Biduanita Negara, Dato' Sri Siti Nurhaliza Tarudin, sekali lagi memperteguh kecintaan dan komitmennya terhadap seni warisan Melayu menerusi pelancaran album terbaharu berjudul Gema Bumantara, sebuah karya istimewa yang bukan sekadar mengangkat keindahan irama tradisional, tetapi turut menyatukan semangat, budaya dan jiwa bangsa dalam satu naskhah penuh makna.
Album yang diterbitkan hasil kolaborasi antara SN Legacy Sdn Bhd, Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn Bhd dan Universal Music Sdn Bhd ini turut menerima sokongan Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures di bawah Dana Kebolehpasan (Domestik) 2.0, menjadikannya antara projek muzik tradisional paling berprestij dan berimpak besar tahun ini.
200 Lagu Ditapis, 10 Karya Terpilih
Dalam proses pembikinan Gema Bumantara, Siti mendedahkan bahawa lebih 200 buah lagu telah melalui proses saringan yang ketat sebelum hanya 10 karya terbaik dipilih untuk menghiasi album istimewa ini. Setiap lagu dinilai dengan teliti berdasarkan kekuatan melodi, keaslian irama tradisional serta getar emosi yang mampu menghidupkan ‘roh’ sebenar album.
“Proses pemilihan lagu tidak mudah. Ada karya yang masih terlalu mentah ketika diterima, namun saya dan pasukan menilai satu persatu dengan penuh teliti sehingga menemui melodi yang benar-benar menggamit jiwa,” ujar Siti ketika ditemui pada majlis pelancaran Gema Bumantara di TGV Pavilion Bukit Jalil, baru-baru ini.
Kolaborasi Antara Generasi
Meskipun berstatus legenda dan ikon muzik negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza terus memperlihatkan sisi keterbukaannya dengan berkolaborasi bersama barisan komposer dan penulis muda, memberi ruang kepada generasi baharu untuk menyerlah dalam genre tradisional yang semakin dilupakan arus perdana.
Antara nama yang terbabit dalam penghasilan Gema Bumantara termasuk Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, Usop Kopratasa, Hafiz Hamidun, Aubrey Suwito, Omar K, Aiman Sidek, Affan Mazlan, Aisha Retno dan Danish Norr, selain penampilan istimewa komposer ternama Indonesia, Melly Goeslaw. Turut menyumbangkan sentuhan puitis dalam penulisan lirik ialah Ahmad Fedtri Yahya, Datuk Habsah Hassan, serta Siti Nurhaliza sendiri.
Menariknya, album ini turut menampilkan dua duet istimewa “Kumbang Bunga” bersama Lesti Kejora, dan “Kaca dan Permata” bersama penyanyi muda Umairah, masing-masing memperlihatkan keserasian vokal lintas generasi yang menyatukan tradisi dan moden dalam satu harmoni penuh pesona.
Gema Tradisi, Bumantara Nusantara
Mengulas makna di sebalik judul album, Siti Nurhaliza menjelaskan bahawa perkataan “Gema” melambangkan bunyi yang bergema dan bergetar dalam jiwa, manakala “Bumantara” pula merujuk kepada seluruh alam atau buana iaitu simbol kepada impiannya agar irama tradisional Melayu terus berdentang merentasi sempadan Nusantara.
“Saya mahu lagu-lagu dalam album ini pergi jauh. Bukan sekadar didengari di Malaysia, tetapi juga di Singapura, Brunei, Indonesia dan luar Asia. Saya cuba menyesuaikan setiap lagu dengan arus kemodenan tanpa mengorbankan keaslian tradisi,” ujar Siti penuh harapan.
Diteruskan Dalam Konsert Legacy 30
Edisi fizikal Gema Bumantara dijadualkan menemui peminat pada Januari tahun hadapan, bersempena penganjuran Konsert Legacy 30 Siti Nurhaliza — sebuah persembahan eksklusif yang bakal menjadi simbol perjalanan tiga dekad kegemilangan Biduanita Negara ini dalam dunia seni suara.
“Saya mahu konsert itu menjadi pentas meraikan keindahan warisan muzik kita. Setiap lagu dalam Gema Bumantara bukan sekadar hiburan, tetapi juga doa dan tanda cinta saya terhadap seni Melayu,” ujar Siti penuh tulus dan rendah hati.
Harapan Untuk Radio Tempatan
Sebagai penerima Anugerah Sri Wirama AIM ke-24, Dato’ Sri Siti Nurhaliza turut menyuarakan harapan agar stesen radio tempatan memberi ruang lebih luas kepada karya berunsur tradisional untuk terus hidup dalam arus muzik moden.
“Kalau boleh, lagu-lagu tradisional diputarkan lebih kerap. Promosi tetap akan dijalankan seperti biasa, dan kami serahkan kepada pihak stesen radio untuk memilih lagu yang sesuai dengan cita rasa pendengar mereka,” ujarnya dengan penuh harapan.
Warisan yang Terus Hidup
Gema Bumantara bukan sekadar sebuah album, tetapi kesinambungan legasi seni Siti Nurhaliza dalam mengangkat martabat irama tradisional sejak kemunculan album ikonik seperti Cindai (1997), Sahmura (2000), Sanggar Mustika (2002) dan Lentera Timur (2008).
Dalam deras arus muzik moden, Siti membuktikan bahawa suara tradisi masih punya tempat dan roh tersendiri. Melalui Gema Bumantara, beliau terus menjadi gema paling indah yang menghubungkan masa lalu dengan masa depan muzik Melayu memastikan warisan seni bangsa terus hidup, bernafas dan bergetar di hati pendengar seluruh Nusantara.







0 Ulasan