert ini bakal menghidupkan semula lagu-lagu ikonik yang pernah menjadi nadi perjuangan mereka seperti Demi Cinta Suci, “Hanya Tuhan Yang Tahu dan Ainul Mardhiah di mana menariknya pada kali ini dengan menampilkan sentuhan susunan muzik baharu yang lebih segar, mendalam dan menyentuh jiwa.

Tidak hanya sekadar persembahan nostalgia, setiap lagu akan diberi nafas baharu bagi menzahirkan perjalanan muzik UNIC yang terus berkembang seiring masa.

Selain itu, penonton turut bakal disajikan dengan penampilan artis jemputan istimewa yang pernah menjadi sebahagian daripada sejarah UNIC, sekali gus mengembalikan semula memori manis yang pernah dikongsi bersama di pentas nasyid tanah air.

“Insya-Allah, akan ada kejutan istimewa malam itu. Kami hendak cipta satu suasana penuh kasih, bukan hanya antara kami dan peminat, tetapi juga bersama rakan-rakan artis yang pernah menjadi sebahagian daripada kisah UNIC,” kata Bazli.

Satu Malam Untuk Dakwah, Muzik & Cinta

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Triple Am Global, En. Nursyaqif Aimer, penganjuran konsert ini lahir daripada rasa hormat terhadap perjuangan UNIC yang kekal konsisten dalam menyebarkan dakwah melalui medium muzik.

‘This Is UNIC’ bukan sekadar konsert, tetapi simbol kekuatan, kesetiaan dan kasih antara artis dan peminat. Ia juga tanda penghargaan terhadap ketekunan UNIC dalam memastikan muzik nasyid terus bernafas di arus perdana,” jelas beliau.

Selepas lebih dua dekad berkarya, UNIC melihat konsert ini sebagai permulaan baharu bukan sahaja buat mereka sebagai kumpulan, tetapi juga sebagai usaha untuk menghidupkan semula keindahan dan nilai dakwah dalam muzik nasyid di pentas besar.

“Kami berharap konsert ini menjadi lebih daripada sekadar hiburan. Jika ia mampu meniup semangat baharu kepada peminat dan mengangkat semula martabat muzik nasyid, itu sudah cukup bermakna,” kata UNIC sebulat suara.

Tiket berharga serendah RM89 (Demi Cinta Suci -2nd level) sehinggalah RM249 (Ainul Mardhiah) boleh dimiliki melalui ticket2u bermula pada 17 Oktober 2025. 

Catat Ulasan

0 Ulasan