SYURGA DALAM BOTOL NAFAS 'BAHARU' SINEMA SABAH?

Pada awalnya, saya agak skeptikal terhadap kehadiran filem ini lebih-lebih lagi kerana ia diarahkan oleh Ebi Kornelis, seorang pengarah yang jarang sekali saya berpeluang menonton hasil karyanya sebelum ini. Saat melangkah masuk ke ruang pawagam TGV Wangsa Walk, Kuala Lumpur, baru-baru ini, terselit sedikit rasa gusar dalam hati: mampukah karya Ebi kali ini membuatkan saya terpaku di tempat duduk sepanjang tayangan, atau sekadar membuat saya menguap tanda bosan?

Namun, sangkaan saya ternyata meleset. Filem sulung arahan Ebi Kornelis ini benar-benar menghadirkan keterujaan yang tidak dijangka. Sinematografinya begitu memukau di mana setiap bingkai seolah-olah dirakam dengan jiwa yang halus. Pemilihan lokasinya yang berlatarbelakangkan kebiruan laut Borneo pula seakan-akan memanggil penonton untuk turut hanyut dalam keindahannya. Syurga Dalam Botol membuktikan bahawa anak kelahiran Sabah ini bukan calang-calang bakat; hasil karyanya sungguh luar biasa.

Menariknya, Ebi Kornelis berani mempertaruhkan barisan pelakon baharu dari Sabah dan Filipina antaranya Kenneth Torrecampo Oliver, Dg. Hasnah, Sakinah, Sharizan Tahir, Quzhairil Lona Walawd, Selhan Ramon, Abdul Kams Sainali dan ramai lagi. Keberanian ini membuktikan bahawa tanpa bergantung pada nama-nama komersial, Syurga Dalam Botol masih mampu menawan hati penonton tempatan. Kejayaannya bukan sahaja dirasai di Sabah, malah turut menembusi pasaran Semenanjung apabila filem ini berjaya meraih kutipan hampir RM1.5 juta, satu pencapaian luar jangka bagi naskhah sulung yang dihasilkan dengan bajet terhad.

Pengarahnya, Ebi Kornelis, 42, tidak menafikan bahawa kejayaan ini suatu kejutan yang menggembirakan. Dalam satu temu bual yang dipetik dari Harian Metro, beliau mengakui tidak menjangka sambutan hangat yang diterima.

“Sebenarnya, hari kesembilan filem ini sudah pun mencapai kutipan RM1 juta. Sebagai pengarah, saya tidak menjangkakan pencapaian ini. Kalau melihat kepada rekod filem-filem dari Sabah sebelum ini, untuk melepasi angka RM200,000 pun agak sukar dan biasanya mengambil masa sekitar lima minggu,” jelasnya.

Lebih menarik, filem ini dihasilkan menggunakan dana First Time Amateur Filmmaker (FAME) daripada FINAS dengan bajet sekitar RM500,000 sahaja. Menurut Ebi, beliau dan pasukan produksi menggunakan dana tersebut dengan penuh teliti daripada penyusunan lagu-lagu, kerja pascaproduksi hingga ke aspek color grading yang menjadikan hasil akhirnya tampak jauh lebih besar daripada kemampuan sebenar bajetnya.

“Ramai tidak percaya bahawa filem ini dibuat dengan bajet RM500,000. Saya tahu karya ini tidak sempurna dan masih banyak ruang untuk diperbaiki, tetapi saya percaya 80 peratus daripadanya berjaya disampaikan dengan baik,” tambahnya lagi.

Secara naratif, Syurga Dalam Botol mengangkat tema kemanusiaan iaitu kisah tentang anak-anak tanpa kewarganegaraan yang berjuang untuk mencari makna hidup dan ruang mereka dalam masyarakat. Ebi bijak menyeimbangkan emosi dan realiti sosial, menjadikan kisahnya bukan sekadar paparan visual indah, tetapi juga renungan terhadap identiti dan ketidaksamarataan yang masih wujud di bumi Borneo.

Menariknya, filem ini menggunakan latar budaya pribumi Borneo dengan sepenuhnya menggunakan bahasa Sabah, menjadikannya terasa seperti karya dari Thailand, Filipina, mahupun Indonesia. Walaupun sederhana dari segi struktur dramatik, filem ini menonjol melalui keaslian, kejujuran lakonan, dan kepekaan visual terhadap lanskap budaya setempat. Keputusan Ebi untuk tidak bergantung pada pelakon komersial ternyata berbaloi di mana wajah-wajah baharu yang dipilih memberi tenaga segar dan rasa autentik pada setiap babak.

Dengan segala keterbatasan yang ada, Syurga Dalam Botol berjaya menandakan permulaan yang signifikan bagi sinema Sabah moden. Ia bukan sahaja membuktikan keupayaan bakat tempatan di luar Lembah Klang, malah memberi isyarat bahawa sinema Malaysia masih mempunyai banyak ruang untuk diteroka dari segi bahasa, budaya, mahupun jiwa.

Syurga Dalam Botol bukan sekadar filem kecil dengan cita-cita besar, tetapi ia adalah suara dari pinggiran yang akhirnya bergema ke seluruh negara. Namun, persoalannya, adakah filem ini benar-benar memberikan nafas baharu kepada sinema Sabah?

Masih ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia sejak 9 Oktober 2025, Syurga Dalam Botol menjadi antara filem tempatan wajib tonton buat penggemar sinema sejati.

Penilaian: 4/5 – Wajib Tonton.

Catat Ulasan

0 Ulasan