Menonton Sukma mengingatkan saya kepada karya-karya seram dari Thailand, Korea dan Jepun — naskhah yang bukan sekadar menakutkan, tetapi turut menekan emosi dan membongkar sisi gelap manusia. Karya terbaharu arahan Baim Wong selepas kejayaan Lembayung ini nyata membawa roh yang sama; ia menyeramkan, namun dalam cara yang indah, tenang dan penuh makna.
Selepas mencipta fenomena luar biasa dengan kutipan lebih RM6 juta di Malaysia menerusi Lembayung, Baim kini kembali dengan filem seram terbaharu berjudul Sukma. Diterbitkan oleh Tiger Wong Entertainment, dibawakan oleh Suraya Filem dan diedarkan oleh GSC Movies, naskhah ini dijangka menjadi antara karya seram paling berani tahun ini. Sukma bakal menghantui pawagam seluruh negara bermula 30 Oktober 2025, menjanjikan sebuah pengalaman sinematik yang menggugah perasaan serta memperlihatkan sisi kematangan sebenar seorang pengarah bernama Baim Wong.
Sukma mengisahkan tentang Arini dan keluarganya yang berpindah ke sebuah bandar kecil untuk memulakan hidup baharu. Namun, ketenangan yang diimpikan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka menemui sebuah cermin purba yang menyimpan roh seorang wanita tua iaitu roh yang berhasrat menukar tubuhnya dengan Arini demi mendapatkan kembali kecantikan muda yang pernah dimilikinya. Dari detik itu, kekacauan mula merayap perlahan, memadam sempadan antara realiti dan ilusi, membawa penonton menelusuri dunia mistik yang sarat dengan simbolisme, dendam, dan pengorbanan. Lebih menarik, Sukma hadir dengan plot twist yang tidak dijangka iaitu roh yang menghantui cermin itu rupa-rupanya mempunyai pertalian darah dengan keturunan Arini sendiri, mewarisi sumpahan yang telah mengikat keluarganya sejak turun-temurun.
Lakonan Christine Hakim sebagai Ibu Sri benar-benar meninggalkan kesan mendalam. Aura dan karisma yang dibawanya menghidupkan watak itu dengan penuh wibawa, menjadikan setiap babak yang melibatkan dirinya sarat dengan intensiti dan emosi. Penampilannya dalam Sukma memberikan dimensi berbeza terhadap dunia seram Indonesia, membuktikan mengapa Christine masih menjadi antara legenda layar yang sukar ditandingi. Pertemuan dua generasi lakonan antara Christine Hakim dan Luna Maya pula mencipta kontras yang menarik iaitu dua tenaga yang berbeza, namun saling mengisi dalam membentuk keseimbangan dramatik yang kuat.
Gabungan mereka bersama Fedi Nuril pula menghadirkan ketegangan dan emosi yang menggugah. Penonton tidak menyangka bahawa hubungan antara watak-watak ini sebenarnya lebih dalam daripada yang disangka — saling bersilang, terikat dan tersimpul oleh rahsia masa silam yang menyayat hati.
Keberanian Sukma bukan terletak pada adegan-adegan ranjang yang melibatkan Fedi, Luna atau Christine, tetapi pada kekuatan naratifnya yang berlapis dan berani. Setiap adegan dirancang dengan cermat, setiap visual membawa makna tersirat, dan setiap dialog menyumbang kepada misteri yang semakin menekan jiwa. Inilah kekuatan sebenar karya arahan Baim Wong kali ini — keupayaan untuk menakutkan tanpa perlu menjerit, untuk menggetarkan tanpa perlu berdarah, dan untuk membuat penonton terpaku bukan kerana kejutan, tetapi kerana keindahan penceritaan yang menghantui dari awal hingga akhir.
Penonton dibawa hanyut ke dalam dunia Sukma yang dibina dengan teliti — puitis dalam ketakutan, dan mistik dalam keindahan. Filem ini bukan sekadar seram; ia adalah sebuah perjalanan batin yang menguji jiwa dan akal, membuktikan bahawa Baim Wong kini berdiri sebagai salah satu pengarah seram paling berpengaruh di Indonesia.
Sebagai seorang pembikin filem, Baim Wong mengakui bahawa membuat orang ketawa itu mudah, tetapi membuat penonton terpaku di tempat duduk itulah cabaran sebenar. Katanya, beliau menerima banyak tawaran untuk mengarahkan filem seram, namun hanya satu naskhah yang benar-benar menambat hatinya — Sukma, hasil tulisan penulis skrip prolifik, Ratih Kumala. Nama Ratih bukan asing lagi dalam dunia sastera dan skenario Indonesia. Beliau sebelum ini terkenal menerusi karya seperti Gadis Kretek, 1 Imam 2 Makmum serta beberapa naskhah lain yang menonjolkan kekuatan naratif, simbolisme sosial dan kepekaan terhadap psikologi watak. Maka tidak hairanlah apabila Sukma tampil sebagai karya yang bukan sekadar menghiburkan, tetapi turut menggali lapisan makna yang lebih dalam.
Sementara itu, penampilan Luna Maya sebagai Arini menjadi tulang belakang kepada keseluruhan perjalanan Sukma. Lakonannya matang, penuh jiwa dan sarat dengan kejujuran emosi, menjadikan watak Arini bukan sekadar pusat kepada kisah ini, tetapi juga nadi yang menggerakkan segala misteri yang membalutnya. Menariknya, Luna sendiri mendedahkan bahawa Sukma merupakan filem seram terakhir yang akan dilakonkannya. Selepas bertahun-tahun digelar “Ratu Filem Seram Indonesia”, beliau kini mahu keluar daripada stereotaip itu dan meneroka sisi baharu dalam karier seninya.
Sejak awal 2000-an, Luna Maya telah sinonim dengan genre seram menerusi pelbagai filem ikonik seperti Bangsal 13, Ratu Ilmu Hitam, Rumah Kentang: The Beginning, The Doll 2, Sabrina, Suzanna: Bernapas Dalam Kubur, Kill Me Please, Sumala, Gundik dan banyak lagi. Maka, tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Sukma menjadi penutup indah bagi satu era — sebuah noktah elegan yang menandakan kematangan seorang aktres yang telah lama mempersembahkan ketakutan dengan wajah yang memikat. Dalam Sukma, Luna bukan sekadar berlakon; dia menyalurkan pengalaman, trauma dan keberanian seorang wanita yang akhirnya berhadapan dengan ketakutan sebenar — dirinya sendiri.
Dengan naskhah ini, Luna Maya menutup lembaran panjang dalam dunia seram dengan penuh bergaya, sementara Baim Wong membuktikan bahawa ketakutan tidak selalu perlu datang dari bayang-bayang kadangkala, ia lahir daripada jiwa manusia yang terluka.


0 Ulasan